HARAKAH : Guna Wang KWSP, SOCSO

Kenyataan Daim untuk pulihkan ekonomi negara

GUNA WANG KWSP, SOCSO

 

KUALA LUMPUR: Menteri Tugas-tugas Khas, Tun Daim Zainuddin berkata, dalam usaha memulihkan ekonominya Malaysia memerlukan RM60 bilion antara tahun 1998 dan 2000, dan sebahagian besar dari sumber dana itu diperolehi dari dalam negara. 

Berucap merasmikan perhimpunan Kongres Kebangsaan Pemulihan Ekonomi, Rabu lalu, Tun Daim berkata, "Jumlah ini (RM60 bilion) terlalu besar untuk ditanggung sendirian oleh kerajaan Pusat." 

Yang demikian, katanya, pembiayaan akan diperolehi dari institusi-institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso), syarikat-syarikat insuran dan Petronas. 

Rancangan pemulihan RM60 bilion ini termasuk pembiayaan bagi Danaharta (untuk mengambil alih hutang yang tidak berbayar dan aset sektor perbankan), Danamodal (untuk menambah modal institusi perbankan) dan menggalakkan pakej pemulihan ekonomi. 

Tun Daim berkata, rancangan pemulihan bernilai RM12 bilion dirangka berdasarkan tiga pertimbangan penting iaitu; ia akan membawa kepada kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi, menimbulkan kesan-kesan yang berganda dan menyediakan satu jaringan yang selamat bagi melembutkan impak dari kelembapan ekonomi ke atas golongan miskin. 

Beliau menambah bahawa kecairan tambahan telah disuntik dengan mengurangkan keperluan simpanan statutory (SRR), yang mana dana-dana yang tidak dilaburkan yang mesti disimpan oleh bank-bank komersial dalam bank pusat, dan sebahagian dari dana-dana ini akan digunakan untuk membiayai Danamodal. 

Simpanan SRR telah dikurangkan kepada 4 peratus pada 16 September tahun ini, dari setinggi 13.5 peratus. 

"Pengurangan seterusnya dalam simpanan SRR kepada 2 peratus akan dilakukan menjelang akhir tahun ini," tambah Tun Daim. 

Selain dari mendapatkan sumber dana-dana dalam negeri, Malaysia juga sedang berunding bagi mendapatkan bantuan dari negara-negara asing, kata Tun Daim lagi. 

"Kami sedang berunding dengan kerajaan asing untuk mendapatkan pinjaman. Kami tidak boleh mengumumkan berapa banyak pinjaman itu tetapi sedang berunding dengan negara-negara tersebut dan mereka bersimpati dengan kami," katanya. 

Tun Daim berkata lagi bahawa Malaysia mampu mendapatkan pinjaman daripada sumber-sumber rasmi seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia, Dana Kerjasama Ekonomi Seberang Laut dan Bank Pembangunan Islam. 

Pada tahun ini Malaysia menerima AS$300 juta pinjaman daripada Bank Dunia dan telah memohon satu lagi pinjaman sebanyak AS$700 juta. 

Katanya, pada mulanya Malaysia merancang menjual bonnya di pasaran dunia untuk mendapatkan modal baru, tetapi kelembapan kedudukan kredit ekonomi negara menjadikan pinjaman seumpama itu begitu tinggi. 

"Kami menangguhkan rancangan untuk mengeluarkan bon di luar negara sehingga pasaran bon sejagat pulih dan kadar kredit kami bertambah baik," katanya. 

  

Ke Laman Utama

Hosted by www.Geocities.ws

1