HARAKAH : Special Report

Pemecatan Anwar peristiwa luar biasa 

Rumah Anwar terus dikunjungi orang ramai 

KUALA LUMPUR: Rumah bekas Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang terletak di Bukit Damansara, sentiasa dikunjungi tidak putus-putus oleh penyokong dan mereka yang bersimpati dengan kejadian yang menimpa beliau baru-baru ini. 

Beliau adalah Timbalan Perdana Menteri ketiga semasa era pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad, sebelumnya Tan Sri Musa Hitam dan Tun Ghafar Baba. 

Penyokong Anwar dikatakan mengadakan solat hajat setiap malam selepas solat maghrib di kediamannya. Kebiasaanya selepas solat Isyak, Anwar dan penyokongnya mengadakan ucapan untuk menaikan semangat pengikut-pengikutnya. 

 

Dato' Seri Anwar Ibrahim bercakap sesuatu dengan Prof. Dr. Chandra Muzafar, diperhatikan oleh Tan Sri A. Samad Ismail dan orang ramai yang mengunjungi rumahnya

Penyokong kuat Anwar di sini, mendakwa pemecatan ini merupakan pemecatan yang paling aneh dalam sejarah negara ini dan ia belum pernah berlaku di zaman pemerintahan Perdana Menteri sebelum Dr. Mahathir. 

Beliau juga belum ke mana-mana, walaupun penyokongnya berkumpul di rumahnya berkumpul di rumahnya di Permatang Pauh selepas beberapa hari beliau dipecat. 

Prof. Chandra Muzafar, ketika mengunjungi Anwar melahirkan rasa simpatinya atas hal yang menimpa bekas Timbalan Perdana Menteri itu. 

Wartawan Negara, Tan Sri Samad Ismail, yang melewat Anwar juga melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa Anwar. 

Puan Marina Yusof, turut menziarahi Anwar dan turut menyatakan simpatinya. Marina turut mengisytiharkan keluar semula dari Umno dan meletakkan semua jawatan dalam Umno. 

"Saya akan menghantarkan surat perletakan jawatan dalam Umno kepada Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad sebagai bantahan terhadap tindakan kepada saudara Anwar Ibrahim," ujar beliau. Marina adalah orang pertama meletakkan jawatan di dalam Umno selepas Anwar Ibrahim dipecat. 

Beliau amat kesal dengan tindakan Presiden Umno memecat Anwar Ibrahim tanpa memberikan alasan kukuh. 

Ahli Parlimen Parit Sulong, Rohanie Ahmad, secara peribadi melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang berlaku terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu. 

Beliau selaku Pengerusi KPKBN menyatakan bahawa sejak hari pemecatan Anwar baru-baru ini hinggalah sekarang, masih belum lagi mengadakan mesyuarat mengenai pendirian kelab itu terhadap isu tersebut. 

"Ini adalah kerana saya tidak mahu mengheret komponen BN daripada terlibat dalam kes ini," ujar beliau. 

Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan kepada penyokongnya melahirkan rasa kesal terhadap sikap media massa terutamanya, akhbar dan televisyen. 

"Media sekarang suka mengamalkan budaya mengampu daripada melaporkan perkara yang sebenarnya. Mereka (media) diarahkan supaya menyokong walaupun pada dasarnya tidak setuju," ujar Anwar. 

Turut hadir beberapa ahli parlimen , intelektual dan sahabat handai. 

Sejak pemecatan beliau, setiap malam rumah beliau tidak putus-putus dikunjungi orang ramai di mana pelbagai ucapan disampaikan. 

Ke Laman Utama

 

Hosted by www.Geocities.ws

1