SKRIPTORIA MELAYU: TINJAUAN UMUM 

By Ding Choo Ming

Dewan Budaya 17, 11(1995): pp.37-43

1. Pendahuluan 

P.Voorhoeve (1964) sudah membincangkan topik skriptoria Melayu empat dekad yang lepas. Demikian juga, sarjana-sarjana lain, termasuk Kuntara, van der Molen, Russell Jones serta Behrend pernah menyentuhnya di International Workshop on Indonesian Studies: Southeast Asian Manuscripts di Leiden dari 14 hingga 18 Disember 1992. Namun demikian, pengetahuan dunia mengenainya masih amat terbatas. Kita masih belum lagi mengetahui mekanisma pejabat karang-mengarang atau ‘skriptoria’ di alam Melayu masa lampau. Kita juga tidak tahu-menahu bagaimana keadaan fisikal di sekeliling penyalin yang berkerja di dalam sistem itu, lebih-lebih lagi jenis hubungan di antara penaung dengan penyalin. Sehubungan itu, perlu dinyatakan bahawa skriptoria Melayu yang dibincangkan Voorhoeve itu adalah sebuah skriptoria model barat. Ianya dikendalikan pegawai kolonial Belanda untuk memperbanyakkan salinan manuskrip Melayu. Demikian juga sarjana yang berseminar di Leiden empat dekad selepas Voorhoeve itu lebih banyak melemparkan soalan daripada memberi jawapan. Yang pasti ialah selagi tidak ada kajian lebih lanjut mengenainya, selama itulah juga tidak akan diketahui dengan pasti kehidupan intelektual di istana Melayu yang terkenal juga sebagai pusat kebudayaan Melayu zaman lampau. Selain diketahui bahawa penulisan dan penyalinan manuskrip di istana itu dinaungi istana, tidaklah jelas sejauhmana penglibatan sultan dengan kegiatan dan kesinambungan tradisi itu. Soalan lain yang ingin dikemukakan termasuk apakah sebab yang mendorong penghasilan (termasuk penyalinan) teks yang tertentu? Bukankah pengarangan dan penyalinan itu satu-satunya cara untuk Raja Melayu memiliki teks baru? Adakah kerja penyalinan itu sebahagian daripada tugas rasmi pengarang-penyalin istana, termasuk surat-menyurat, pencatatan buku harian istana (jika ada), perakaman akaun istana dan lain-lain dewasa itu? Perkara-perkara tersebut tidak jelas sehingga kini kerana manuskrip Melayu lebih banyak dikaji daripada segi isi kandungan dengan menerapkan pendekatan dan teori filologi dari barat. Disebabkan penumpuan perhatian ke arah itu, maka khazanah budaya tersebut jarang dikaji dari aspek pembikinannya. Memang tidak dinafikan bahawa manuskrip Melayu juga merupakan objek seni yang indah, malahan telah menjadi sumber kemegahan setiap empayer Melayu yang telah menghasilkannya. Sebagai objek seni, kita perlu mengkaji proses pembuatannya dengan melihat alat-alat yang pernah digunakan (termasuk kertas, dakwat, pena) selain kemahiran ‘tokoh’ yang menjadi pahlawan tanpa nama di dunia sastera dan budaya Melayu. Skriptoria Melayu amat penting dikaji kerana ianya juga merupakan sumber tambahan tentang kesarjanaan dan kepengarangan Melayu lama.

Walaupun jenis skriptoria yang dibincangkan Voorhoeve itu tidak wujud in toto di dunia Melayu sebelum abad yang ke 19, namun pejabat karang-mengarang di dalam kompleks istana Melayu dewasa itu sudah memenuhi fungsi asas penubuhan skriptoria seperti yang ada di barat. Salah satu implikasi yang juga merupakan asas pengwujudan institusi itu ialah literasi dewasa itu sudah sampai ke tahap yang agak tinggi, walaupun belum meluas lagi. Oleh itu, kerja pengarangan dan penyalinan (kedua-dua ini sukar dipisahkan dalam tradisi penghasilan manuskrip Melayu) pasti sudah wujud sejak masyarakat Melayu mula mengenal huruf, tidak mengira sama ada tulisan Jawi atau yang lain. Daripada warisan artifak, termasuk batu, buluh, tulang dan kulit, kita yakin bahawa pengarang-penyalin yang berkenaan itu bukan sahaja sudah bertaraf profesional, tetapi juga pakar yang memang mahir mengeskpreskan kehandalan dan kehebatan masing-masing melalui media tersebut. Ingin ditambah bahawa tradisi penghasilan manuskrip di istana Melayu itu cuma satu fragmen daripada tradisi institusi ‘skriptoria’ dunia. Kewujudan dan perkembangan institusi seumpama itu selaras dengan keperluan masyarakat masing-masing. Walaupun terdapat beberapa perbezaan di antara satu dengan yang lain. namun terdapat juga ciri kesejagatan di antara ‘skriptoria’ Melayu dengan skriptoria lain. Persamaan yang dimaksudkan itu bukan sahaja dari segi media yang digunakan (kertas, tembaga, batu, kulit binatang, daun, buluh dan lain-lain), tetapi juga denyutan nadi tradisi itu sendiri yang menjadi monopoli kaum bangsawan yang memerintah. Berlatarbelakangkan itu, tradisi karang-mengarang serta salin-menyalin itu pasti sudah berkembang di dunia Melayu sebelum kedatangan orang Eropah pada abad yang ke 16. Tanpa adanya tradisi itu, tentulah tidak ada manuskrip Melayu dan surat-surat yang bertarikh sebelum abad yang ke 16 di Perpustakaan Bodlein, Oxford University, atau surat dari raja Melayu yang bertarikh tahun 1521 seperti yang disimpan di Acquivo National da Tombo, Lisbon. Demikian juga tanpa adanya tradisi itu, sudahlah pasti orang putih yang terlibat dalam pengumpulan manuskrip Melayu pada abad yang ke 19 itu tidak dapat mengupah orang Melayu untuk bekerja di skriptoria mereka. 

