HARAKAH : Simpatilah Dengan Anak Anwar

Simpatilah dengan anak Anwar 
- Ustaz Fadzil

 

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor meminta kerajaan bersimpati dengan anak-anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

"Kesan saikologi kepada anak-anak Anwar apabila Anwar di tahan ISA perlu diambil kira. Kita simpati keluarga Anwar. Sebab itu kita mahukan keadilan, bicarakan Anwar di mahkamah bukan di ISA," ujarnya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, Isnin lalu. 

Beliau berkata demikian mengulas tindakan kerajaan mengenakan tahanan ISA ke atas Anwar dan rakan-rakannya. Sehingga kini dimaklumkan seramai 12 orang ditahan di bawah ISA. 

"Kita tidak bersama dalam reformasi Anwar. Tetapi soal keadilan, orang yang dituduh hendaklah diberi peluang di mahkamah terbuka. Sebaliknya ISA menafikan hak dituduh menemui peguam," ujarnya. 

Menurut beliau, PAS tidak halang mereka yang menyokong reformasi Anwar tetapi kerajaan perlu memberi peluang kepada Anwar membela diri daripada tuduhan kepadanya. 

Tambah beliau, sekiranya kerajaan mengambil sikap tidak membenarkan Anwar bercakap dan dikenakan ISA, sokongan Anwar makin bertambah kerana mereka bersimpati dengan Anwar. 

Menjawab pertanyaan berhubung pandangan PAS terhadap ISA, beliau berkata PAS sudah lama menentang ISA kerana ia tidak memberi keadilan kepada mereka yang dituduh. 

"Sebab itu kita bercakap mengenai keadilan. walaupun kita tidak terlibat dengan reformasi. PAS tidak perlu reformasi kerana kita buat perubahan ini melalui demokrasi, melalui pilihan raya," katanya. 

Menjawab pertanyaan PAS menerima Anwar, beliau berkata ia tidak timbul masa ini. 

Mengenai suruhanjaya bebas bagi membicarakan kes Anwar dan kekuatan majoriti Barisan Nasional (BN) di Parlimen, beliau berkata ia perlu ditubuhkan di bawah Parlimen dan dianggotai oleh mereka yang bebas mewakili semua parti serta perseorangan. Parlimen, katanya, wajar mengadakan sidang khas. 

Menjawab soalan Anwar bergabung dengan DAP, beliau berkata Anwar, sudah biasa bergabung dengan parti bukan Melayu seperti MCA dan parti lain. 

"Hadir di majlis DAP bukan bergabung tetapi ini sudah dijadikan propaganda dan dianggap tidak rasional," ujar Ustaz Fadzil. 

Mengenai pandangan PAS berhubung pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau berkata PAS tidak persoalkan tindakan tersebut kerana itu hak Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad tetapi apa yang PAS sentuh ialah soal keadilan. Perlu ada hujah yang cukup untuk meyakinkan rakyat. 

"PM ada hak mahu pecat. Itu haknya. Bahkan dia ada hak hendak pecat diri sendiri," ujarnya. 

Mengenai tindakan ISA, beliau berkata ia akan menambah merumitkan keadaan negara yang mengamalkan demokrasi. 

Berhubung tindakan ISA kerana melakukan kerosakan harta di Pusat Dagangan Dunia Putra, beliau berkata, itu kena kemukakan bukti untuk meyakinkan rakyat. 

Mengenai tuduhan skandal seks dan liwat terhadap Anwar beliau berkata kena ada bukti dan bukan pengakuan seseorang. 

"Kalau pengakuan seseorang, siapa-siapa pun boleh mengaku," ujarnya. 

Beliau turut memberi contoh keraguan rakyat apabila keluarga Sukma Darmawan Sasnitaat Madja mahu melantik peguam Zulkifli Nordin tetapi tidak dibenarkan. 

Beliau juga turut mengingatkan jangan sampai 10 tahun akan datang terbongkar kekejaman seperti di Acheh dan Riau, Indonesia, selepas diajukan pertanyaan siasatan mengenai kezaliman di sana. 

Mengenai pengakuan bersumpah Anwar di Masjid Negara, beliau berkata itu perkembangan positif. 

 

Ke Laman Utama

 

Hosted by www.Geocities.ws

1