Sistem Pembesar

 

Pengenalan

Sistem pembesar merupakan sebahagian daripada struktur pemerintahan Tanah Melayu pada abad ke-19. Seperti juga sistem beraja, sistem ini berasaskan kepada sistem pembesar Kesultanan Melayu Melaka. Pembesar Empat Lipatan yang terdapat di Kesultanan Melayu Melaka diamalkan di hampir semua negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan, tetapi gelaran pembesarnya berbeza-beza di antara satu sama lain. Selepas kedatangan British, sistem pembesar ini mengalami penjejasan.

 

Struktur sistem pembesar

Pada dasarnya, struktur pembesar yang utama di Tanah Melayu ialah seperti berikut : Bendahara ® Laksamana ® Temanggung ® Penghulu Bendahari. Walau bagaimanapun, terdapat juga pembesar yang bertugas sebagai penguasa sesuatu kawasan jika kawasan pentadbiran sesebuah negeri itu luas.

Seseorang pembesar itu boleh jadi menguasai sesuatu kawasan yang luas yang mungkin terdiri daripada beberapa buah kampung atau lembah. Perlantikan beliau dilakukan olah Sultan melalui sepucuk surat tauliah dan sebilah pedang sebagai lambing jawatannya. Dan ketua-ketua kampung ini adalah bertanggungjawab kepada pembesar itu.

1.    Kedah

Di negeri Kedah terdapat seorang pembesar Raja Bendahara yang lebih tinggi tarafnya daripada Menteri Berempat dan gelarannya ialah Seri Paduka Maharaja Sura. Menteri Berempat pula terdiri daripada Seri Paduka Raja Laksamana, Seri Maharaja Anggota Desa dan Seri Maharaja Putera Dewa. Selain itu, terdapat seorang Syahbandar yang tergolong dalam pembesar enam belas.

2.    Pahang

Di Pahang, Orang Besar Berempat ialah Orang Kaya Maharaja Indera Perba, Orang Kaya Indera Segara, Orang Kaya Indera Pahlawan dan Orang Kaya Indera Syahbandar. Orang Besar Berempat ini diberikan kawasan tertentu untuk ditadbir. Pembesar pertama berkuasa di Tanjung Lindung, pembesar kedua di Temerloh, pembesar ketiga di Bera ke Kuala Luit dan pembesar keempat di Luit ke Bebar.

3.    Perak

Orang Besar Berempat juga dikenal sebagai Orang Empat di Balai. Mereka ialah Bendahara, Orang Kaya Besar Penghulu Bendahari, Orang Kaya Temenggung Paduka Raja dan Orang Kaya Menteri Paduka Tuan. Orang Besar Delapan pula terdiri daripada Maharajalela, Syahbandar, Laksamana, Imam Paduka Tuan, Sri Amar Diraja, Sri Adika Raja, Panglima Kinta dan Panglima Bukit Gantang. Orang Besar Enambelas memakai gelaran Maharaja, Paduka dan Sri.

4.    Negeri Sembilan

Ketua pemerintah memakai gelaran Yang Dipertuan Besar. Di bawahnya ialah 4 orang Undang yang merupakan ketua daerah yang dipanggil Luak. Terdapat 4 Luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujong, Jelebu dan Johol. Di bawah Undang, Lembaga merupakan ketua bagi setiap suku anggota masyarakat. Di bawah Lembaga ialah Buapak, iaitu gabungan perkataan ibu dan bapak.

5.    Kelantan

Terdapat 7 orang di peringkat pusat, iaitu Raja Bendahara Banggol, Raja Kampung Laut, Raja Bukit Panar, Tengku Kota, Tengku Aria Pahlawan, Dato’ Kaya Hulubalang Kaduk dan Dato’ Panglima Perang Londang.

 

Peranan pembesar

1.     Menjaga dan mengekalkan keamanan kawasan pentadbiran

Pada zaman ini, pembesar berempat akan diberi kawasan tadbiran. Pembesar ini bertanggungjawab menjaga kawasan yang diberi oleh sultan dan berusaha mengekalkan keamanan kawasan ini. Beliau juga bertanggungjawab menasihati anak buahnya supaya sentiasa taat setia terhadap sultan.

2.     Memastikan jentera pentadbiran negeri dijalankan dengan berkesan

Tugas seseorang pembesar adalah untuk membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Keadaan ini dapat dibuktikan malalui Kelantan di mana Sultan Muhammad I telah melantik 7 orang pembesar untuk membantu baginda dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pembesar-pembesar ini akan membentuk satu Jemaah Menteri. Setiap pembesar bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara. Secara tidak langsung, jentera pentadbiran negeri akan dapat dijalankan dengan berkesan kerana kerja pemerintahan telah dibahagikan kepada setiap pembesar dan bukan terkumpul dalam tangan seseorang raja atau sultan.

3.     Mengerah tenaga tentera

Mengikut sistem serah dan kerah, rakyat jelata bekerja untuk raja atau kerajaan merupakan suatu kewajipan khasnya dalam menjaga keselamatan negeri, memperbaiki istana dan sebagainya tanpa menerima bayaran. Dari sini, pembesar akan menolong sultan untuk mengerah tenaga tentera ketika menghadapi ancaman dari luar atau dalam dan menyerahkannya kepada sultan. Sebahagian daripada tentera itu akan digunakan oleh para pembesar untuk menjaga kawasan pentadbirannya supaya keamanan dapat dikekalkan selalu.

4.     Melaksanakan istiadat menjunjung duli

Mengikut Kamus Dewan, menjunjung duli bermaksud memberi khidmat kepada raja. Ini bermaksud, seseorang pembesar haruslah sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada raja. Contohnya, semasa sultan hendak berangkat daripada suatu tempat ke tempat lain, Temenggung akan duduk di hadapan gajah dan Laksamana pula akan duduk di belakang gajah. Ini merupakan sebahagian daripada istiadat menjunjung duli yang harus dilakukan oleh seseorang pembesar.

5.     Menasihati sultan dalam segala hal

Para pembesar telah membentuk Majlis Penasihat Sultan bagi membantu sultan dalam pentadbiran dan pemerintahan. Sebelum sesuatu keputusan dibuat, sultan akan mengemukakan pendapat baginda dan pembesar akan menasihati baginda sekiranya pendapat sultan mempunyai kelemahan. Cadangan juga akan dikemukakan oleh para pembesar terhadap sultan supaya suatu keputusan yang sempurna dapat dicapai dan diperolehi.

6.     Menyelaraskan semua istiadat dalam istana

Dalam istana, setiap pembesar mempunyai tugasan tertentu dalam menyelaraskan istiadat dalam istana. Contohnya, semasa Kerajaan Melayu Melaka, Bendahara akan menjadi ketua adat-istiadat serta penjaga alat kebesaran raja. Penghulu Bendahari pula bertanggungjawab menyediakan balai rong seri serta hidangan makanan dan memastikan segala upacara rasmi berjalan lancar. Selain itu, Temenggung akan bertugas dalam urusan jamuan di raja termasuk mengatur dan menentukan orang yang bertugas ketika upacara rasmi.

7.     Memungut cukai

Setiap orang pembesar akan diberikan kawasan tertentu yang menjadi kawasan pentadbiran, misalnya di Kerajaan Pahang, Orang Kaya Maharaja Indera Perba bertanggungjawab mentadbir kawasan Tanjung Lindung. Pembesar ini akan memungut cukai daripada anak buahnya selain daripada menjaga keamanan kawasan tersebut. Pembesar ini akan melantik penghulu atau penggawa di setiap kampung. Penghulu inilah yang bertanggungjawab mengutip cukai dari kalangan anak buahnya. Penghulu ini tidak diberi gaji tetapi sebahagian daripada hasil cukai akan diberi kepadanya.

8.     Serah ufti/cukai

Sudah diketahui bahawa pembesar utama akan diberi kawasan pentadbiran dan pembesar berhak memungut cukai daripada anak buahnya. Ini tidak bermaksud semua cukai yang dikutip merupakan kepunyaannya, tetapi disebaliknya, sebahagian daripada cukai yang dikutip ini akan diserah kepada sultan bagi menunjukkan kesetiaannya terhadap sultan yang memerintah.

