HARAKAH : Cetusan Minda
Cetusan MINDA
Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN 

 

Keanehan dalam sistem keadilan jenayah 

 

Ceritanya kini sudah banyak bertukar. Daripada pertuduhan salah laku seks (hubungan sejenis, hubungan sulit dengan isteri orang, melanggan pelacur), bapa rasuah dan ajen asing, sekarang berubah kepada isu yang lebih asasi, iaitu Anwar dan para penyokongnya telah teraniaya. Apa pun hujah yang diberikan, penggunaan ISA -sama ada kepada terhadap, pimpinan Abim, Pemuda Umno, NGO dan juga pengikut Syiah - adalah kemuncak penentangan dan pencabulan terhadap prinsip kebebasan dan hak asasi manusia. 

Justeru, Anwar, Ruslan Kasim, Kamaruddin Mohd Noor, Kamaruddin Jaafar, Siddiq Baba, Tamunif Mokhtar, Ahmad Zahid Hamidi, Ahmad Azzam Abdul Rahman, Mukhtar Redhuan, Shaharuddin Badaruddin, Abdul Halim Ismail, Dr Zamry Abdul Kadir dan Amidi Abdul Manan harus dibicarakan di mahkamah terbuka. Jika mereka terbabit dalam perhimpunan haram, ada akta khas yang meliputinya, begitu juga dengan kesalahan yang lain. Manakala tahanan ISA yang lebih awal merengkok tanpa bicara, misalnya Dr Lutpi Ibrahim dan Fadhlullah Shuaib juga wajar dibebaskan segera. 

Penggunaan ISA sentiasa dilihat sebagai lambang kebaculan untuk melawan hujah dengan hujah, fakta dengan fakta, keterangan dengan penjelasan, sebaliknya penjara dan ugutan dijadikan galang ganti. Sekiranya pihak berwajib mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa siapa saja yang dituduh, mahkamah - dengan menjunjung tinggi prinsip keadilan dan kebebasan kehakiman - harus menjadi gelanggang terbaik menemukan kebenaran. Sebenarnya, ISA dan akta-akta 'drakonian' yang lain, sudah tidak releven dari dahulu lagi, apatah lagi ketika berdepan dengan alaf baru serba canggih ini. Era ledakan teknologi maklumat semakin menjadikan akta-akta seumpama itu, dengan penguatkuasaan undang-undang secara 'samseng dan tidak bertamadun' meletakkan Malaysia di tahap yang memalukan. 

Bukankah institusi kehakiman dan sistem keadilan undang-undang jenayah kita sudah dipersoalkan begitu lama, khususnya ketika bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua orang lagi hakim Mahkamah Agung dipecat pada tahun 1988? Hanya untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, seluruh sistem keadilan ternoda, khususnya bila berdepan dengan kes rayuan Umno 11. Apabila 14 orang lelaki yang dituduh merogol seorang gadis bawah umur - yang sebelumnya pernah dikaitkan dengan bekas Ketua Menteri Melaka - didapati bersalah tetapi tidak dipenjarakan, sekali lagi wibawa mahkamah diungkit. Kes memenjarakan Lim Guan Eng semakin mencalarkan kredibiliti perjalanan keadilan di negara ini. 

Namun begitu, apabila adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 37, dan penulis ucapan Anwar, Munawar Ahmad Aness, 50, mengaku bersalah diliwat Anwar, semakin ramai yang kebingungan dan sukar mempercayai apa yang berlaku. Mengapa Sukma dan Munawar begitu mudah mengaku salah, walhal untuk membuktikan tuduhan liwat itu cukup sukar? Lebih ketara, butir-butir pertuduhan ke atas mereka tidak mempunyai fakta kes yang lengkap. 

Sukma dituduh melakukannya bersama Anwar, pada satu malam di bulan April tahun ini, di No. 47, Jalan Damansara, manakala Munawar, pada satu malam, Mac 1993, di No. 8, Jalan Setia Murni 1, Bukit Damansara. Sedangkan butiran pertuduhan itu harus memperincikan tarikh dan waktu yang tepat, supaya pihak yang dituduh boleh membela diri sekiranya pada tarikh dan waktu yang dikatakan mereka melakukan maksiat itu, mereka berada di tempat lain. 

Keraguan lain timbul apabila dimaklumkan kedua-dua tertuduh tidak bebas bagi menentukan peguam masing-masing. Benarkah pihak berkuasa sendiri menyediakan peguam kepada mereka, dan atas kapasiti apa ia dibuat, sedangkan selalunya peguam hanya disediakan kepada tertuduh di bawah kesalahan serius yang membawa hukuman gantung, misalnya membabitkan kes pembunuhan, senjata api ataupun pengedaran dadah? Apabila peguam Zainur Zakaria dan Zulkifli Nordin memberitahu bahawa mereka sebenarnya yang dilantik oleh keluarga tertuduh, ia semakin menimbulkan banyak tanda tanya. Malah ada pihak mencurigai latar belakang peguam yang disediakan pihak berkuasa itu. Keadilan bukan saja mesti dilaksanakan tetapi harus terlihat ia dilaksanakan! 

Dengan hanya menghukum orang yang 'diliwat'' (apatah lagi dalam keadaan pasif), dan membebaskan orang meliwat (sekurang-kurangnya pada ketika mahkamah menjatuhkan hukuman pada 19 September 1998, semakin memeningkan masyarakat umum. Sehingga timbul gurauan, 'perogol tidak salah, yang salah ialah mangsa rogol'. Sekurang-kurangnya itulah yang ditanggap oleh 'publik' apabila melihat fenomena yang sukar difahami ini. 

Kita tidak nafikan Mahathir mungkin mempunyai bukti yang cukup meyakinkan dengan salah laku Anwar - khususnya selepas berjumpa sendiri dengan saksi-saksi tertentu di Seri Perdana seminggu sebelum Anwar dilucutkan jawatan - dan berhak memecat Anwar sebagai timbalannya, begitu juga kuasa yang ada pada MT untuk memecat keahlian Umno Anwar. Sememangnya beliau tidak perlu merujuknya ke mahkamah terlebih dahulu, kerana ia kuasa mutlaknya, sama ada untuk melantik atau memecat anggota Kabinetnya. Tetapi dengan menyebarkan dakwaan beberapa saksi (yang belum pun tampil ke mahkamah) tentang kelucahan melampau Anwar tanpa terlebih dahulu menyediakan ruang secukupnya buat Anwar membela diri, ia adalah tindakan melampau. 

Sesungguhnya begitu banyak tindakan luar dugaan yang berlaku di sekitar kes Anwar ini. Minda rakyat seolah-olah telah disetkan untuk menerima rentetan langkah dan keputusan drastik yang mengejutkan. Pemikiran rakyat Malaysia mungkin melampaui tahap yang ada berdasarkan realiti politik yang tidak terduga ini. Saya cuma mengharapkan ada sinar indah bagi mematangkan budaya politik orang-orang Melayu menjelang pilihan raya umum akan datang. 

 

Ke Laman Utama

 

Hosted by www.Geocities.ws

1