Memang benar bahawa sebahagian besar pengetahuan kita dewasa ini tentang sastera bertulis Melayu berdasarkan salinan manuskrip yang diwarisi daripada istana Melayu dari masa dahulu. Dalam kompleks istana yang besar itu terdapat semacam ‘pejabat karang-mengarang’ yang telah juga memainkan peranan skriptoria di Eropah atau tempat-tempat lain di luar dunia Melayu. Institusi itu berkembang dan turut diperkembangkan pengarang-penyalin yang kebetulan mempunyai kepelbagaian kepakaran dan ketokohan. Merekalah yang memperturunkan manuskrip dan salinannya. Tradisi itu bersambung dari satu masa ke satu masa yang lain dan juga dari satu tempat ke satu tempat yang lain. 

2. Skriptoria Lembaga Naungan Istana 

Sejarah awal perkembangan pejabat karang-mengarang di istana itu bergantung pada naungan istana semata-mata kerana hanya pihak istana mampu berbuat demikian, memandangkan kerja pengarangan dan penyalinan manuskrip Melayu itu memakan masa yang panjang, selain melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Dari segi kepentingan sosial dalam jangka masa yang panjang, naungan istana itu penting untuk perkembangan dan kesinambungan kepengarangan, kesarjanaan dan kebudayaan turun-temurun, lebih-lebih lagi menjadi tanah yang subur membuahkan karya manuskrip Melayu yang agong seperti Hikayat Acheh, Hikayat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu, Misa Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Pahang, Hikayat Johor, Tuhfat al-Nafis dan sebagainya. Dengan kata lain, pejabat karang-mengarang di istana, yang membolehkan tradisi penghasilan manuskrip Melayu berlangsung tanpa putus sehingga abad yang ke 19 itu adalah lembaga naungan istana dengan raja menjadi penaung utama. Sehubungan naungan istana itu, barangkali sudah wujud semacam Lembaga, Suruhanjaya atau Jawatankuasa ‘skriptoria’ dengan dianggotai kaum bangsawan dalam kerja-kerja pentadbirannya. Ahli-ahlinya itu juga bertanggungjawab mengumpul karya dari istana lain di samping urusan lain, walaupun daripada kolofon Hikayat Syamsul Anuar, misalnya kita ketahui pengarang juga bertanggungjawab menyediakan alat-alat tulis dan pejabat, selain daripada terlibat dalam pinjam-meminjam dan tukar-menukar manuskrip. Kerja pengumpulan manuskrip ‘lain’ dari tempat lain dan penghasilan karangan baru perlu ditinjau dalam konteks episod dalam Sejarah Melayu yang akan dipetik nanti . Salah satu sebabnya ialah memiliki, lebih-lebih mengarang sendiri karya seumpama itu juga merupakan sumber keseronokan dan kemegahan yang istimewa setanding dengan memiliki barang lain. Gejala itu gejala sejagat, tidak kira sama ada di Barat atau di dunia Melayu. Ternyata bahawa setiap empayer Melayu teringin untuk menghasilkan karya-karya yang isinya hebat tentang kegemilangan empayernya. Golongan bangsawan seantero dewasa itu sedia maklum tentang nilai manuskrip. Kesedaran mereka memandang teks yang tertentu sebagai sumber ilmu dan pengetahuan itu lahir setelah memikirkan bahawa ilmu dan pengetahuan itu sumber kekuasaan dan kekuatan, lebih-lebih lagi memikirkan bahawa semakin banyak ‘buku’ dimiliki, semakin tinggilah martabat raja dan golongan bangsawan yang berkuasa. Sementara itu, perlu ditegaskan bahawa sebahagian besar kejayaannya menghasilkan manuskrip itu disebabkan pejabat karang-mengarang itu telah ditadbir dengan baik. Pentadbiran dan pengurusannya pasti mempunyai birokrasi dan strukturnya, walaupun kita tidak pasti sama ada ianya sama atau berbeza dengan skriptoria gereja di Eropah atau tempat lain. Demikian juga, kejayaan yang kita banggakan itu tidak mungkin tercapai, apatah lagi berkekalan untuk sekian lama, tanpa adanya ramai pengarang-penyalin yang bersedia untuk berbakti dengan taat setia kepada raja. Dalam konteks itu, sumbangan pujangga-pengarang dan juga pengarang-penyalin bukan sahaja penting kepada pembentukan konsep ‘skriptoria’ di istana, tetapi juga menjadikannya pusat kehidupan seni dan kebudayaan yang terulung di dunia Melayu. Walaupun pejabat karang-mengarang istana Melayu itu mungkin lebih memainkan peranan dalam penghasilan karya rasmi yang menjadi kebanggaan empayer Melayu masing-masing, tetapi peranannya dalam mengasuh bakat calun pengarang serta penyalin lain tidak boleh diperkecilkan. Peranan sampingan dalam pendidikan dan perlatihan itu penting dalam menjamin tradisi ‘skriptoria’ berkekalan, memandangkan hakikatnya bahawa ‘social mobility’ atau ‘occupation mobility’ di kalangan masyarakat Melayu feudal itu amat terbatas.