9.     Menyediakan tenaga buruh

Bagi masyarakat Melayu lama, adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap rakyat untuk bekerja bagi pihak sultan untuk membina istana atau bangunan lain tanpa menerima apa-apa ganjaran. Di sini, pembesar akan mengerah tenaga buruh daripada kawasan pentadbirannya dan diserahkan kepada sultan. Sistem ini juga dipanggil sistem kerah dan serah. Tanpa pembesar, sultan tidak akan dapat memperolehi tenaga buruh untuk bekerja bagi pihaknya.

10.   Menjaga keadilan

Pembesar bertanggungjawab menjatuhkan hukuman terhadap orang yang melakukan kesalahan. Hukuman yang boleh diambil oleh beliau tidak termasuk hukuman mati. Hukuman mati hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat keizinan daripada sultan. Dari sini, jelaslah kita lihat pembesar ini bertangguyngjawab menjaga keadilan sosial melalui undang-undang bertulis, undang-undang tidak bertulis, contohnya hokum syarak.

11.   Menjadi perantaraan antara raja dengan rakyat

Pembesar mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan rakyat jelata khasnya di kawasan pentadbirannya. Beliaulah yang menjadi perantaraan di antara raja dan rakyat dimana semua titah perintah sultan akan disampaikan oleh pembesar kepada rakyat jelata. Di sebaliknya, pembesar akan menyampaikan ketidakpuasan rakyat jelata terhadap sesuatu kepada sultan supaya langkah yang berkaitan dapat diambil.

 

Pembesar dan peranannya di Sabah dan Sarawak

1.    Pada abad ke-18 dan ke-19, Sarawak dan kawasan barat Sabah telah dikuasai oleh Kerajaan Brunei. Sultan Brunei telah melantik pembesar-pembesar tempatan untuk mentadbir Sarawak. Mereka ialah Datu Patinggi, Datu Temenggung dan Datu Bandar.

2.    Setiap pembesar mempunyai tugasannya yang tertentu :

a.    Datu Patinggi – mengutip dan menyerahkan hasil kepada Kerajaan Brunei sebagai ufti.

b.    Datu Temenggung – mengawal keselamatan.

c.    Datu Bandar – menyelenggarakan hal-ehwal perdagangan seluruh kawasan.

3.    Di bawah Pemerintahan Brooke (1841-1941) :

a.    Pembesar tempatan dilantik sebagai penasihat kanan dalam pentadbirannya digelar Pegawai Anak Negeri.

b.    Berperanan membantu Residen Inggeris apabila Sarawak dibahagikan kepada 5 bahagian.

c.    Pembesar ini bertugas untuk menasihati residen, mengutip cukai dan mengetuai ekspedisi ketenteraan

d.    Di peringkat kempung, ketua penduduk tradisi mengekalkan peranturan, menyelesaikan pergaduhan dan memungut cukai.

4.    Di Sabah, sehingga tahun 1881, bahagian utara dan timur Sabah dikuasai oleh Kesultanan Sulu dan ditadbir oleh pembesar Sulu yang digelar Datu.

5.    Jawatan Ketua Anak Negeri diperkenalkan di peringkat Daerah untuk membantu Pegawai Daerah berbangsa Eropah, hasilnya :

a.     Peranan pembesar diperluaskan dengan penubuhan Majlis Penasihat Ketua-ketua Anak Negeri pada tahun 1915.

b.    Di peringkat kampung, ketua kampung yang bergelar Orang Tua dilantik untuk menjaga hal pentadbiran kampung. 

c.    Mahkamah Anak Negeri yang wujud secara tradisional di kalangan penduduk pribumi Sabah dikekalkan. Mahkamah ini diketuai oleh seorang Ketua Anak Negeri yang berfungsi sebagai hakim tempatan.

 

 

 

Kepercayaan Animisme

 

Pengenalan

Sistem kepercayaan orang Melayu dan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak adalah terlalu banyak. Namun begitu, apa yang jelas dilihat ialah segala jenis kepercayaan ini merupakan rentetan daripada kepercayaan asal orang Melayu iaitu kepercayaan terhadap animisme. Kewujudan kepercayaan ini telah mempengaruhi setiap aspek kehidupan mereka dan akhirnya mereka menyembah pelbagai unsur alam semesta supaya mereka tidak terlibat dalam kemalangan.

 

Apa itu animisme ?

Mengikut encyclopedia, kepercayaan animisme merupakan peringkat awal manusia mulai mempunyai agama. Perkataan animisme berasal daripada perkataan Latin “Animis” yang membawa makna nyawa atau roh. Mengikut kepercayaan ini, mereka percaya bahawa alam ini mempunyai pelbagai kuasa yang menunggu atau mendiami di gunung, bukit, busut, sungai, laut, pokok dan tanaman. Kepercayaan ini pasif kepada alam sekitar atau dengan kata lain alam sekitar mempengaruhi manusia. Dalam usaha mencari makanan seperti memburu, mengutip hasil hutan, mereka telah mewujudkan interaksi dengan alam sekitar. Dalam perinteraksian ini, mereka telah melihat pelbagai keanehan alam seperti bintang-bintang yang bertaburan telah mengeluarkan cahaya pada waktu malam dan sinaran matahari pada waktu siang. Mereka menganggap semua benda ini berkuasa dan menyembah benda alam semula jadi ini supaya dapat memperolehi pertolongan daripadanya. Apabila mereka membuat permintaan pertolongan, mereka akan memuja benda ini. Sebagai contoh, masyarakat Melayu memuja padi supaya dapat memperolehi hasil pertanian yang lumayan. Aktiviti pemujaan ini dilakukan melalui penggunaan khidmat orang tengah yang mempunyai keahlian ilmu ghaib seperti pawing, dukun dan bomoh. Aktiviti ini juga disertai dengan pelbagai upacara. Ciri yang paling utama bagi kepercayaan animisme ialah percaya kepada kewujudan roh atau semangat.

a.         Masyarakat ini percaya bahawa roh seseorang yang mati akan merayau ibarat tanpa tuan.

b.         Mereka juga percaya roh orang mati akan menganggu mereka.

c.         Mereka percaya setiap roh orang mati akan kembali datang melawat mereka juga.

d.         Maka, mereka akan selalu mengadakan arwah seperti pada hari ke-3, 7, 100 dan sebagainya.

e.         Mereka percaya kepada semangat-semangat iaitu satu kuasa ghaib terdapat dalam tumbuh-tumbuhan dan binatang, maka pemujaan telah diadakan oleh pawang untuk kebaikan seperti pagi menjadi, hindari bencara alam.

f.           Selain itu, pantang larang juga diamalkan seperti hormat kepada laut dan sungai.

Setelah kehadiran Islam, segala kepercayaan ini perlahan-lahan hilang atau diubahsuai, contohnya semangat atau roh itu dikaitkan dengan syaitan, iblis dan jin.

 

 

 

 

Sistem Ekonomi

 

Pengenalan

Sistem ekonomi di Malaysia pada abad ke-19 dan sehingga tahun 1963 boleh dikategorikan kepada 2 bentuk yang utama iaitu sistem ekonomi sara diri dan sistem ekonomi komersil. Bentuk dan kegiatan ekonomi yang mereka amalkan telah menerima pengaruh daripada sistem pemerintahan pada masa dahulu. Sebagai contoh, rakyat biasa menjadi petani, pedagang; pembesar pula menjadi pemilik tapak perlombongan dan sebagainya.

 

Sara Diri

Ekonomi sara diri ialah kegiatan ekonomi yang bertujuan atau sekadar mampu untuk menampung keperluan harian keluarga. Maknanya, hasil kegiatan ekonomi akan digunakan untuk keluarga mereka. Segala kelebihan pengeluaran akan dijual, hasil jualan tersebut akan digunakan untuk membeli barangan keperluan yang lain yang juga menjadi asas keperluan seperti pakaian dan sebagainya. Kegiatan ekonomi sara diri yang utama ialah bercucuk tanam, menangkap ikan dan memungut hasil hutan.

1.         Pertanian

Kegiatan pertanian merupakan kegiatan ekonomi sara diri masyarakat Melayu tradisional yang sangat penting. Merujuk kepadanya, padi pula merupakan tanaman utama memandangkan ia adalah makanan asasi masyarakat di rantau ini. Di Tanah Melayu, dua jenis padi telah diusahakan iaitu padi sawah dan padi huma (bukit).

