HARAKAH : Tegakkan keadilan - Dr Wan Azizah

Tegakkan keadilan -Dr Wan Azizah 

 
 
Berikut disiarkan temubual antara isteri bekas Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama para wartawan pada persidangan media di rumahnya pada jam 9 malam 21 September 1998, (sehari selepas Anwar ditahan)
Azizah: Saya diberi teguran supaya tidak mengadakan ceramah umum tetapi saya diberi kebenaran untuk menemui media massa. Saya memohon semua bertenang dan sama-samalah kita memohon supaya keadilan ditegakkan di negara kita. Insya-Allah, negara kita negara Islam dan pemimpinnya menjunjung agama rasmi kita, Islam. Pada pagi tadi (21 September) saya dan peguam-peguam telah pergi ke mahkamah kerana saya diberitahu suami saya akan didakwa. Kami menunggu tetapi tidak ada sesiapa yang datang sehingga jam 4 petang di mana Ketua Polis Jalan Dang Wangi, Zainal menemui kami dan menyatakan bahawa dia mencari kami sampai satu hari dan barulah berjumpa. 

Bagaimanapun tidak ada apa-apa berita cuma beliau memberitahu kami bahawa Anwar tidak akan didakwa tetapi meminta saya pulang kerana pada ketika itu saya menyaksikan betapa penyokong telah diambil tindakan dan ada yang ditangkap. 

Saya berasa kesal kerana sepanjang Anwar memberikan ceramah walaupun ketika itu dengan ribuan penyokong tetapi keadaan terkawal. Dan itulah saya berasa sedih kerana kekerasan diambil. Dan dari segi perundangannya, saya akan berikan kepada peguam Tuan Haji Sulaiman untuk menjawab. Tetapi saya hendak mengatakan reformasi ini masih diteruskan tetapi dengan tenang untuk membawa perubahan di negara kita. 

Ini bukan soal Anwar saja, saya sebagai seorang isteri, ibu kepada anak-anaknya, tetapi sebagai warga negara Malaysia kita hendak menuntut keadilan. Sebab sudah banyak kepincangan yang telah berlaku. Dan sebab itulah kita menganjurkan reformasi dan sebab itulah kita hendakkan perubahan dalam negara demokrasi. 

Saya juga berasa kesal dengan kekerasan selama ini dan ingin saya ulangi selama Anwar mengelilingi negara kita di Kelantan, Tanjung Karang, Nilai dan lain-lain tidak ada satu insiden buruk berlaku. Pihak polis tidaklah memusuhi kita tetapi hasrat rakyat hendaklah diluahkan kerana keadaan yang tidak adil ini telah berlaku. Jadi saya merayu penyokong janganlah memburukkan suasana tetapi kita masih tegas meneruskan reformasi. Ini perlu untuk negara Malaysia. 

Terima kasih kepada semua yang telah datang pada malam ini. Dan juga kepada para penyokong yang telah menunjukkan taat setia dan komitmen ke arah reformasi negara kita. Ini bukan saja kes yang melibatkan Anwar tetapi juga untuk negara ini. Undang-undang negara ini sangat pincang hinggakan Anwar membuat keputusan untuk menggerakkan reformasi ini. Terdapat konspirasi di peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya. Anwar telah mengadakan pertemuan dengan para penyokong. Dalam pertemuan tersebut, tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Mereka tahu apa yang mereka perlu buat, dan mereka tidak mencetuskan sesuatu yang boleh membangkitkan kemarahan sesiapa. 

Hari ini, di ruang mahkamah saya mendengar bahawa para penyokong telah dilayan dengan cara yang tidak wajar. Mereka tidak bersenjata, hanya meluahkan suara rakyat di dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Kita berada dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Justeru setiap rakyat berhak menyuarakan pandangan mereka berkenaan dengan apa yang berlaku di negara ini. Inilah yang mereka lakukan. Bukannya mereka mahu melawan pihak pemerintah, pihak berkuasa atau sesiapa saja yang berkaitan dengan dua pihak tersebut. Kerana pihak berkuasa juga adalah rakyat Malaysia. Adalah menjadi tugas kita untuk membetulkan kembali segala ketidakadilan yang telah berlaku sekian lama. Ini bukanlah satu provokasi politik di antara Anwar dan Perdana Menteri, namun sebaliknya. 

Saya diberitahu bahawa saya tidak dibenarkan lagi untuk memberikan ceramah. Tetapi saya dibenarkan untuk bertemu dengan pihak media. Apabila kita berkata tentang keadilan, seseorang yang difitnah dan dikutuk perlu diberi peluang untuk membela dirinya. Semua ini sepatutnya dimaklumi oleh semua. Inilah dia sebenarnya perkara utama. Jadi, saya merayu kepada semua penyokong agar bertenang dan tidak bermusuh dengan anggota keselamatan tetapi meluahkan suara rakyat negara kita yang tercinta, Malaysia. 

Media: Datin Seri, adakah anda rela ditahan? 

Azizah: Saya tidak merestuinya, saya tidak tahu kenapa saya perlu ditahan kerana saya tidak pernah melanggar sebarang undang-undang dan peraturan. Mereka tidak mengizinkan lagi saya berceramah menggunakan pembesar suara. Saya menurut segala perintah mereka, jadi mengapa mereka mahu menahan saya? 