Episod adanya hikayat dibawa dari Goa dalam Sejarah Melayu dengan raja Melayu, Sultan Alauddin R’iayat Shah, meminta Tun Seri Lanang agar membaikinya itu mempunyai berbagai-bagai implikasi dalam perbincangan ‘skriptoria’ Melayu. Di antaranya ialah tradisi penghayatan teks dan juga penghormatan kepada pengarang-penyalin sudah wujud. Berlatarbelakangkan penghormatan yang dikurniakan itu, pengarang tidak (kira sama ada daripada golongan bangsawan, termasuk Raja Chulan dan Tun Seri Lanang, atau pengarang bukan bangsawan termasuk Hamzah Fansuri dan Abdul Rauf Singkel) boleh keluar masuk ke kompleks istana yang memang diketahui sebagai tempat larangan kepada orang yang tidak berkepentingan dengan istana dan raja. Dalam keadaan fisikal yang paling unggul di pejabat karang-mengarang dalam kompleks istana itulah para pujangga, pengarang, penyalin, penyelidik dan ahli filsuf bukan sahaja bertemu dan berbincang tetapi juga berkarya tanpa risau tentang soal makan minum. Walaupun tidak boleh mencatat nama peribadi, apatah lagi menuntut hak cipta, lebih-lebih lagi kerana karya yang disiapkan atas perintah raja itu harus diserahkan menjadi milik raja menurut konvensi sastera semasa, mereka itu boleh dipandang sebagai pembawa obor sastera dan budaya daripada hujung terowong masa kini. Tradisi kepengarangan tanpa nama pengarang itu berkekalan sehingga abad yang ke 19 kecuali sedikit perkembangan baru dari segi pencatatan nama pengarang seperti yang dilakukan pengarang ulama di empayer Aceh pada abad yang ke 17. 