Padi sawah ditanam di kawasan rendah dan di lembah-lembah sungai yang subur dengan tanah alluvium. Penanaman padi sawah dipercayai diperkenalkan oleh orang Thai di negeri-negeri Melayu Utara dan orang Minangkabau di negeri-negeri Selatan. Negeri-negeri yang terkenal dalam penanaman padi sawah di Tanah Melayu ialah Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Antara negeri ini, Kedah merupakan negeri yang terkenal sebagai jelapang padi negara kita. Menjelang abad ke-18, dataran Perlis dan Seberang Perai juga turut menjadi kawasan penanaman padi yang utama.

Penanaman padi sawah ini berkembang dengan pesat adalah dipengaruhi oleh sistem pengairan yang digunakan sejak abad ke-19. Air telah dibawa masuk ke sawah padi melalui tali air dan terusan. Antara terusan yang terkenal ialah Terusan Wan Mat Saman yang dibina pada tahun 1885 di Kedah. Di Negeri Sembilan pula, kincir telah dibina untuk membawa air masuk ke sawah padi.

Berbanding dengan penanaman padi sawah, padi huma ditanam secara berpindah-randah setiap kali penanaman dijalankan kerana kesuburan tanah telah hilang atau berkurangan. Biasanya, padi huma ditanam di kawasan yang bergunung-ganang. Sebagai contoh, suku kaum Dusun dari Murut di Sabah dan Sarawak yang tinggal di kawasan pedalaman melakukan kegiatan penanaman padi huma.

Walau bagaimanapun, terdapat juga tanaman-tanaman lain sebagai pelengkap kepada hasil padi seperti ubi, sayur-sayuran dan sebagainya. Penanaman tanaman ini menjadi penting kerana ia merupakan “makanan selang”. Selain itu, ubi juga dapat dijadikan sebahagian makanan utama sewaktu bekalan beras tidak mencukupi.

2.         Perikanan

Ikan merupakan sumber makanan kepada masyarakat Melayu tradisional. Kegiatan perikanan merupakan pekerjaan utama bagi masyarakat Melayu yang tinggal di tepi laut dan sungai. Hasil tangkapan akan dijadikan keperluan diri sendiri dan lebihan hasil akan dijual.

Kegiatan perikanan dapat dilihat khasnya di negeri Terengganu dan Pahang. Mereka menjalankan aktiviti mereka di antara bulan Mac hingga bulan Oktober dan dihentikan antara bulan November hingga Februari kerana masa itu merupakan musim tengkujuh. Pada musim tengkujuh, nelayan-nelayan di negeri ikan akan menangkap ikan di kolam, sungai dan sawah padi. Selain itu, mereka juga cuba memperbaiki alat-alat penangkapan mereka pada masa ini.

Di laut, nelayan menggunakan pukat, jala, jaring, bubu, kelong dan rawai untuk menangkap ikan. Di sungai pula, pancing, jala, tangguk, kai, lukah, tomak dan serampang digunakan untuk menangkap ikan.

 

Kemersil

Sistem ekonomi komersil hanya wujud di Tanah Melayu setelah kehadiran penjajah British pada abad ke-19. Kehadiran mereka telah mempergiatkan bentuk ekonomi tersebut memandangkan mereka mempunyai teknologi yang lebih maju. Salah satu perkembangan yang nyata semasa itu dapat dilihat dalam sector perdagangan dan perlombongan.

1.         Perdagangan

Kegiatan perdagangan di Tanah Melayu merupakan lanjutan daripada kegiatan perlombongan memandangkan bahan-bahan perdagangan itu sendiri lebih berasaskan kepada bahan-bahan mentah. Walau bagaimanapun, terdapat juga bahan-bahan dagangan yang berorientasikan kepada hasil-hasil pertanian. Dalam soal perkembangan perdagangan, beberapa aspek yang berkaitan seperti sistem pengangkutan, perkapalan dan sebagainya telah dibincangkan.

Dalam tahun 1879, pendapatan cukai terhadap perlombongan bijih timah dari Perak dan Selangor masing-masing berjumlah $281823 dan $107558. Dalam tahun 1895, eksport bijih timah mencapai paras 127714498 (89% daripada nilai jumlah eksport Negeri-negeri Melayu Bersekutu) bagi negeri Perak dan Selangor. Hasil yang banyak membolehkan British menjalankan rancangan pembinaan jalan keretapi dan sebagainya. Pembinaan infrastruktur ini membolehkan bijih timah dieksport dengan mudah. Tetapi pengeluaran bijih timah yang banyak menyebabkan lebihan penawaran di pasaran dunia. Dengan itu, harga bijih timah telah menyusut dari 99.7 pound setan (1870-an) kepada 96.7 pound setan (1880-an). Beberapa langkah telah diambil oleh British untuk menyekat dan mengawal pengeluaran bijih timah agar harganya tidak turun.

Selain bijih timah, lada hitam, rempah, gambir dan tebu juga merupakan barang dagangan yang penting. Kegiatan penanaman tumbuhan ini dapat dilihat di Johor dimana orang Cina yang berhijrah dari Singapura mengusahakan penanaman gambir; di Pulau Pinang dan Perak usaha penanaman tebu dijalankan oleh orang Eropah dan orang Cina.

Bermula, abad ke-20, getah pula menjadi tanaman eksport atau hasil dagangan yang penting kerana ia sangat menguntungkan. Perkembangannya berhubung rapat dengan sistem pengangkutan, sebab itulah banyak kemudahan infrastruktur dibina. Perkembangan yang pesat dalam penanaman getah telah menambahkan lagi hasil perdagangan Tanah Melayu. Antara tahun 1906-1929, purata keluasan penanaman getah di Tanah Melayu telah meningkat dari 129809 hektar kepada 2971000 hektar dan eksport getah telah bertambah dari 6500 tan dalam tahun 1910 kepada 456000 tan pada tahun 1929. Harga getah juga meningkat daripada 1s3d sepaun kepada 2s6d sepaun antara tahun 1830-1900. Harganya terus menaik sehingga 8s9d sepaun pada tahun 1910. Walau bagaimanapun, pengeluaran yang tidak terkawal menyebabkan kelebihan penawaran dan harga getah telah merosot daripada 8s9d (1910) kepada 1s10d sepaun (1920-an). Fenomena ini menyebabkan British mengambil langkah untuk menyusun semula program perusahaan getah dan beberapa pendekatan telah dibuat seperti Rancangan Sekatan Stevenson (1922-1928).

Sejak 1917, kelapa sawit telah ditanam secara komersil di Selangor. Akibat kemelesetan harga getah, kawasan penanaman kelapa sawit telah meningkat dari 4900 hektar (1926) kepada 25777 hektar (1933). Hasil kelapa sawit seterusnya menjadi bahan dagangan yang penting di Tanah Melayu.

2.         Perlombongan

Perlombongan di Tanah Melayu selalunya merujuk kepada perlombongan bijih timah memandangkan hasil perlombongan logam lain seperti emas adalah terlalu sedikit. Secara amnya, aktiviti ini dijalankan secara kecil-kecilan terutama oleh pembesar-pembesar Melayu. Dalam tempoh yang lebih lewat, penggunaan pam kelikir dan sebagainya telah merangsangkan hasil pengeluaran terus meningkat.

a.              Bijih timah

Industri bijih timah merupakan satu industri yang tertua di Tanah Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bijih timah telah menarik minat pedagang-pedagang asing dari Mediterranean, Arab, India dan China. Timah yang dilombong daripada kawasan pedalaman telah dilebur dan dijadikan timah jongkong lalu dibawa ke hilir sungai untuk diperniagakan.

Kekayaan bijih timah di Tanah Melayu dapat dibuktikan melalui seorang pengembara Arab yang bernama Abu Dulaf (abad ke-10). Beliau berkata “di seluruh dunia tidak ada lombong bijih timah seperti di Tanah Melayu”. Pada abad ke-12 pula, seorang penulis Itali mengulas bahawa bijih timah di Tanah Melayu sangat tulen dan bercahaya. Menurut sumber China pula, Melaka dan Pahang ada mengeksport bijih timah. Catatan J.F.A. McNair pula menunjukkan, bijih timah mula dilombong di Perak pada tahun 1616 di Manjung dan Beruas.

Sehingga tahun 1820-an, perlombongan bijin timah merupakan perusahaan orang Melayu. Lombong-lombong ini dikuasai oleh raja dan pembesar. Mereka menggunakan cara melampan dan mendulang untuk melombong. Hasilnya adalah terhad. Selain itu, sikap orang Melayu yang menganggap perlombongan itu hanya merupakan pekerjaan sambilan menyebabkan perkembangannya tidak pesat.

