BIJAK POLITIK

Antaranya menukar kerajaan apabila perlu

DUNGUN: Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak seluruh rakyat supaya mengerti kaedah pilihan raya dan bijak berpolitik. 

Antara kebijakan yang dicadangkan adalah menukar mana-mana kerajaan yang dikira gagal menjalankan amanahnya dan menukar kembali kerajaan itu jika ia juga gagal memenuhi inspirasi rakyat. 

Katanya, amalan sebegini dilakukan oleh rakyat Kelantan menyebabkan wakil-wakil rakyat di negeri itu bekerja keras untuk menjaga amanah rakyat bukannya untuk kepentingan peribadi mereka. 

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya di majlis penubuhan cawangan baru PAS di Kampung Bukit Merah/Satong dekat sini. 

Di majlis itu juga, Ustaz Hadi menerima 101 borang permohonan menyertai PAS dari bekas ahli-ahli Umno yang sedar bahawa perjuangan untuk menegakkan agama, bangsa dan negara tidak ada lagi dalam parti itu. 

Sementara itu di MARANG: Kegagalan para pemimpin Umno membela nasib para penyokong di peringkat bawahan secara adil mendorong 133 bekas ahlinya menyertai PAS di Kampung Tok Fakir, Merchang, kira-kira 26 kilometer dari sini, baru-baru ini. 

Bagi mereka, jika Umno tidak mampu memberi keadilan kepada bekas Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan kepadanya, bagaimana boleh diharapkan para pemimpin parti sekular itu untuk memberi keadilan kepada para penyokong di peringkat bawah termasuk penduduk kampung. 

Dengan keadaan itu, mereka juga tidak nampak ruang bagi pemimpin Umno untuk membela agama, bangsa dan negara yang nampak kegagalannya hari ini. 

Bahkan, perbalahan dan perpecahan di kalangan pemimpin Umno yang menyebabkan tersingkirnya Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno jelas membuktikan bahawa para pemimpinnya hanya berjuang untuk kepentingan diri dan kelompok sendiri sahaja. 

» Berita lanjut .... 
Ke Laman Utama
Hosted by www.Geocities.ws

1