Walaupun belum diketahui dengan pasti sama ada pejabat karang-mengarang istana Melayu itu telah juga mempunyai sistem pengawalan dan pengawasan yang ketat seperti yang diamalkan di skriptoria gereja Eropah, tetapi yang pasti ialah para pengarang-penyalin yang dinaungi istana itu diharap dapat menghasilkan manuskrip dengan bersih, dengan ditulis dengan kemas dan cantik. Sehubungan itu, belum lagi dijumpai catatan di mana-mana teks undang-undang Melayu yang sudah dikaji atau diterbitkan tentang hukuman ke atas tukang tulis yang membuat kesilapan. Daripada salinan manuskrip yang dapat ditatapi, kita dapati tukang tulis rata-ratanya amat teliti membuat kerjanya. Mereka telah menutup kertas kosong di sekeliling sebelum menyalin. Nota dan catatan tambahan di ruang tepi di setengah teks itu didapati telah dilakukan orang lain, semacam nota kaki yang dilakukan dewasa ini. Beberapa aspek prosidur kerja lain dapat juga disaksikan dari garisan atau kesan lobang halus bekas cocokan jarum dalam setengah manuskrip yang lain. Berbandingkan dengan apa yang disaksikan itu ingin dinyatakan bahawa penggarisan dan penandaan itu tidak dibuat lagi menjelang abad yang ke 19 setelah buku latihan sekolah berukuran sais quarto atau foolscap yang memang mempunyai garisan itu mula digunakan. Penanda dan garisan yang disebutkan ini penting dalam membimbing pengarang agar hanya menulis di ruang yang dibenarkan. Hasilnya, apa yang dikerjakan itu kelihatan kemas walaupun cuma menggunakan pena kalam serta dakwat yang dibuat sendiri dewasa itu. Di sini ingin ditambah bahawa sebahagian besar kerja mengarang dan menyalin manuskrip telah dibuat pada siang, walaupun terdapat juga catatan bahawa kerja-kerja itu diteruskan sehingga jauh malam dengan disuluhi lampu.. Sementara itu ingin disebut juga bahawa kerana ingin menjaga kebersihan teks, perkataan atau ayat yang tersalah tulis itu dibiarkan. Sebab lain mereka berbuat demikian ialah kerana memang susah mendapatkan kertas yang menjadi barangan mewah, selain daripada faktur teknikal belum adanya pemadam, termasuk ‘liquid paper’ dewasa itu. Walaupun tukang tukang salin dewasa itu tentu merasa serba salah bila melakukan ‘kesilapan’, tetapi, untuk mengelakkan diri daripada dimarah, kesalahan yang dilakukan itu sama ada dibiarkan begitu sahaja, atau ditambah perkataan yang betul selepas perkataan yang salah. Itulah salah satu sebabnya terdapat pengulangan kata yang salah, diikuti yang betul dalam Hikayat Syamsul Anuar (Ms 90, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka). Yang ingin disampaikan di sini ialah imej mutu tinggi penghasilan sebuah teks yang bersih, kemas, rapi dan tersusun itu perlu dijaga, memandangkan kerja itu dibuat atas arahan raja atau bangsawan. Keperihatinan seumpama itu tidak kurang nilainya berbanding dengan penghasilan sebuah ukiran kayu atau batu, atau pembuatan kain batik atau songkit. Masyarakat dahulu dan juga masa kini terkagum dengan teks manuskrip sebagai karya seni dan menghormati orang yang menghasilkannya.Selain apa yang disebut tadi, ingin juga disentuh di sini bahawa setengah kesalahan itu bukan disebabkan kesilapan dan kecuaian daripada penyalinnya, kerana setengah manuskrip yang dijadikan sebagai contoh untuk disalin itu memang sudah korup. Ada banyak sebab teks itu menjadi rosak, maka menjadi duri dalam daging dan yang paling mengganggu pengkajian manuskrip Melayu masa kini. Setengah kerosakan itu disebabkan dislokasi isi kandungan teks akibat beberapa ayat dan halamannya sudah tercicir. Punca kerosakan yang lain ialah teks itu sudah tercemar kerana air liur, air sirih dan abu rokok. Menyedari susahnya kerja yang mereka lakukan itu, setengah tukang salin merasa perlu untuk menasihati pembacanya agar jangan makan sirih atau merokok semasa membaca manuskrip agar ianya tidak terkena air liur, lantas menjadi kotor atau abu rokok, atau terbakar. Sesusah manapun kerja penyalinan itu, para pengarang-penyalin masa lampau telah melakukannya dengan tabah, sabar, cekal dan merendah-rendahkan diri, kerana itulah juga cara lain mereka menunjukkan bakti kepada raja. Hanya tukang salin abad yang ke 19 berani meluahkan kesusahan mental dan fisikal yang ditanggong di kolofon sesetengah manuskrip. Salah satu contohnya ialah Hikayat Syamsul Anuar (Ms1 di Perpustakaan Universiti Malaya) dan naskah yang tersimpan di Koleksi Muzium Negeri Terengganu. 

3. Fungsi dan Peranan Pengarang-Penyalin Tradisi Manuskrip

‘Skriptoria’ Melayu mungkin telah juga memperlihatkan beberapa sifat pengarangan dan kesarjanaan Eropah zaman pertengahan seperti yang dikaji A.J. Minnis (1984; 1988). Sehubungan itu, ingin dipetik teori Bonaventure tentang pengarang dewasa itu sebagaimana yang dipetik Minnis: 

"For someone writes the materials of others, adding or changing nothing and this person is said be merely the scribe. Someone else writes the materials of others, adding, but nothing of his own, and this person is said to be the compiler. Someone else writes both the materials of other men, and of his own, but the materials of others as the principal materials, and his own annexed for the purpose of clarifying them, and this person is said to be the commentator, not the author. Someone else writes both his own materials and those of others, but his own as the principla materials, and the materials of thers annexed for the purpose of confirming his own, and such person must be called the author."(1984:94). 

Dalam kesusasteraan Melayu tradisional, nama pengarang meliputi semua orang yang terlibat dalam mengarang. Seperti seniman lain, pengarang dewasa itu amat versatile, penuh dengan daya kreativiti dan imaginasi. Selain mempunyai tabung ilmu pengetahuan yang luas, mereka mempunyai sifat semulajadi pandai bercerita dengan bahasa yang indah. Tetapi, mereka bersikap merendah-rendahkan diri, maka jarang menonjolkan diri sehingga menjadikan diri terasing daripada anggota masyarakat lainnya. Sikap merendahkan diri itu sebahagian daripada sifat memperhambakan diri untuk berbakti kepada raja dalam sistem politik feudal masyarakat dewasa itu. Berhubung dengan karang-mengarang, pengarang Melayu masa itu ternyata telah melakukan beberapa aspek kerja pengumpulan, penyuntingan, pengulasan, penyalinan dan juga penterjemahan. Gabungan kerja-kerja tersebut bertukar-ganti menurut situasi, masa dan tempat, lebih-lebih lagi isi cerita serta khalayaknya. Nama pengarang itu nama yang umum. Oleh sebab penyalin juga mengarang, maka golongan pengarang perlu dibezakan daripada penyalin dengan nama pengarang-penyalin misalnya. Dalam proses pengarangan dan juga penyalinan, para ‘tukang salin’ itu mungkin menjadi pengulas, mungkin menjadi editor, mungkin menjadi penyalin, mungkin menjadi alim ulama dan sebagainya. Pertindihan kerja mereka boleh digambarkan kurang lebih seperti rajah yang disertakan ini. 