Atas inisiatif pembesar, mereka telah menggalakkan kemasukan orang Cina sebagai buruh. Keadaan ini jelas dilihat mulai tahun 1820-an, apabila orang Cina mula melibatkan diri dalam perlombongan bijih timah. Selain itu, akibat perubahan radikal di Eropah dari segi penggunaan bijih timah, permintaan terhadapnya telah meningkat. Pengambilan buruh Cina juga dipergiatkan lagi.

Pada tahun 1840-an, perusahaan ini mula bertukar corak dengan penemuan kawasan baru, kemasukan modal Cina dan pengenalan cara-cara perlombongan yang lebih efektif oleh orang Cina. Keadaan ini telah membawa perubahan kekuasaan dan kaitan politik orang Cina di Tanah Melayu secara keseluruhan. Keadaan ini telah memberi peluang kepada British untuk campur tangan dalam hal-hal pentadbiran Tanah Melayu

Selain itu, kerajaan British juga berusaha untuk mewujudkan suasana yang menyenangkan kepada perkembangan perusahaan bijih timah swasta kepunyaan orang Eropah. Mereka menggunakan kapal korek untuk melombong. Penggunaan kapal korek dapat melombong dengan banyak tetapi kaedah ini memerlukan belanja yang tinggi. Dengan itu, perusahaan bijih timah oleh orang Cina mulai diambil alih oleh syarikat Eropah kerana modal orang Cina adalah kecil dan tidak mampu memperolehi kapal korek menyebabkan mereka sentiasa mengalami kerugian dan akhirnya menjual perusahaan lombong bijih timah mereka kepada syarikat British.

b.             Emas

Menurut J. Kennedy, perlombongan emas mungkin telah dijalankan berhampiran dengan Melaka pada zaman Neolitik lagi dan kenyataan ini mungkin benar kerana semenjak dahulu, emas merupakan dagangan yang penting di Tanah Melayu sehinggakan Tanah Melayu dikenali sebagai Semenanjung Emas atau Semenanjung Kencana. Dinyatakan bahawa di Pahang terutamanya di Kuala Lipis, perlombongan emas telah dijalankan selewat-lewatnya semenjak abad ke-16 lagi. Perusahaan ini pada umumnya merupakan perusahaan orang Melayu dan jumlah pengeluarannya adalah kecil.

Pada tahun 1889, Raub Australian Gold Mining Company (oleh orang Australia) telah ditubuhkan. Ia merupakan syarikat perlombongan emas yang terpenting di Tanah Melayu dan ditutup pada tahun 1960-an.

c.              Arang batu

Perlombongan arang batu dijalankan di Batu Arang (Selangor) dan Enggor (Perak). Kegiatan ini dijalankan oleh Syarikat Malayan Collieries semenjak tahun 1915. Arang batu yang diperolehi telah dijual dalam pasaran tempatan kepada Keretapi Tanah Melayu, stesen-stesen kuasa dan lombong bijih timah. Dalam tahun 1950-an, pengeluaran arang batu mula merosot sebagai akibat persaingan dengan bahan api minyak. Dengan itu, lombong arang batu di Batu Arang telah ditutup pada tahun 1960.

d.             Bijih besi

Perlombongan bijih besi hanya dijalankan oleh syarikat-syarikat Jepun hanya selepas Perang Dunia Pertama di Johor dan Terengganu serta Kelantan. Bijih besi ini kemudian dieksport ke negara Jepun dan menjelang tahun 1938, kira-kira setengah daripada jumlah import bijih besi Jepun datangnya dari Tanah Melayu.

e.              Bauksit

Bauksit hanya mula dikenali dan dijalankan perlombongannya pada tahun 1936 di Bukit Pasir berhampiran dengan Batu Pahat. Sebelum Perang Dunia Kedua, dua lombong bauksit telah dibuka iaitu di Perigi Acheh dan Sri Medan. Namun kedua-dua lombong tersebut telah ditutup pada tahun 1941 apabila meletusnya Perang Dunia Kedua. Kebanyakan hasil bauksit Tanah Melayu dieksport ke negara Jepun dan hanya sebahagian kecil sahaja dieksport ke Australia dan Taiwan.

 

 

 

 

Hukum Adat

 

Pengenalan

Adat secara umumnya merupakan kebiasaan yang diamalkan oleh satu-satu masyarakat dan sesiapa yang keluar daripada norma tersebut akan dianggap sebagai melanggar adat. Kebanyakan aspek peradatan ini adalh diwarisi secara turun-temurun. Di Tanah Melayu, sebenarnya tidak banyak bezanya. Apa yang jelas dilihat hanya dua sistem iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Selain itu, terdapat juga adat-adat khusus lain seperti adat perkahwinan, adat pertabalan raja, adat bersalin dan sebagainya.

 

Adat Perpatih

1.           Latar belakang

Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning oleh orang Minangkabau. Adat Perpatih dibawa oleh orang Minangkabau dari Tanah Tinggi Padang, Sumatera ke Negeri Sembilan pada abad ke-17. Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang dari Sumatera dengan nyanyian “Asal Usul Adat Perpatih”. Semua undang-undang Adat Perpatih kecuali undang-undang Sungai Ujong diwarisi secara turun-temurun.

2.           Ciri-ciri

a.              Lebih mengutamakan golongan perempuan

Adat Perpatih lebih mengutamakan golongan perempuan. Hal ini dapat dilihat dalam soal-soal pembahagian harta benda dan jurai keturunan. Ini bukan bermakna lelaki lebih rendah tarafnya daripada perempuan tetapi mereka lebih suka mengembara atau merantau untuk mencari penghidupan baru yang lebih baik. Maka, golongan wanita mesti dibekalkan dengan harta benda sebagai nafkah. Selain itu, selepas berkahwin, orang lelaki mesti meninggalkan kaumnya dan mengikut kaum isterinya. Walaupun adat ini mengutamakan golongan perempuan, tetapi dari segi pentadbiran, lelaki merupakan pemegang tampuk pemerintah tertinggi seperti jawatan Yamtuan Besar.

b.             Undang-undang bersifat pemulihan

Undang-undang tidak disimpan atau dimaktubkan dalam bentuk rekod bertulis tetapi berbentuk bidalan, peribahasa, pantun dan sebagainya. Dari segi sifatnya, undang-undang jenayah adalah lebihbertimbang rasa, berperikemanusiaan dan bersifat pemulihan. Seorang yang membuat kesalahan akan didenda mengikut kesalahannya. Mangsa akan diberi ganti rugi. Contohnya, jika seseorang itu dilukakan dia akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada besarnya luka itu. Adat ini percaya bahawa orang yang melakukan jenayah boleh mengubah perangai mereka.

c.              Mempunyai unsur-unsur demokrasi

Adat Perpatih adalah bercorak demokrasi, iaitu orang ramai dilindungi oleh undang-undang dan pemerintah sendiri juga mesti mengikut undang-undang dan tidak boleh berbuat sesuka hati. Dalam bidang pentadbiran, kuasa pemerintah dibahagikan di antara pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Ini bermaksud, orang ramai memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan Besar.

 

Adat Temenggung

1.         Latar belakang

Adat Temenggung diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat Temenggung disusun oleh Datuk Ketemenggungan, iaitu abang tiri Datuk Perpatih Nan Sebatang di Palembang. Adat ini dibawa masuk ke Melaka pada awal abad ke-15. Dari Melaka, Adat Temenggung disebar ke negeri-negeri Melayu yang lain dengan perkembangan Empayar Melaka.

