| Cetusan
MINDA
Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
|
Jangan mudah membuat kesimpulanMajalah Tamadun pernah disifatkan sebagai penyokong kuat Anwar kerana mengkritik hebat Mahathir, dan disamakan dengan majalah-majalah asing seperti Asiaweek, Time, Newsweek atas alasan pro-Anwar. Sedangkan kami menerima begitu banyak panggilan telefon daripada penyokong Anwar yang merasakan Tamadun tidak bertindak adil terhadap bekas Timbalan Presiden Umno itu.Bagaimanapun, melalui artikel Astora Jabat (Utusan Malaysia, 18 September), disimpulkan bahawa: "Harakah dan Tamadun mendahului mana-mana akhbar nasional menyiarkan cerita-cerita sensasi mengenai Anwar secara bias dan jelas menjejaskan imej bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Berita Harakah dan Tamadun lebih hebat dari mana-mana akhbar dan majalah membelasah Anwar sejak beliau belum dipecat lagi. Malah Ahmad Lutfi hampir setiap minggu dalam Harakah dan setiap bulan dalam Tamadun menulis tulisan yang mencemarkan imej Anwar." Dalam perkembangan yang berkaitan, tersebar kaset ceramah Dr Harun Din bertajuk 'Isu Fitnah: Penjelasan dan Pendedahan', yang merakamkan suatu forum di Dewan Pusat Latihan Abim, Kajang. Tajuk kecil yang tertera pada cover kaset tersebut berbunyi: "Pendedahan fitnah menteri, akhbar dan Ahmad Lutfi terhadap beliau (Dr Harun Din)." Saya memohon maaf kerana memanfaatkan kolum ini untuk 'membela diri'. Pertama, Tamadun tidak pernah dan tidak akan membiarkan untuk dipergunakan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan dalam Umno bagi menjayakan konspirasi politik masing-masing. PemecatanTeguran kami kepada Mahathir terutama dalam isu-isu berkaitan pemecatan bekas Mufti Selangor, tanggapan PM terhadap hudud, aurat dan janggut (sehingga ditegur oleh KDN) bukannya bermaksud untuk menyebelahi Anwar. Begitu juga apabila kami menegur Anwar, yang dilihat 'cakap lain, buat lain', ia tidak bermakna Tamadun sudah memihak kepada Mahathir. Kami cuba, sedaya mungkin, untuk hanya memihak kepada kebenaran, tidak kira siapa yang mendukungnya, tetapi tidak pula naif melihat percaturan politik.Kedua, sememangnya Dr Harun Din dalam ceramahnya menyebut buku saya, Layakkah Anwar Ketuai Reformasi? dengan merujuk ucapan kontroversi Mahathir dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-Menteri Besar mengenai hal-ehwal Islam, yang turut disertai Anwar, Dr Hamid Othman dan Ketua Pengarah Pusat Islam. Antara kandungan ucapan PM yang menyentuh Dr Harun Din tentang dakwaan bahawa dia menjadi kaya raya kerana jampi air. Mahathir menuduh Dr Harun tidak berani berubat di dalam negeri, tetapi menerima rawatan di Australia. "Ada orang pergi tengok Harun Din. Saya nak kata terang-terang. Bohong! Tak ada manusia yang boleh jampi kemudian bagi minum air boleh baik," ucapan Mahathir dipetik. Saya hanya mengungkapkan kembali ucapan PM untuk masyarakat umum menilai bagaimana persepsi Mahathir terhadap sunnah Nabi, ulama', penghayatan agama dan yang berkaitan, termasuk soal Nabi menyimpan janggut. Dan Dr Harun Din sendiri mengakui, memang pada awalnya dia turut terkejut kerana beranggapan saya mengutuknya, tetapi dia memohon maaf kerana membuat tanggapan sebegitu bila menyedari ia adalah transkrip penuh ucapan PM. Malah ramai penyokong-penyokong Anwar memesan buku tersebut, hanya untuk mendapatkan ucapan PM itu, dan kemudiannya menyebarkannya secara lebih meluas, khususnya tentang kesimpulan Mahathir bahawa "Nabi berjanggut kerana tidak ada pisau cukur di waktu itu"; malangnya ia sold out. Merujuk punca sebenar pemecatan Anwar ¾ walaupun saya belum dapat diyakinkan bahawa PM melakukannya kerana bimbang Anwar akan menentangnya ¾ Dr Syed Husin Ali mempunyai pandangan tersendiri: "... saya percaya sebab besarnya kerana Mahathir bimbang Anwar akan mencabarnya dan mungkin boleh mengalahkannya. TuaBeberapa kerat bilioner dan milioner yang kaya-raya dengan bantuan Mahathir mahukan beliau terus berkuasa. Hanya Mahathir dianggap boleh melindungi nasib mereka dalam keadaan krisis ekonomi yang mengakibatkan banyak syarikat mereka bernyawa ikan. Oleh kerana Mahathir sudah tua dan kira-kira 10 tahun dulu telah melalui pembedahan jantung, mereka hendak memastikan bahawa sekiranya apa-apa berlaku kepada Mahathir, maka penggantinya hendaklah seorang yang boleh melindungi kepentingan mereka. Mereka tidak yakin Anwar boleh menjamin masa depan mereka, kerana beliau sendiri pun mempunyai korporat baru yang tidak sabar-sabar lagi hendak menggantikan korporat yang sudah kuat dan lama bertapak."Siri penjelajahan Anwar ke seluruh tanahair, bagi saya, tidak harus disekat. Kita mungkin tidak bersetuju dengan seseorang, namun hak untuknya bercakap dan membela diri, wajar dibenarkan. Rakyat berhak mendengar pandangan dari semua pihak terbabit, tetapi harus diingat, jangan mudah membuat kesimpulan, yang akhirnya kelak boleh menikam diri. Sentimen anti-Mahathir tidak bermakna kita menerima apa saja hujah Anwar. Begitu juga sebaliknya, permusuhan silam dengan Anwar tidak membuatkan kita menolak apa saja penjelasannya. "Saya boleh menerima tindakan PM pecat Anwar kerana yakin Mahathir ada bukti kukuh, tapi saya juga menyokong sepenuhnya gerakan reformasi Anwar yang dikira boleh meniupkan semangat baru kepembangkangan," kata seorang wartawan kanan sebuah akhbar berpengaruh. "Sikap ulama' tertentu menaruh keyakinan bahawa Anwar benar-benar bersih mungkin membawa implikasi negatif di kemudian hari, jika ada bukti sahih yang boleh mensabitkan Anwar ketika itu," pandangan seorang aktivis pembangkang. "Saya rasa, lebih baik jarakkan sedikit dengan Anwar, sehingga Anwar terbukti bersih. Tidakkah Anwar bukan lagi Presiden Abim yang kita kenal 17 tahun dulu. Masa masih panjang untuk menghakimi kes ini." |