Penghormatan yang diberi masyarakat semasa dan setempat kepada penyalin tidak kurang berbanding dengan yang diberikan kepada pengarang asal, kerana sumbangan mereka bukan sahaja memperbanyakkan salinan manuskrip dan teks lain, tetapi juga turut mengarang serta memperbaiki manuskrip yang disalin. Kerja dan tanggungjawab itu dilakukan menurut pengalaman, bakat, kepandaian, minat, ilham serta selera masyarakat setempat dan semasa. Kepengarangan seumpama itu dimungkinkan tradisi kepengarangan dan kesarjanaan masyarakat dewasa itu yang tidak peka, maka tidak mementingkan unsur keaslian serta hak cipta pengarang individu. Perkembangan itu amat berbeza dengan kepengarangan mazhab Romantisme di Eropah pada abad 19, yang juga menjadi landasan keretapi teori kepengarangan moden.

Ramai tukang salin (nama lain pengarang-penyalin itu) yang berbakat dalam mengarang telah memanfaatkan kerja penyalinan untuk turut membaiki contoh manuskrip yang korup. Asalkan tidak menggunakan pena sebagai senjata untuk melawan raja dan kaum bangsawan lainnya yang menajdi penaung, mereka bebas mengarang. Disebaliknya, penyalin yang tidak berbakat demikian tentu mendapati kerja penyalinan itu mekanikal dan susah. Golongan penyalin yang kedua inilah barangkali telah mengkorupkan lagi teks contoh yang korup. Korupsi itu telah banyak dikesan ahli filologi, termasuk Russel Jones dan T. Teeuw pada abad yang ke 20 ini. Punca utama timbulnya korupsi tersebut barangkali ialah tidak adanya sistem pengawasan manuskrip yang telah disalin. Sekiranya benar, ianya akan memperbezakan mekanisma operasi ‘skriptoria’ di alam Melayu dengan skriptoria gereja di Eropah: skriptoria gereja di Eropah bukan sahaja mengarah tukang salin melakukan kerja itu dengan teliti, cermat malahan teks contoh yang ingin disalin itu telah disemak untuk memastikan ianya lengkap dan tidak korup, termasuk tidak ada halaman yang tersalah susun atau tercicir; tetapi teks contoh yang diminta disalin di dunia Melayu itu bukan sahaja mungkin sudah korup, tetapi juga telah rosak di sana sini, termasuk halamannya tersalah susun dan yang lainnya tercicir. Dalam konteks ini, sekiranya penyalin di Eropah cuma melakukan kerja mekanikal menyalin, tetapi pengarang-penyalin Melayu telah diberi tanggungjawab tambahan untuk membaik-pulihkan teks contoh. Kerja yang merangkumi pengarangan semula itu tidaklah mudah, kerana ianya melibatkan pemilihan, pengungkaian, penggabungan dan pengarangan semula. Kerja itu ternyata bukan kerja perkeranian, kerja mekanikal; tetapi sebahagian daripada kerja kreativiti. Beberapa aspek operasi kerja itu serta kewibawaan penyalin-pengarang dalam tradisi manuskrip Melayu boleh dirujuk dalam kajian saya (1994). Masalah yang dihadapi pengkaji manuskrip Melayu dewasa ini ialah sebarang pembetulan dan pembaikan yang dilakukan dengan sedar itu tidak dinyatakan. Hal itu barangkali disebabkan amalan dan tradisi kepengarangan dan kesarjanaan dunia Melayu masa lampau tidak peka, maka tidak mementingkan unsur keaslian, lebih-lebih lagi hak cipta pengarang individu. 

Daripada apa yang disebutkan tadi, dapatlah dibayangkan kerumitan kerja penyalinan, selain kesibukan tukang salin atau penyalin-pengarang itu. Kerja itu rumit kerana melibatkan ramai orang seperti dalam persembahan wayang kulit. Sekiranya tukang itu watak penting dalam persembahan wayang kulit, maka dalam konteks pengarangan semasa itu, penyalinlah watak yang paling penting. Mereka dikelilingi ramai pembantu. Setengahnya membaca teks asal (akan dibincangkan nanti) dan yang lain menyediakan dakwat, sementara yang lain-lain pula menyediakan pena dan kalam. Pertolongan dan kerjasama seumpama itu amat diperlukan bukan sahaja mengelakkan tukang salin daripada terlibat secara langsung dalam menyediakan dakwat, merautkan kalam, mengeringkan halaman yang basah dan seterusnya, agar kerja ‘menyalin-mengarang’ itu dapat berjalan dengan lancar, tetapi juga memikirkan bahawa mencari atau merujuk sendiri kata-kata, ayat dalam teks contoh yang ditulis bersambungan, tanpa nombor halamannya itu bukan sahaja susah, tetapi juga mengambil masa yang panjang. Masalah terakhir yang dihadapi itu akan berlipat ganda sekiranya terdapat halaman yang tersalah susun atau tercicir. Sudah disebut tadi bahawa kerja yang susah itu telah dilakukan dengan tabah. Kebanyakan mereka bukan sahaja berbakat dalam mengarang tetapi juga mempunyai tulisan tangan yang cantik. Sekalipun belum diketahui sama ada mereka melakukan kerja itu sepenuh masa atau tidak, yang diketahui ialah kebanyakan mereka memang membuat banyak kerja lain, termasuk menjadi semacam kerani di istana. Di sini ingin ditambah bahawa pengarang selaku mentor di istana boleh dilihat pada diri Raja Aisyah Sulaiman di Pulau Penyengat pada abad yang ke 19 (Ding, 1994a).  

