Maklumat pribumi dalam Internet 

Oleh Ding Choo Ming

Dewan Budaya 20,4 (1998): pp. 42-43


Pengenalan 

Sebagai lehubraya maklumat dunia, internet kini digunakan 100 juta orang di 120 buah negara. Kelebihan saluran maklumat eletronik baru itu dengan jumlah maklumat yang sudah memang banyak dan masih bertambah dari masa ke masa itu sudah diketahui umum. Dalam rencana ini, perhatian akan diberi kepada mempromosikan maklumat pribumi. Yang dimaksudkan maklumat pribumi tidak lain daripada maklumat yang berasal dari satu-satu negara, tidak kira bahasanya. Dalam memperkatakan maklumat jenis itu, perhatian kita akan diberi bukan sahaja kepada soalan berapa banyak maklumat itu, dan apakah jenis maklumat itu (berita, dokumentari, gambar, ringkasan, teks penuh, dan lain-lain), tetapi juga adakah pengaliran trafik itu sehala atau dua hala dan sama ada ianya mengalir secara mendatar (horizontal) atau menegak (vertical). Kesemua soalan tadi ada kait-mengait dengan apakah faktur yang mempengaruhi aliran dan jenis maklumat tadi, lebih-lebih lagi apakah tujuan pengaliran maklumat secara sejagat itu? Segala-galanya itu terjurus kepada soalan apakah kesannya ke atas negara sumber maklumat dan juga negara sasarannya?  

Dengan meninjau maklumat pribumi Malaysia, misalnya, dalam konteks pengaliran maklumat sejagat di Internet, dapat diketahui serba sedikit kumpulan masyarakat yang mana yang lebih banyak menggunakan media komunikasi eletronik itu di Malaysia. Adakah kumpulan itu jabatan kerajaan Malaysia, atau syarikat dan korporat, atau industri maklumat atau orang individu? Walaupun setiap kumpulan itu mengeluarkan maklumat yang tersendiri, misalnya maklumat tentang dasar kerajaan dari jabatan kerajaan, maklumat perangkaan dan kewangan daripada syarikat dan korporat, dan maklumat bibliografi daripada pusat dokumentasi, tetapi kesemua itu memberi aspek lain tentang keragaman maklumat Malaysia.  

Internet 

Keghairahan orang ramai terhadap Internet dijangkakan akan terus melonjak kerana peranannya sebagai media komunikasi dan penyebaran maklumat eletronik yang paling murah, mudah dan cepat.. Selain itu, ianya telah juga menjadi media tele-persidangan, tele-perniagaan, tele-perubatan dan tele-pendidikan. Perkembangan itu menandakan bermulanya sistem komunikasi baru yang pasti akan mendatangkan dampaknya yang tersendiri dalam hidup kita nanti. Ke mana kita akan dibawa perkembangan teknologi itu amatlah sukar dibuat ramalan pada masa kini. Sejauh mana sistem pendidikan, kerajaan, perubatan, perniagaan dan pembayaran yang ada sekarang ini akan diganti dengan sistem baru yang berorientasikan teknologi tinggi itu sama-samalah ditunggu. Yang pasti ialah banyak aspek kerja dan komunikasi kita sudah berubah sejak adanya Internet. Perubahan budaya dan struktur kerja kita sudah terbayang pada pengaruh Internet menjadikan perbezaan di antara penerbitan dan penyebaran maklumat eletronik begitu kabur sehinggakan kedua-dua perkara yang dianggap berasingan satu masa dahulu itu sudah bergabung. Kesannya sebagai alat penyebaran maklumat global yang sudah digunakan 100 juta orang di 120 buah negara seperti yang disebut tadi itu membuat kita tertarik hati untuk mengkaji peranannya dalam melahirkan a New World Information and Communication Order. Kajian itu berasaskan hakikat bahawa kita boleh mendapat kebanyakan maklumat eletronik di Internet kerana kehebatan teknologi hyperlink yang membolehkan pencarian kita itu disambung dari satu link ke satu link yang lain. 

Kira-kira satu dekad lalu, hanya negara maju dan yang mempunyai teknologi telekomunikasi yang canggih sahaja dapat menyebarkan sebanyak mana maklumat untuk menembusi sempadan dan ruang udara negara lain, tidak kira lokasi dan jaraknya. Monopoli seumpama itu sepatutnya sudah tidak wujud lagi dengan semakin banyak negara lain tahu memanfaatkan dan memperalatkan Internet sebagai media penyebaran dan pencapaian maklumat. Tetapi, monopoli itu masih berterusan. Selain inovasi teknologi dan kemampuan ekonomi, ada banyak perkara perlu diperkatakan dalam pengaliran maklumat sejagat, lebih-lebih lagi sukarnya monopoli barat dalam hal ini dihapuskan. Di antaranya ialah kuantiti maklumat, kualitinya, keragamannya, jenisnya, imbangan dan kebebasan aliran, halangan budaya dan psikologi orang ramai. 