2.         Ciri-ciri

a.                Lebih mementingkan lelaki

Adat Temenggung mengiktirafkan lelaki menjadi ketua keluarga. Maka, adat ini dikatakan lebih mementingkan pihak lelaki. Dalam hal perwarisan harta, lelaki yang mewarisi harta iaitu dari ayah kepada anak lelaki. Adat Temenggung juga mengkehendaki seseorang isteri tinggal bersama dengan keluarga suaminya. Selain itu, Adat Temenggung menganggap kedua-dua pihak keluarga sama penting. Perkahwinan di antara dua orang sepupu dibenarkan asalkan kedua-dua orang tua tidak mempunyai pertalian darah.

b.                Undang-undang bersifat kekerasan

Sama seperti Adat Perpatih, undang-undang Adat Temenggung berbentuk peribahasa, bidalan dan sebagainya. Tetapi undang-undangnya bersifat kekerasan. Setiap orang yang melakukan kesalahan, dia akan di hokum dengan hukuman berat. Sebagai contoh, seseorang yang membunuh akan dijatuhkan hukuman mati. Mereka percaya bahawa hanya menggunakan kekerasan sahaja dapat mengurangkan niat seseorang untuk melakukan kesalahan.

c.                Mempunyai unsur autokratik

Adat Temenggung mengutamakan kedudukan istimewa dan kebesaran pemerintah. Ia bukan sahaja memberi kuasa kepada pemerintah tetapi juga kepada para pembesar. Oleh itu, golongan pemerintah mempunyai kuasa berlebihan. Dengan itu, adat ini dikatakan bersifat autokrasi dimana semua kuasa adalah terletak dalam tangan pemerintah dan pembesar.

 

Adat lain/khusus

1.         Adat melenggan perut

Adat ini dilakukan oleh seseorang ibu yang sedang mengandung dan biasanya dibantu oleh mereka yang mahir dalam perbidanan. Adat ini bertujuan untuk membuang bencana yang mungkin menimpa ibu yang bakal melahirkan anak.

2.         Adat mengadap raja

Seseorang yang diperkenan mengadap raja harus membuat persiapan-persiapan tertentu termasuklah peraturan pakaian, cara duduk dan sebagainya. Selain itu, bahasa yang digunakan sewaktu bertutur dengan raja adalah berbeza dengan bahasa yang dituturkan semasa bercakap dengan orang kebanyakan. Seseorang itu haruslah berpakaian tertib dan sopan dengan bertanjak, berpancung dan berkeris di hadapan.

3.         Adat menjunjung duli

Adat menjunjung duli dilaksanakan oleh pembesar untuk menunjukkan kedaulatan sultan dan taat setia pembesar terhadap sultan. Semasa upacara dijalankan, terdapat paluan nobat dan bedilan meriam. Antara lagu nobat yang dimain ialah Raja Berangkat, Nobat Talal dan Nobat Raja.

4.         Adat berserumah tangga

Adat ini menyentuh tentang kelakuan kanak-kanak di rumah. Sebagai seorang anak, ia dikehendaki sentiasa menghormati ibu bapa mereka dan bersopan-santun apabila bercakap dengan orang tua. Kita juga harus berbaik-baik dengan jiran kita dan melayan tetamu dengan baik-baik.

5.         Adat kampung

Adat ini menentukan tingkah laku seseorang dalam masyarakat dan kampung. Kita haruslah mengadakan hubungan baik dengan penghulu dan sering melawatnya. Kita haruslah mengamalkan semangat bergotong-royong agar perpaduan dapat dicapai.

 

Hukum Adat di Sabah dan Sarawak

1.           Di Sarawak, masyarakat di situ mengamalkan

a.           Adat Dusun Tunggu

b.           Undang-undang Mahkamah Melayu

Undang-undang Mahkamah Melayu merupakan campuran adat Melayu dengan undang-undang Islam. Ia mempunyai 3 orang hakim iaitu Pengeran Temenggung (wakil Sultan Brunei) dan 2 orang ketua yang mewakili suku-suku yang terlibat. Di peringkat kampung, ia diketuai oleh ketua kampung.

2.           Di Sabah, masyarakat di situ mengamalkan

a.           Adat Dusun

b.           Adat Timogun

c.           Adat Tenom  

 

 

 

 

Susun lapis masyarakat

 

Pengenalan

Corak pemerintahan dan pentadbiran di negeri-negeri Melayu telah mempengaruhi pembentukan susun lapis masyarakat. Setiap lapisan masyarakat mempunyai kedudukan dan fungsinya yang tersendiri. Secara umum, masyarakat Meleyu tradisional dapat dibahagikan kepada dua golongan utama iaitu golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah. Biasanya golongan yang memerintah ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dan istimewa daripada golongan yang diperintah.

 

Golongan yang memerintah

1.         Raja atau sultan

Raja atau sultan merupakan asas terpenting dalam susun lapis masyarakat Melayu tradisional. Baginda mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam piramid organisasi sosial. Baginda mempunyai kuasa dan wibawa yang paling tinggi bagi memerintah seluruh negeri dan jajahan taklukannya. Baginda dianggap sebagai dewa raja dan baginda merupakan tunggak menyatupadukan rakyat dan merupakan orang yang bertanggungjawab memelihara keamanan dan memajukan negeri. Seseorang raja dilantik melalui pertabalan di atas persetujuan semua pembesar dan biasanya putera sulong atau adik lelaki raja yang akan menggantikan raja yang mangkat.

2.         Kerabat raja

Raja sebagai seorang pemimpin, maka dirinya serta keluarganya akan dihormati oleh masyarakat malah kadang-kala rasa penghormatan ini diseliputi oleh perasaan sakral yang tinggi. Mereka dianggap sebagai suci dan amat berbeza dengan golongan rakyat biasa. Mereka juga mempunyai hak-hak istimewa, namum hak mereka adalah tidak boleh melebihi hak istimewa seseorang sultan yang memerintah. Antara keistimewaan yang dinikmati oleh kerabat raja ialah mengguna payung berwarna kuning dan penggunaan bahasa dalaman.

3.         Bangsawan dan pembesar

Bangsawan juga dikenali sebagai anak baik-baik. Mereka menggunakan bahasa dalaman untuk mengekalkan identiti mereka. Golongan bangsawan ini terdiri daripada kerabat diraja dan bukan kerabat raja. Mereka adalah berpengaruh di kalangan pemerintah dan pentadbir. Mereka bertanggungjawab mengandalikan jentera pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pembesar pula merupakan golongan yang mempunyai kedudukan yang hampir sekali dengan sultan. Biasanya, golongan ini terdiri daripada bukan kerabat raja. Golongan ini akan dianugerahkan suatu kawasan yang menjadi pegangannya dan sumber pendapatannya di mana seseorang pembesar itu dibenarkan mengutip cukai dan mengawal tenaga manusianya. Biasanya mereka dilantik secara turun-temurun.

4.         Golongan pemimpin agama

Pemimpin agama dan pendeta juga termasuk dalam golongan bangsawan. Mereka merupakan golongan cerdik pandai yang memegang jawatan mufti dan kadi. Terdapat juga pemimpin agama yang dianugerahkan gelaran kebesaran seeperti Maharaja Kadi, Dato’ Mufti Seri Utama dan Dato’ Mufti Imam Maharaja. Mereka menjadi penasihat raja dan kerajaan dalam hal-hal tentang hukum syarak dan selok-belok agama termasuk mengeluarkan fatwa tentang isu agama. Golongan ini merupakan pakar dalam hal-hal kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, adat-istiadat dan salasilah raja-raja. Mereka juga menjadi pakar perjuk kepada raja serta menjadi penulis dan perawi diraja. Biasanya, golongan ini berketurunan Arab. Di negeri-negeri Melayu lain, mereka memakai panggilan yang berlain-lain, contohnya di Terengganu, mereka dikenali sebagai Tokku dan memakai gelaran Engku atau Tuan.

 

Golongan yang diperintah

1.         Rakyat biasa

Rakyat biasa terdiri daripada masyarakat pribumi yang bermastautin tetap dan bilangannya adalah ramai. Mereka selalu menjadi pengikut pembesar di peringkat pusat dan penyokong pentadbir di peringkat jajahan takluk. Mereka terdiri daripada pedagang dan peniaga. Mereka menjalankan perdagangan di pelabuhan. Selain itu, terdapat juga mereka yang menjadi buruh kasar dan tukang mahir dalam pembuatan alat perhiasan dan senjata. Rakyat biasa ini juga terlibat dalam kegiatan pertanian dan penangkapan ikan untuk sara diri.

2.         Orang asing

Orang asing selalunya adalah orang bukan Melayu yang hanya mengunjungi Tanah Melayu untuk tujuan tertentu. Mereka terdiri daripada pedagang, perantau, mubaligh atau santeri. Secara amnya, orang asing ini dapat digolongkan kepada dua kumpulan iaitu orang yang menetap terus dan orang yang mengunjung sekali-sekala. Selain itu, terdapat juga masyarakat Tamil-Islam yang berdagang dan bergaul bebas dengan orang pribumi. Keadaan ini telah mendorong kepada kewujudan masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk ini dapat digolongkan kepada dua iaitu masyarakat asing yang menyerapkan diri ke dalam masyarakat pribumi dan masyarakat asing yang masih mengekalkan cara hidup dan identiti masing-masing. Walau bagaimanapun, mereka tidak terlepas daripada undang-undang tempatan.