4. Proses Pengarangan-Penyalinan 

Memandangkan kerja penyalinan dan pengarangan sukar dipisahkan dalam konteks kepengarangan Melayu tradisional, maka adalah wajar untuk kedua-dua proses kerja itu digabungkan dan dipandang sedemikian. Dengan itu, lahirlah proses bersepadu seperti yang dirangkumi dalam perkataan pengarangan-penyalinan. Sebelum menghurai proses itu, ingin dijelaskan bahawa sebelum adanya kemudahan alat cetak, mesin fotokopi, kamera serta teknologi menduplikasi lainnya, cara itulah juga satu-satunya saluran yang ada masa itu dalam memperbanyakkan salinan manuskrip, selain daripada menyelamatkan teks yang sudah rosak daripada hilang terus. Namun, delima terbesar akibat kemajuan sains dan teknologi dalam konteks perbincangan penyalinan manunuskrip ialah alat tulis dan pejabat ciptaan sains itu bukan sahaja telah merevolusikan proses penyalinan, tetapi juga telah membunuh tradisi penyalinan manuskrip, dalam ertikata menjadikan penyalinan manuskrip bukan lagi proses kreatif, tetapi satu proses mekanikal. Selain itu, industri perbukuan - satu lagi hasil perkembangan teknologi percetakan - bukan sahaja membakukan teks, tetapi juga mempertajamkan kesedaran masyarakat tentang hak cipta pengarang individu. Dengan itu, lahirlah definisi baru tentang pengarang dan kepengarangan. Perkembangan teknologi percetakan itu sudah dibincangkan panjang lebar oleh Eistenstein (1979) dan Febvre serta Martin (1976), manakala teori kepengarangan telah dibincangkan Foucault (1979), di antara banyak sarjana lainnya.

Berbalik kepada zaman sebelum alat cetak, kita dapati perubahan dan kelainan yang tercacat dalam teks manuskrip masa lampau itu ada banyak sebabnya. Di sini cuma disebut empat teknik atau cara penyalinannya. Pertama, sebelum membuat penyalinan, ‘tukang salin’ (bukan istilah yang tepat) yang diberikan tugas itu akan membaca sendiri teks contoh. Membaca dewasa itu rata-ratanya diertikan membaca dengan suara yang kuat dan dengan emosi. Cara itu juga diamalkan di skriptoria Yunani dahulu. Kedua, penyalin tidak semestinya menyalin apa yang telah dibaca, tetapi apa yang difikirkan sebagai yang sesuai. Di sini timbul aktiviti penokok-tambahan. Proses (penambahan atau pembuangan) itu dilakukan dengan sedar agar karya baru yang dihasilkan itu lebih tinggi mutunya, maka lebih bermutu dan sesuai dengan kehendak penaung dan khalayak lainnya. Ketiga, teks contoh yang disalin itu dibaca orang lain, sementara ‘tukang salin’ hanya menulis (termasuk mengarang) setelah memahami, lebih-lebih lagi menghayati cerita yang dibaca itu. Keempat, terdapat juga kemungkinan tukang salin menggunakan campuran mana-mana satu teknik tadi sesuai dengan kehendak, keadaan dan syarat-syarat lain. Yang nyata ialah pengarang-penyalin tadi telah memanfaatkan fungsi mata, mulut, telinga dan tangan secara bertukar-ganti dalam menjalankan tugas yang berat itu. Proses itu bermula dengan memahami apa yang dibacakan, kemudian menggerak-gerakkan kalam di dalam tangan mencatatkan apa yang ingin diekspreskan. Jarak masa dari saat membaca sehingga saat menulis itu berbeza-beza, mungkin sekejap dan juga mungkin lama, terpulang kepada situasinya. Dalam masa itu, mereka barangkali memejamkan mata kerana merasa nikmat tentang keindahan cerita dan kehalusan bahasa, lebih-lebih lagi setelah memikirkan keindahan cerita lainnya yang berlegar-legar atau bermain rancak dalam kepala. Pendek kata, kerja yang dilakukan pengarang-penyalin di dunia Melayu dewasa itu bukanlah sekadar kerja perkeranian yang mekanikal sifatnya, tetapi juga sebahagian daripada kerja mencipta dan mengarang. Penggabungan bakat kreatif dan ketekunan menyalin-mengarang itu memberi warna dan penghormatan kepada watak pengarang-penyalin itu sebagai pengarang, penyunting, pengumpul dan sebagainya. Setiap watak itu mempunyai peranan yang tersendiri. 

