HARAKAH : Ibnu Muslim

Catatan IBNU MUSLIM 

Gerak: bukti rakyat bersatu 

 

DUA minggu lepas, saya telah menghubungi Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Syed Husin Ali untuk mendapat komen dari beliau mengenai perkembangan politik tanah air selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. 

Dalam perbualan ringkas menerusi telefon, Presiden PRM itu membayangkan bahawa peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim itu akan mendekatkan kerjasama parti-parti pembangkang dalam menghadapi Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang akan datang. 

Tiga hari selepas itu, gambaran yang diberi oleh Syed Husin tadi telah menjadi kenyataan bila PAS, DAP, PRM, Abim dan badan-badan dakwah lain termasuk NGO telah mengadakan pertemuan di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat di Taman Melewar bagi membincangkan soal penangkapan beramai-ramai di bawah akta ISA. 

Hasil dari pertemuan itu, maka sebuah badan yang dinamakan 'Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia' (Gerak) telahpun dibentuk, dan diketuai oleh Dato' Haji Fadzil Noor. 

Wakil-wakil dari PAS, DAP, PRM, Abim, Persatuan Ulama' dan badan-badan dakwah serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir dalam pertemuan itu telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa pusat badan tersebut (Gerak). 

Walaupun Gerak, bukan sebuah pertubuhan politik, tetapi oleh kerana soal-soal yang diperjuangkan itu ada hubung kait dengan politik, maka Gerak tidak boleh lari dari memperkatakan soal politik. 

Pendek kata, bila Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia membincangkan soal tahanan politik dan kezaliman, maka dengan sendirinya Gerak telah terlibat secara langsung dengan politik. 

Apa lagi, kalau yang membuat sesuatu keputusan itu, terdiri dari tokoh-tokoh politik seperti Ustaz Fadzil, Syed Husin dan M.Noor Ahmad. 

Berdasarkan kepada hakikat itu, maka tidak keterlaluan, kalau saya katakan bahawa penubuhan Gerak, merupakan langkah pertama untuk mewujudkan sebuah 'Front' atau barisan parti-parti pembangkang untuk menghadapi Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang. 

Saya merasa lebih yakin bahawa parti-parti pembangkang akan mengadakan kerjasama, bila saya mengikuti ucapan Naib Presiden PAS, Haji Mustafa Ali dan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Haji Wan Abdul Rahim Abdullah di Bukit Fraser baru-baru ini. 

Kedua-dua pemimpin PAS yang berasal dari Terengganu dan Kelantan itu menyambut baik penubuhan Gerak yang didukung oleh PAS, DAP, PRM , Abim, Persatuan Ulama' dan badan-badan dakwah serta (NGO). 

Saya menyebut perkataan 'kedua-dua pemimpin PAS yang berasal dari Terengganu dan Kelantan' itu ialah kerana sebelum ini, pemimpin-pemimpin PAS dari dua buah negeri inilah yang menolak sebarang kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain. 

Selain dari soal prinsip perjuangan, soal kekuatan dan pengaruh PAS di kedua-dua buah negeri itu telah menyebabkan orang-orang PAS tidak memerlukan kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain. 

Tetapi setelah pimpinan ulama mengambil alih pimpinan PAS, maka adanya perubahan sikap PAS terhadap parti-parti pembangkang. 

Pembentukan Angkatan Perpaduan Ummah dan kerjasama secara tidak langsung dengan parti-parti lain dalam pilihan raya umum 1990 dan 1995, jelas membuktikan adanya perubahan sikap PAS terhadap parti-parti pembangkang. 

Pada hemat saya, apa yang tersirat dari ucapan Haji Mustafa Ali dan Haji Wan Abdul Rahim itu bahawa tidak mustahil PAS akan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain dalam pilihanraya umum yang akan datang. 

Sebelum ini, dalam forum-forum yang terbuka, pemimpin-pemimpin PRM, DAP dan PAS telah membayangkan tentang perlunya kerjasama antara parti-parti pembangkang dalam pilihan raya kali ini. 

Apa yang jelas sekarang, parti-parti pembangkang, badan-badan dakwah dan NGO telah bersependapat dalam beberapa isu selepas pemecatan Anwar Ibrahim. 

Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa nama Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) telah begitu popular di kalangan rakyat selepas Anwar Ibrahim mendakwa bahawa beliau dipukul dan didera oleh polis semasa dalam tahanan. 

Amaran yang diberi oleh Gerak supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Anwar itu telah menarik perhatian rakyat. 

Kenyataan-kenyataan Dato' Fadzil Noor sebagai Presiden Gerak, bukan sahaja mendapat perhatian media-media asing, malah telah diikuti oleh seluruh lapisan rakyat di negara ini. 

Rakyat sedang menunggu, apakah tindakan yang akan diambil oleh Gerak bila Dr. Mahathir dan Kementerian Dalam Negeri, gagal untuk menjaga keselamatan Anwar semasa dalam tahanan. 

Pendek kata, Gerak telah diakui sebagai sebuah badan yang memperjuangkan segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan di negara ini. 

Pada mulanya, Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin Umno lain merasa yakin bahawa isu penyingkiran Anwar ini akan berakhir begitu sahaja, bila ramai antara orang-orang kuat bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditahan di bawah ISA. 

Dalam erti kata lain, kerajaan Barisan Nasional tidak menyangka bahawa parti-parti pembangkang, badan-badan dakwah dan NGO akan bersatu dalam menghadapi tindakan polis yang dianggap kejam itu. 

Hasil dari kerjasama parti-parti pembangkang, badan-badan dakwah dan NGO yang melahirkan Gerak itu telah menyebabkan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri, terpaksa berhati-hati melakukan sesuatu terhadap tahanan politik. 

Mungkin, kalau pihak yang berkenan menyedari bahawa Gerak akan ditubuhkan, maka sudah tentu penyeksaan dan deraan terhadap Anwar Ibrahim tidak dilakukan. 

Walaupun setakat ini, pihak polis belum lagi mengumumkan, siap yang memukul dan mendera Anwar, tetapi rakyat sudahpun memperkatakan tentang hal itu. 

Kita tunggu dan lihat, apakah benar apa yang dikatakan oleh rakyat mengenai perkara itu. 

Yang lebih penting lagi, apakah tindakan Gerak, kalau sekiranya penyiasat-penyiasat polis itu tidak dapat diterima oleh rakyat? 

Pada hemat saya, hasil dari penyiasatan polis dalam perkara ini, lebih penting dari perkara-perkara lain dalam isu ini. 

Keputusan Gerak dalam isu ini, merupakan suara rakyat yang tidak boleh diperkecilkan oleh pemerintah. 

 

Ke Laman Utama

 

Hosted by www.Geocities.ws

1