3.         Hamba

Dalam masyarakat Melayu, golongan hamba menduduki susun lapis masyarakat yang paling bawah. Golongan ini dapat dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu :

a.   Hamba raja

Hamba raja terdiri daripada mereka yang menawarkan diri untuk menjadi hamba di istana. Mereka melakukan semua jenis pekerjaan dan taraf mereka juga lebih tinggi kalau dibandingkan dengan hamba yang lain. Terdapat juga bekas tahanan perang atau banduan yang menjadi hamba raja.

b.   Hamba berhutang

Hamba berhutang ini terdiri daripada rakyat biasa yang gagal membayar hutang kepada pemiutang dalam jangka masa yang ditetapkan. Hamba ini juga disebut sebagai masuk hulun. Mereka yang menjadi hamba berhutang terpaksa bersama isteri dan anak-anaknya tinggal bersama si pemiutang dan bekerja sehingga hutang dibayar. Mereka boleh dijual kepada pembesar-pembesar lain. Walau bagaimanapun, mereka boleh menjadi rakyat biasa semula apabila ia setelah selesai berkhidmat kepada si pemiutang dalam tempoh yang dijanjikan.

c.   Hamba biasa

Hamba biasa menjadi hamba seumur hidup kepada pemiliknya secara turun-temurun. Mereka dapat digolongkan kepada tiga jenis iaitu hamba abdi yang membuat kerja yang berat dan kasar. Dengan merupakan hamba yang dibeli dan biduanda yang merupakan orang suruhan yang selalunya dimiliki oleh raja.

Sistem perhambaan ini membawa makna bahawa pemilik hamba ini mempunyai taraf sosial yang tinggi dan secara langsung ia menyediakan bekalan sumber tenaga manusia bagi melaksanakan segala kerja.

 

Mobiliti sosial

Perbezaan antara kelas pemerintah dengan kelas diperintah adalah ditandai dengan aturan-aturan tertentu. Perkahwinan antara dua kelas ini adalah dilarang dan sesuatu yang hampir mustahil berlaku dalam masyarakat Melayu. Perumpamaan Melayu yang mengatakan “enggan sama enggan, pipit sama pipit” memperlihatkan bahawa terdapat dua jurang besar yang memisahkan mereka. Selain itu, adalah mustahil juga bagi seseorang dari rakyat biasa hendak mengangkat dirinya dalam kelas diperintah. Walau bagaimanapun, terdapat juga orang yang dapat mengangkat diri dari kelas diperintah kepada kelas pemerintah. Kesimpulannya, mobility sosial bagi masyarakat Melayu adalah terhad.

 

 

 

Sistem Beraja

Pengenalan

Institusi beraja di Tanah Melayu di kesan seawall abad ke-15 iaitu semasa pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka. Pada masa ini, mereka mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Sistem ini menerima pengaruh yang amat kuat dari India dan agama Hindu-Buddha. Mengikut sistem ini, raja merupakan seorang ketua negara dan baginda dibantu oleh golongan pembesar. Sistem pemerintahan beraja Kerajaan Melayu Melaka ini kemudian diwarisi oleh negeri-negeri Malayu yang lain seperti Johor, Perak, Pahang dan Terengganu.

Konsep Raja Melayu

1.         Dewa raja

Dalam sistem beraja, raja itu dianggap sebagai dewa raja. Baginda disifatkan sebagai seorang yang mulia dan berkebolehan dalam pelbagai bidang. Menurut Sejarah Melayu, raja dianggap sebagai wakil Tuhan di bumi atau Zul-Illahi fil-alam. Menurut Adat Raja-raja Melayu dan Undang-undang Melaka pula, raja dianggap sebagai “Khalifah Allah di Dunia”. Raja juga dianggap sebagai seseorang yang paling berkuasa dan menjadi perantaraan rakyat dan Tuhan. Kepercayaan ini menyebabkan raja itu wajib disembah.

2.         Mulia

Raja dianggap sebagai seorang yang mulia. Keadaan ini dapat dilihat dari segi pentadbiran. Raja dianggap sebagai ketua kerajaan di mana semua keputusan yang hendak diambil perlu disahkan oleh baginda. Baginda berkuasa untuk melakukan apa sahaja mengikut budi bicaranya. Kekuasaannya bukan sahaja meliputi bidang pentadbiran tetapi juga soal ekonomi, agama dan peradatan orang Melayu. Kata-kata baginda adalah muktamat dan menjadi undang-undang. Di sini dapat kita membuat kesimpulan bahawa raja sebagai seorang ketua kerajaan, merupakan kuasa tertinggi dengan budi pekerti yang mulia.

3.         Kuasa mutlak

Dalam pemerintahan, raja itu berkuasa mutlak. Raja berkuasa mutlak bermakna bahawa semua undang-undang yang dibuat bertujuan untuk mengukuhkan kedudukannya, rakyat tidak dibenarkan mempersoalkan segala undang-undang yang dibuat oleh baginda. Baginda juga  berkuasa penuh ke atas semua aspek dalam kerajaan seperti memegang jawatan penting dan menjatuhkan hukuman mati. Selain itu, baginda juga boleh melantik sesiapa sahaja yang akan menjadi pembesar. Walaupun baginda berkuasa mutlak tetapi baginda masih tidak boleh memerintah sesuka hati. Dalam Sejarah Melayu menasihatkan : “Raja-raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada muafakat dengan segala pegawai, tiada akan sentosa kerajaannya; kerana raja-raja itu umpama api, segala menteri itu umpamanya kayu, kerana api itu tidak akan nyala, jikaalau tiada kayu…”

4.         Daulat

Daulat dikatakan berasal daripada perkataan Arab, “daulah” yang bermaksud “negeri”. Walau bagaimanapun, daulat bermaksud kesucian seseorang raja dan bagi masyarakat melayu, konsep ini menjadi batas pemisah antara raja dengan rakyat biasa. Konsep ini juga merupakan unsur asas kepada kekuasaan dan keagungan seseorang raja dan kerajaannya. Di Tanah Melayu, telah banyak berlaku kes yang membabitkan persoalan daulat ini.

5.         Derhaka

Konsep derhaka ini seiring dengan konsep daulat. Dalam konsep ini, seseorang yang melanggar konsep daulat didapati menderhaka kepada sultan atau raja dan akan ditimpa tulah. Kepercayaan yang begini terus diperturun sejak zaman berzaman. Sebenarnya, konsep ini dibiuat semata-mata untuk meninggikan kedudukan raja-raja Melayu. Golongan ini akan dipandang mulia dan disanjung sebagai seorang yang sakral.

6.         Hak istimewa

Raja-raja Melayu ini mempunyai hak-hak istimewa dan hak ini tidak boleh digunakan oleh rakyat. Contohnya, warna kuning merupakan warna diraja dan hanya boleh digunakan oleh raja dan keluarga raja. Warna kuning digunakan untuk perhiasan, membuat sapu tangan, tepi tabir dan tilam. Rakyat adalah dilarang menggunakan kain berwarna kuning kecuali untuk baju dan destar. Selain itu, paying putih adalah khas untuk sultan yang memerintah dan paying kuning adalah khas bagi anak raja. Penggunaan bahasa dalaman seperti santap, gering dan beta juga dilarang sekali terhadap rakyat jelata. Hanya golongan diraja sahaja berhak menggunakannya.

7.        Lambang kebesaran

Sejak dahulukala, sultan adalah lambang kebesaran tetapi baginda merasakan kedudukan sultan sebagai pucuk kerajaan bergantung kepada alat-alat kebesaran yang dimilikinya. Alat-alat kebesaran ini ialah cop mohor, keris, payung, kendi, lembing, tombak dan sebagainya. Alat kebesaran ini yang akan membezakan hak istimewa sultan daripada pembesarnya. Contohnya, cop mohor yang melambangkan kuasa sultan yang memerintah digunakan dalam surat-menyurat rasmi untuk menunjukkan pengesahan kuasa dan arahan daripada kerajaan. Nama raja yang memerintah terukir dalam cop mohor ini. Dengan cop mohor ini, baginda dapat melaksanakan pemerintahan dan pentadbiran.