Gambaran yang diberi itu memperlihatkan bahawa ‘jurutulis’ (satu lagi sebutan yang sering digunakan untuk golongan pengarang itu) dalam tradisi manuskrip masa lampau tidak membuat salinan betul-betul menepati teks contoh. ‘Pembaikan’ hikayat yang dibawa dari Goa, seperti yang diarahkan kepada Tun Seri Lanang, dalam Sejarah Melayu itu terang-terang menunjukkan bahawa kerja itu bukanlah sekadar menyalin secara mekanikal, tetapi penghasilan karya yang baru bermodelkan teks yang sedia ada. Amalan itu diterima baik bukan sahaja di dunia Melayu, tetapi juga di Eropah masa lampau, kerana tradisi kepengarangan dewasa itu rata-ratanya tidak menitikberatkan unsur keaslian, apatah lagi hak cipta pengarang individu.Oleh itu, dalam konvensi sastera semasa, semua pengarang- penyalin yang kreatif itu tidak melepaskan peluang yang terbuka itu untuk memasukkan ide, cerita, ilmu dan bakatnya. Hasilnya, terdapat gejala persamaan dalam perbezaan dan juga perbezaan dalam persamaan dalam sesetengah teks, tidak kira samada teks bersifat pensejarahan atau hiburan. 

Dalam perspektif budaya semasa, penambahan dan perkembangan itu perlu dilakukan untuk menjadikan karya yang baru dihasilkan itu lebih sesuai dengan kehendak masyarakatnya. Dari segi pengarangan dan kepengarangan itu, kebanyakan salinan manuskrip Melayu yang kita warisi itu adalah hasil kumulasi pengalaman, kepakaran, ketokohan, kepengarangan, kesarjanaan, ilham dan sebagainya daripada banyak pahlawan pengarang-penyalin tanpa nama dalam tradisi manuskrip. Dalam konteks ini, yang menjadi masalah kepada pengkaji kesusasteraan Melayu tradisional dewasa ini ialah kesalahan yang ditinggalkan. Selain punca kesilapan seperti halamannya tersalah susun, yang sudah disebut tadi, punca kesilapan dalam konteks ini ialah tersilap membaca, terutamanya nama khas orang dan tempat. Selain itu terdapat juga kesilapan yang berpunca daripada orang yang menyalin itu terkeliru dengan tulisan yang serupa bentuknya. Sementara itu, terdapat juga setengah penyalin dengan sedar atau tidak (yiaitu secara sengaja atau tidak), telah menggantikan perkataan yang pelik, yang tidak difahami mereka dengan perkataan lain yang mereka fahami, setelah merasa penggantian itu adalah lebih tepat dan wajar. Kesemua ‘kesilapan’ tersebut tidak lain daripada percubaan mereka membetulkan perkataan, ayat, cerita yang janggal dalam teks contoh yang mungkin sudah korup. Masalah pokok di sini ialah mereka sendiri telah mendapat maklumat yang salah. 

Walau bagaimanapun, penyalinan karya sastera berbeza dengan penyalinan kitab ugama dan karya ketatanegaraan. Perbezaan itu disebabkan ketidaksamaan wacana di antara kepengarangan ketiga-tiga genre sastera itu (Foucault 1979), selain daripada perbezaan tujuan pembacaan ketiga-tiga genre sastera tersebut. Karya sastera rata-ratanya dibaca untuk mendapatkan hiburan, sedangkan kitab ugama untuk rujukan pengajaran; manakala hikayat tentang kegemilangan empayer Melayu dibaca untuk merasa atau mengenang kembali keagungan bangsa Melayu masa silam. 

5. Titik Perubahan 

Tradisi pengarangan serta penyalinan manuskrip di pejabat karang-mengarang istana Melayu telah berterusan sehingga kurun yang ke 19. Keruntuhan empayer Melayu di tangan orang putih menyebabkan tradisi itu berpindah ke luar istana. Pemindahan itu dapat dikesan di skriptoria baru yang ditubuhkan di pejabat orang putih dan juga rumah penyalin Melayu lainnya. Kini, kita cuma digamit nostalgia bila mengenangkan kekaguman, kehebatan dan keistimewaan tradisi itu yang barangkali telah mencapai mercu ketinggiannya di empayer Melaka dan Acheh. Bertongkatkan kegemilangan sejarah kedua-dua empayer Melayu itu, ramai pengarang, pujangga, ahli filsuf, tokoh ugama dan sebagainya telah lahir atau datang dari tempat lain, jauh dan dekat. Setengah mereka telah mengarang karya baru di kedua-dua istana tersebut, sementara setengah yang lain telah membawa banyak karya dari tempat lain untuk diberi sebagai hadiah kepada istana yang dikunjungi. 

