PAS bimbang kekerasan ke atas Anwar
Ahli Parlimen Marang yang juga Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Syarikat (Pindaan) 1998, di Parlimen, Rabu, lalu.Beliau berkata kalau seorang bekas Timbalan Perdana Menteri boleh dibuat demikian apa lagi terhadap orang lain atau kes yang berkaitan dengan Ahli Parlimen Kota Melaka, Lim Guan Eng. Perbahasan beliau yang menyentuh perkembangan politik negara itu bagaimanapun tidak disenangi oleh Ahli Parlimen Rompin, Dato' Dr Jamaluddin Jarjis yang bangun dengan Peraturan Mesyuarat meminta Abdul Hadi kembali kepada tajuk perbahasan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Seri Megat Junid Megat Ayub yang turut berada dalam Dewan Rakyat turut bangun dan menjelaskan sesiapa tidak berhak membuat keputusan kerana perkara itu masih dalam siasatan polis. "Biarlah polis siasat sama ada kecederaan itu dibuat oleh orang lain atau diri sendiri yang buat kekasaran. Jika tidak ia boleh bawa fitnah. Kecederaan boleh dilakukan orang lain atau diri sendiri," kata Megat Junid. Abdul Hadi juga melahirkan kebimbangan terhadap orang yang dituduh seolah-olah orang itu bersalah tanpa mengambil kesan kepada keluarga beliau. "Kita juga bimbang terhadap mahkamah jika tidak berhati-hati dalam perkara ini. Kepada hakim, Allah mengingatkan satu hakim ke syurga dan dua hakim ke neraka," ujarnya. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail turut menegur perbahasan ustaz Abdul Hadi mengingatkannya perkara itu telah dibawa ke mahkamah.
|