Media: Dapatkah anda berpeluang bercakap dengan suami anda sejak penahanannya? 

Azizah: Tidak. 

Media: Bolehkah protes ini berterusan sedangkan suami anda telah ditahan? 

Azizah: Ini hanyalah permulaan. 

Media: Sekiranya anda ditahan, adakah anda akan meninggalkan gerakan ini? 

Azizah: Saya belum lagi memikirkannya. 

Media: Berkenaan dengan ceramah yang tidak dibenarkan itu, apakah ada amaran atau sesuatu yang dikaitkan kepada anda? 

Azizah: Terdapat tiga pegawai yang datang petang tadi kira-kira jam 6.30 petang. Mereka datang dan memberitahu saya supaya tidak lagi mengadakan apa-apa ceramah kerana ianya mengganggu. Saya katakan ya, iaitu saya akan mematuhi perintah tersebut. Tetapi saya mesti mendapat hak untk bercakap bagi pihak suami saya yang telah ditahan. Saya diberi hak tersebut kerana pegawai polis membenarkannya. 

Media: Apakah yang anda mahu penduduk dunia lakukan sekarang? 

Azizah: Sekurang-kurangnya mereka menyuarakan keprihatinan mereka mengenai kadilan asasi, hak-hak asasi manusia untuk seseorang yang ditahan dan diberitahu penahanannya adalah di atas satu dasar, kemudian dasar itu berubah kepada dasar lain iaitu keselamatan dalam negara. Saya fikir ia amat mengelirukan kebanyakan rakyat Malaysia. 

Media: Beberapa bekas rakan kabinet suami anda telah datang ke sini secara individu untuk meluahkan perasaan mereka berkenaan persahabatan mereka dengan suami anda. Adakah anda juga berbuat demikian kepada lain-lain rakan kabinet? 

Azizah: Ya, sudah tentu. Saya fikir seorang yang difitnah dan dituduh harus mempunyai hak untuk membela dirinya. 

Media: Sekiranya anda tidak dapat mengadakan ceramah, bagaimanakah mesej anda akan sampai kepada orang ramai? 

Azizah: Saya fikir, daripada pemerhatian kita selama ini, yang mana Anwar telah mengadakan ceramah, itupun sudah agak memadai meskipun pihak media tidak melaporkannya. Kini saya tidak perlu lagi mengadakan ceramah kerana saya fikir mesej itu telah tersebar. 

Media: Apakah kata-kata anda kepada suami anda? 

Azizah: Saya ada mengatakan kepadanya supaya jangan khuatir. Saya ingin menyampaikan salam sayang dari saya dan juga anak-anak. Kami berdiri teguh kerana dialah 'hero' kami untuk negara ini. Dia telah bertindak dengan begitu berani untuk memperjuangkan keadilan, demokrasi dan kewarasan. Itulah tindakannya yang paling besar. 

Media: Adakah anda berasa bangga dengannya? 

Azizah: Sudah pasti. 

Media: Dapatkah anda bayangkan salah seorang dari anggota keluarga anda mengambil alih sekiranya anda ditahan? 

Azizah: Kamu berkata tentang nepotisme. 

Media: Apakah pendapat anda tentang dakwaan yang asal? 

Azizah: Seperti yang kamu boleh lihat, terdapat banyak manipulasi, yakni apabila yang ini tidak berjalan lancar, yang lain pula dicuba. Ini menunjukkan bahawa mereka sebenarnya terdesak. 

Media: Apakah pendapat anda tentang bukti-bukti di dalam dakwaan yang asal? 

Azizah: Bukti apa? Tidak terdapat pun bukti. Bukti apa yang kamu katakan? 

Media: Bolehkah anda memberi komen tentang pendapat antarabangsa yang mengatakan tentang hutang Dato' Seri? 

Azizah: Saya belum memutuskannya. Sekiranya saya tidak mahu dakwaan tidak berasas dilemparkan ke atas suami saya, saya juga tidak mahu melemparkan dakwaan tidak berasas. Tetapi saya telah diberitahu tentang itu. Sebenarnya saya amat bimbang ke atas apa yang terjadi ke atas suami saya. 

Media: Siapa yang beritahu Datin Seri? 

Azizah: Saya mempunyai sumber saya sendiri. 

Media: Dalam beberapa hari ini, apakah perubahan yang berlaku ke atas Malaysia? 

Azizah: Ramai rakyat Malaysia telah merasakan satu keperluan untuk mengubah haluan negara ini ke arah yang lebih baik. Daripada beberapa siri ceramah Anwar, mereka merasakan ketidakadilan yang berlaku. Kini mereka tidak berpaling lagi. Dan mereka fikir ia tidak berlaku ke atas mereka dan tidak menjejaskan hidup mereka. Tetapi kini semuanya menurut. Kami tidak memaksa mereka. Kami tidak mengugut mereka dengan ISA. Jadi saya fikir ini adalah sesuatu yang bermakna untuk negara kita. 

 

Ke Laman Utama

 

Hosted by www.Geocities.ws

1