Berlatarbelakangkan perkembangan itu, zaman peralihan abad yang ke 19 itu bukanlah zaman kemuncak kreativiti dan penghasilan manuskrip Melayu untuk kemegahan bangsa Melayu, tetapi zaman kemuncak penyalinan manuskrip Melayu untuk kepentingan orang putih dalam sejarah budaya Melayu. Banyaknya skriptoria orang Inggeris dan Belanda di Indonesia, Malaysia dan juga Singapura adalah kerana ‘tukang salin’ Melayu masa itu rata-ratanya buruh murah. Upah yang dibayar kepada mereka mungkin lebih rendah daripada harga yang dibayar kepada kertas, pena dan dakwat yang diimport dari Eropah. Skriptoria di Algemeene Secretarie di Batavia, yang diperkatakan Voorhoeve (1964) itu bukanlah skriptoria Melayu, tetapi skriptoria yang dinaungi orang Belanda yang menggunakan kertas Eropah tetapi ditulis orang Melayu. Menurut Behrend (1992), Cohen Stuart juga mempunyai skriptorianya semasa beliau bertugas sebagai pengawet manuskrip untuk Bataviaasch Genootschap daripada 1862 hingga 1871. Pegawai pentadbir Eropah itu telah mengupah sepuluh jurutulis untuk menyalin manuskrip Java. Salah seorang jurutulis kanan di skriptoria Cohen Stuart ialah Suryawijaya, kebetulan juga seorang pengarang. Tentulah motif skriptoria seumpama itu berbeza daripada motif asal skriptoria Melayu di istana Melayu dahulu. Namun demikian, setengah tukang salin Melayu yang diupah di skriptoria orang putih pada mula-mulanya itu barangkali pernah bekerja di istana dahulu, atau ahli keluarga atau saudara mara mereka. Kemungkinan itu besar sekali memandangkan ‘sosial mobility’ dewasa itu masih amat terbatas, selain daripada hakikat bahawa kadar literasi di kalangan orang Melayu masih rendah. Keadaan itu tidak berubah sehingga orang putih sendiri mengambil alih peranan mendidik dan melatih orang Melayu menjadi kerani di pejabat mereka kemudian. Salah seorang itu ialah Abdullah Munsyi yang pernah dilatih Sir Stamford Raffles. 

Walaupun banyak manuskrip Melayu telah dibawa ke Eropah sebelum abad yang ke 19, tetapi sebahagian besar koleksi manuskrip Melayu di Eropah berasal daripada kegiatan penyalinan yang dilakukan secara besar-besaran dewasa itu. Banyak daripada manuskrip yang mula-mulanya menjadi milik peribadi sarjana, pegawai tadbir dan ahli politik Inggeris dan Belanda telah dijual, diamanahkan atau dihadiahkan ke perpustakaan dan institusi budaya serta pengajian tinggi di Great Britian dan Belanda. Soalan yang belum diketahui jawapannya sekarang ialah berapa peratus daripada salinan manuskrip itu dikerjakan di skriptoria orang putih, beberapa peratus pula dikerjakan di rumah orang Melayu sendiri, dan berapa peratus pula yang telah dikerjakan di istana Melayu sebelumnya. 

Selain disalin semula, pembaharuan lain yang diperkenalkan tuan orang putih di skriptoria mereka ialah orang Melayu diminta memasukkan nama, tarikh dan tempat penyalinan itu di kolofon. Gejala itu bukan sahaja sejajar dengan kesedaran hak cipta, tetapi juga senafas dengan ciri kepengarangan model baru. Dengan itu, kita dapat mengenali nama seperti Muhammad Cing Sa’idullah yang telah dilantik sebagai ‘penyalin kanan’ di skriptoria orang Belanda. Sementara itu, penyalin yang lain mula berani meluahkan kesusahan mental dan fisikal yang ditanggung mereka.

Rujukan: 

Ding Choo Ming. Manuskrip-manuskrip Melayu Yang Telah Dikaji: Satu Tinjauan Awal. Tesis MA, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1988.

Ding Choo Ming. Kepengarangan Melayu Di Pinggir Abad Yang ke 19: Raja Aisyah Sulaiman. Tesis Ph.D, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1994. 

Ding Choo Ming. "Raja Aisyah Sulaiman dan Imej Pengarangnya." Jebat 22 (1994a): 110-136. 

Eisenstein, E.L. The Printing Press as an Agent of Change: Communications and Cultural Transformations in Early Modern Europe. Cambridge: Cambridge University Press, 1979. 

Febvre, L dan Martin H.J. The Coming of Book: The Impact of Printing, 1460-1800. London: New Left Books, 1976. 

Foucault, Michel. "What Is An Author?" Dalam Harari, Josue V (penyunting): Textual Strategies: Perspectives in Post-Structuralist Criticism, Ithaca: Cornell University Press, 1979. hal. 141-160. 

International Workshop on Indonesian Studies: Southeast Asian Manuscripts. Leiden, 1992. 

Voorheeve, P. "A Malay scripterium." Dalam Malayan and Indonesian Studies; essays presented to Sir Richard Winstedt ... Disunting John Bastin dan R. Roolvink. Oxford: Clarendon Press, 1964. hal. 256-266.

Artikel ini berdasarkan kertas kerja yang telah dibentangkan di Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu pada 3-4 Oktober 1995 di Perpustakaan Negara Malaysia

Click here to get back

 

 

 

 

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1