Struktur sultan dan raja

1.         Perak

Di negeri Perak, raja yang memerintah dipanggil sultan. Pengganti yang akan menaiki takhta adalah secara bergilir-gilir di antara 3 ketua keluarga iaitu apabila sultan mangkat, Raja Muda menjadi Sultan, Raja Bendahara pula menjadi Raja Muda, Raja Dihilir menjadi Raja Bendahara dan putera sulung sultan menjadi Raja Dihilir.

2.         Negeri Sembilan

Di Negeri Sembilan, raja yang memerintah dipanggil Yang Dipertuan Besar. Sistem politik yang diamalkan dipengaruhi oleh adat perpatih. Baginda dilantik oleh 4 orang Undang atau Penghulu yang menjadi ketua Luak, iaitu Undang Sungai Ujong, Rembau, Johol dan Jelebu.

3.         Negeri-negeri Melayu yang lain

Sistem pemerintahan yang diamalkan dipengaruhi oleh adat temegung. Raja yang memerintah digelar sultan kecuali negeri Perlis dimana dikenali sebagai Raja. Apabila sultan yang memerintah mangkat, baginda akan diganti oleh putera baginda yang sulung yang masih hidup.

Peranan sultan dan raja

1.           Sebelum kehadiran British, Sultan bertanggungjawab sebagai :

a.         Ketua kerajaan dan bertanggungjawab terhadap aspek pentadbiran.

b.        Wajib mengekalkan keamanan dan kesejahteraan wilayah.

c.         Merupakan seorang ketua tentera danpenjaga undang-undang dalam negeri.

d.        Mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang banyak.

e.         Melantik sesiapa sahaja untuk menyandang jawatan Bendahara, Menteri atau Orang-orang Besar.

f.          Menjatuhkan hukuman bunuh terhadap orang-orang yang didapati menderhaka.

g.         Melantik penggantinya sendiri iaitu di kalangan putera-putera.

2.           Selepas kehadiran British, kuasa seseorang sultan dikurangkan. Peranan baginda diambil alih oleh Residen.

a.         Di bawah sistem Residen, Residen merupakan kuasa tertinggi dalam pemerintahan. Sultan kehilangan kuasa pentadbirannya. Majlis Sultan diganti dengan Majlis Negeri tetapi semua keputusan dalam majlis itu dibuat oleh Residen.

b.        Menjadi ketua agama Islam atau mengenai adat-istiadat orang Melayu.

c.         Melantik waris-waris, Permaisuri, Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja.

d.        Membuat peraturan mengenai balai diraja dan istana.

e.         Merupakan pihak yang penting bagi menyatupadukan rakyat.

 

 

 

Agama Islam

 

Pengenalan

Agama Islam mula tersebar di Asia Tenggara pada awal abad ke-7. walau bagaimanapun, kenyataan ini tidak mempunyai bukti yang sah. Menurut Sejarah Melayu, negeri Champa menerima Islam pada abad ke-15 dan Sejarah China mencatatkan Islam wujud di Sumatera pada abad ke-13. Namun begitu, Islam mula dibawa masuk ke negeri Melaka hanya selepas hujung abad ke-14. Pemerintah yang memeluk Islam di Melaka ialah Sultan Mahkota Iskandar Syah. Agama Islam ini telah mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu.

 

Latar belakang agama Islam

Agama Islam diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. di Gua Hira pada tahun 610 Masihi. Wahyu yang pertama ini berbunyi “Surah al-alaq” (ayat 1-5). Selepas beberapa bulan, baginda menerima wahyu kedua iaitu “Surah al-Mydassir” (ayat 1-5) dan baginda dilantik menjadi Rasul. Dengan itu, baginda pun mula menyebarkan agama Islam. Ajaran ini mendapat tentangan hebat daripada kaum Quraisy di Mekah. Hanya selepas beberapa perjuangan dan peperangan, agama Islam ini baru dapat bertapak di Tanah Arab dan berkembang dengan pesat sehingga membentuk masyarakat Islam yang berilmu, insaf dan bertakwa.

 

Apakah itu agama Islam ?

Agama Islam merupakan kepercayaan manusia yang percaya kepada adanya tokoh ghaib yang maha berkuasa yang dapat mendatangkan manfaat atau mudarat. Oleh itu, manusia memuja-Nya supaya tokoh ghaib itu menurunkan manfaat kepadanya atau menjauhkan mudarat daripadanya. Agama Islam di Tanah Melayu tidak sepenuhnya sama dengan pengertian “al-din” sebagaimana yang dikehendaki dalam agama Islam. Agama Islam percaya kepada wujudnya Allah yang maha esa dan umat Islam mesti menundukkan diri sepenuhnya ke hadrat-Nya. Umat Islam dikehendaki memastikan hidupnya mengikut “way of life” dan “way of thinking” mengikut tuntutan illahi. Agama Islam juga termasuk dalam agama Samiah iaitu agama monoteisme yang mempercayai keesaan Tuhan. Islam ini bermaksud “faat” dan “patuh” sepenuhnya ke hadrat Ta’ala. Islam ialah satu-satunya agama yang namanya diberikan oleh-Nya dan bukan oleh orang luar. Islam percaya kemahaesaan Allah iaitu mahaesa zat-Nya, mahaesa sifat-Nya dan mahaesa dalam perbuata-Nya. Kewujudan-Nya tiada didahului dan tiada disudahi oleh tiada. Ia maha berkuasa, maha berkehandak. “Tiada daya dan tiada kuasa melainkan Allah”. Kuasanya tiada dikembali dan tiada disaingi. Dalam Islam, manusia ialah hamba kepada Allah dan Allah itu pemilik segala-galanya. Dia pencipta, pengubah dan pulalah yang membinasakan sesuatu. Islam menetapkan tuntutan hidup manusia dalam Kitab Allah (al-Quran) dan di dalam al-Hadis atau Sunnah. Setiap orang muslim dikehendaki mempercayai Rukun Imam yang mempunyai 6 perkara iaitu :

                    a.      Percaya kepada Allah s.w.t.

                    b.      Percaya kepada Malaikat

                    c.      Percaya kepada kitab-kitab Allah

                    d.      Percaya kepada Nabi dan Rasul

                    e.      Percaya kepada Hari Kiamat

                    f.       Percaya kepada qadak dan qadar

Orang Islam percaya “orang baik masuk Jannah, orang busuk masuk api neraka”. Ketetapan Tuhan akan segala yang berlaku di dunia yang sentiasa tiada berubah. Orang akan menjadi kafil kalau mengingkari salah satu Rukun Imam ini. Orang Islam juga dikehendaki patuh kepada Rukun Islam, iaitu :

                    a.         Syahadah – mengucap dua kalimah syahadah, iaitu “ Tiada Tuhan

                              melainkan Allah” dan “Nabi Muhammad s.a.w. itu pesuruh Allah”

                    b.         Solat – menunaikan sembah 5 waktu sehari semalam.

                    c.         Zakat – orang Islam diwajib memberi zakat kepada orang miskin.

                    d.         Puasa – mewajibkan berpuasa pada bulan Ramadan.

                    e.         Menunaikan fardu haji ke Mekah bagi orang yang mampu.

Agama Islam juga merupakan agama yang universal iaitu agama untuk seluruh umat manusia. Buktinya “wahai manusia” atau “wahai mereka yang beriman” yang disebutkan dalam Kitab al-Quran. Umat Islam di Malaysia menganut mazhab al-Asy’an dan mengikut figh (undang-undang) ialah mazhab Shafie.

 

Pengaruh agama Islam dalam masyarakat Melayu

Penerimaan agama Islam oleh masyarakat Melayu bukan sahaja mempengaruhi akidah tetapi juga membawa pengaruh dari segi pentadbiran, undang-undang, adat dan pendidikan.

       1.    Dari segi pentadbiran

Unsur-unsur Islam banyak mempengaruhi pentadbiran kerajaan-kerajaan Melayu. Cirri-ciri kerajaan ini sama seperti kerajaan di Timur Tengah seperti Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Perubahan konsep sultan yang dianggap zul-illahi-fil-alam iaitu pegangan bahawa sultan itu adalah amanah Allah s.w.t.. di muka bumi. Sultan dianggap sebagai Amirul Mukminin iaitu ketua kepada umat Islam. Sultan menjadi ketua agama Islam dan bertanggungjawab memerintah dengan adil dan menjaga kebajikan rakyat jelata. Ahli-ahli sufi dan ulama-ulama menjadi penasihat kepada raja. Islam menjadi agama rasmi.

        2.   Dari segi undang-undang

Undang-undang Islam telah memainkan peranan yang penting dalam kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Para ulama memainkan peranan penting dalam perundangan Islam. Perundangan Islam menjadi tunjang kepada undang-undang bertulis. Undang-undang Syariah yang meliputi pelbagai perkara seperti hukum kesalahan jenayah (mencuri, membunuh dan sebagainya), jual beli, hal-hal perkahwinan dan pembahagian harta pusaka diperkenalkan. Tokoh-tokoh yang memelihara undang-undang ini terdiri daripada hakim dan kadi. Namun demikian, hukuman dijatukan oleh raja ikut adat dan bukan hokum Islam.

        3.   Dari segi kehidupan masyarakat

Cara hidup telah diubah. Kepercayaan telah berubah dari animisme kepada agama Islam. Islam mengubah cara pemikiran orang Melayu. Islam menyuruh umatnya berfikir untuk menerapkan unsur-unsur rasionalisme dalam pemikiran masyarakat. Unsur-unsur metafizik dalam ajaran Islam telah terterap ke dalam nilai hidup masyarakat tempatan. Pandangan dan falsafah hidup sentiasa berkait dengan unsur-unsur Islam seperti mencari rezeki yang halal, kewajipan mencari ilmu pengetahuan dan sebagainya.

        4.   Dari segi adat resam

Islam juga membawa pengaruh dalam adat resam. Islam membawa sistem nilai sosial yang berbeza dengan sebelumnya. Penyesuaian unsur-unsur Hindu dengan Islam dilakukan untuk menyelakan amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam. Islam menghapuskan sistem nilai sosial yang berasaskan perbezaan taraf (sistem kasta). Gagasan bahawa semua umat Islam yang beriman, bersaudara menjadi prinsip ke arah perpaduan masyarakat. Orang asing yang beragama Islam adalah bersaudara dengan orang tempatan yang beragama Islam. Adat resam dalam masyarakat banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam seperti adat bercukur, adat perkahwinan dan sebagainya. Banyak aspek Islam diamalkan seperti membayar zakat, bekerjasama, bergotong-royong dan kekeluargaan.

        5.   Dari segi pendidikan

Pendidikan formal mula kedatangan para pendakwah dan alim ulama. Istana merupakan pusat pendidikan terawal, pusat kegiatan intelektual dan menjadi tumpuan alim ulama dari negara-negara Arab, India, Parsi. Mereka berbincang dan berdebat tentang hal-hal yang berkaitan dengan hal-hal agama Islam. Misalnya, mereka pernah membahaskan Kitab Darul Manzum yang menjadi panduan pendidikan agama. Terdapat juga tokoh-tokoh tempatan seperti Tun Muhammad yang merupakan ulama Melayu yang pakar dalam nahu Arab, ilmu sarf dan pengetahuan fikah yang mendalam. Istana menjadi khazanah hikayat yang memberi pengajaran agama bertemakan kisah para nabi. Sebagai contoh,  Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan Berbelah, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Nabi Yusuf, Hikayat Jumjumah, Hikayat Abu Samah, Hikayat Tamin-ad-Dari dan sebagainya. Tujuan pendidikan Islam ialah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang tahu tentang ajaran-ajaran Islam, memupuk akhlak mulia, sentiasa beribadat dengan betul. Pendidikan ini diutamakan oleh ibu bapa. Kanak-kanak dihantar ke rumah guru agama untuk menerima pelajaran agama. Mereka belajar pada masa selepas waktu Zohor atau Maghrib di rumah tok guru. Murid lelaki dikehendaki duduk berasingan dengan murid perempuan. Pelajar-pelajar diwajib berpakaian yang menutup aurat. Pada peringkat pertama, mereka membaca Muqaddam dan al-Quran mengikut tajwid yang betul. Setelah tamatnya upacara Khatam Quran yang dijalankan oleh tok guru, peringkat pertama habis. Pendidikan mengenai fardu ain dan akhlak mulia akan diberi bagi melahirkan umat Islam yang sempurna bagi peringkat kesua. Pelajar-pelajar tidak dikenakan bayaran tetapi ibu bapa akan memberi penghargaan dengan menghantarkan padi, beras, ubi dan sebagainya kepada tok guru sebagai membalas budinya. Selepas peringkat ini, mereka akan masuk ke masjid atau surau untuk melanjutkan pelajaran tentang ilmu agama. Kadi, bilal dan sebagainya akan memberikan pelajaran tentang al-Quran, mendalami fardu ain pada siang pagi. Sukatan pelajaran termasuk ilmu tajwid, lagu dan bacaan. Di samping itu, kanak-kanak akan diajar qasidah lagi yang bercorak agama yang memuji-muji nabi. Kitab-kitab seperti fikah, usuluddin, tasawuf, hadis, tafsir dan sebagainya digunakan bagi menerangkan pengertian yang berkaitan dengan agama Islam. Kitab yang terkenal ialah Riazah as-Salihim. Kaedah hafalan digunakan dalam pembelajaran sekiranya terdapat kesulitan untuk memahami isi kitab tersebut. Di sebelah malam, masjid menjadi pusat pengajian orang dewasa. Seseorang guru akan membaca kitab-kitab tertentu dan menerangkan maksudnya kepada penuntut yang duduk di sekelilingnya dalam bulatan yang dipanggil halaqah. Walaupun pelajaran ini berbentuk formal tetapi kurang teratur kerana bilangan muridnya tidak terhad dan gurunya berkhidmat secara sukarela. Sistem pengajian Madrasah nerupakan satu sistem pendidikan formal, ia merupakan lanjutan daripada sistem pendidikan di masjid atau surau. Di Madrasah, kitab bahasa Arabatau kitab bahasa Melayu yang ditulis ikut struktur bahasa Melayu digunakan. Kitab dipegang atau diletakkan di lantai dan kemudian tok guru menjelaskan pengertian kandungannya yang disebut kaedah menadah kitab. Sehingga 1850, sekolah pondok merupakan pusat pengajian yang tertinggi di Tanah Melayu. Tidak ramai yang mampu menghantar anak mereka ke sekolah pondok kerana kesempitan wang. Pondok telah melahirkan penulis-penulis yang terkemuka dan ulama-ulama yang terkenal seperti Syeikh Muhammad Idris al-Mabawi dan Haji Hassan bin Yunus dari Johor. Kelantan merupakan negeri pertama di Tanah Melayu yang terkenal dalam sekolah pondok, maka Kelantan digelar sebagai “Serambi Mekah”. Pondok yang tertua ialah “Pondok Tok Kenali” di Kelantan dan “Pondok Pokok Sena” di Seberang Perai. Selain Kalantan dan Seberang Perai, kebanyakan sekolah pondok terletak di Kedah, Perlis, Perak, Terengganu, Melaka dan sejumlah kecil di Negeri Sembilan. Sekolah pondok didirikan apabila terdapat seorang guru atau ulama yang mempunyai kepakaran dalam ilmu agama yang dipelajari dari Mekah atau pondok-pondok lain seperti di Patani dan Sumatera. Penduduk tempat itu akan mendirikan sebuah Madrasah dan memberikan kawasan tanah wakaf. Pondok-pondok kecil didirikan oleh murid-murid di sekitar Madrasah dan didiami oleh pelajar secara berkongsi. Guru besarnya digelar Mudir dan ketokohannya amat dihormati oleh masyarakat Melayu pada masa itu. Sukatan pelajaran menekankan aspek pengajaran agama dan sistem menghafal hokum fekah, nahu Arab, al-Quran dan Hadis nabi. Mata pelajaran saraf, tafsir, wujudiyyah, pendidikan akhlak san sejarah Islam diajar. Pelajar yang lulus akan berkhidmat sebagai guru dipondoknya juga atau yang belajar lebih 10 tahun boleh melanjutkan pelajaran di Mekah. Guru tidak dibayar bayaran tetap kecuali bayaran zakat atau sedekah daripada orang ramai.  

 

setstats1

Hosted by www.Geocities.ws

1