Sumber maklumat  

Aliran maklumat dari sebuah negara ke sebuah negara yang lain di internet adalah semakin rancak di era maklumat, lebih-lebih lagi di era pasaran global. Dari perspektif yang positif, pengaliran maklumat, lebih-lebih lagi yang bersifat saling pertukaran maklumat dua hala, memang merupakan batu asas pembinaan dan peningkatan persefahaman antarabangsa. Persefahaman itu jembatan emas kepada peningkatan jalinan perdagangan, pembangunan industri perlancongan serta kerjasama lain untuk kepentingan bersama. Kepentingan bersama itu sukar dipupuk, apatah lagi diperkembangkan sekiranya ada pra-sangka, rasa cemburu, salah faham serta kejahilan sebuah negara terhadap yang lain akibat kurangnya pengaliran dan pertukaran maklumat yang membina. Walaupun pengaliran maklumat antarabangsa itu asas persefahaman antarabangsa, tetapi adakah komunikasi maklumat antarabangsa betul-betul telah dimanfatkan untuk mencapai objektif yang baik tadi? Yang berlaku selama ini ialah banyak daripada komunikasi itu adalah untuk menegakkan imej yang palsu, malahan berniat untuk menghasut, mengapi-apikan ‘pergaduhan’, lantas menjadikannya sebagai alasan untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara yang tidak disenangi, atau yang tidak sependapat dengannya. Bukankah perbezaan kepentingan dan pendapat di antara sebuah negara dengan yang itu perkara biasa? Setelah ditenung, memang ternyata bahawa perbezaan itu mungkin disebabkan perkara yang sensitif pada sebuah negara tidaklah sedemikian pada negara yang lain. Selain itu perbezaan di antara sebuah negara dengan yang lain juga disebabkan perbezaan sejarah, budaya, latar belakang, dan juga persekitaran. Semua orang sebulat suara berpendapat bahawa usaha mesti diperhebatkan untuk mempertingkatkan saling persefahaman di antara negara. Tetapi, mereka berbelah bagi tentang siapa (yaitu sama ada jabatan kerajaan,atau syarikat atau individu) yang harus dipertanggongjawabkan melakukannya. 

Daripada kajian yang dilakukan secara rambang, maklumat tentang Malaysia di Internet memang banyak dan amat mengkagumkan. Tetapi, setelah ditinjau dengan lebih mendalam dan dekat, kira-kira 75% daripada jumlah maklumat itu berasal dari luar Malaysia. Untuk mengetahui maklumat yang berasal daripada Malaysia, arahan seperti ‘islam.url.my’, atau ‘tourism.url.my’ (yaitu kata kunci untuk subjek yang ingin dicari dipadankan dengan url.my’ di AltaVista, atau arahan seperti ‘tourism AND malaysia’ digunakan pada enjin gelintar MetaCrawler). Sebagaimana negara Afro-Asia dan Latin Amerika, atau negara Selatan lainnya, ada banyak sebab Malaysia belum lagi menjadi pusat maklumat eletronik (Internet) yang utama tentang Malaysia. Di antaranya ialah (i) kos, (ii) teknik, (iii) kakitangan, dan (iv) kesedaran. Gabungan semua faktur itu mesti ada sama ada untuk memulakan, lebih-lebih lagi menyelenggara (initiating and maintaining) maklumat dan juga teknologi penyebaran maklumat. Walaupun masalah teknik dari segi transmisi dan penerimaan data secara fizikal, seperti ‘incompatibility of services, systems, hardware and software, computer and communication standards, boleh diatasi, tetapi ia juga melibatkan kos yang mahal, tahap profesionalisme kakitangan yang tinggi serta kesedaran yang meluas tentang pentingnya maklumat pribumi (negara) untuk kedaulatan negara. Segala-galanya itu mesti dijadikan pra-syarat dan motif utama sebarang usaha menyebarkan maklumat pribumi dalam jangka masa pendek dan panjang. Mungkin dihalangi masalah tersebut, maka banyak kerja dokumentasi di pusat dokumentasi negara ini masih diteruskan berbantukan teknologi yang konvensional dan kemudahan ‘off-line’. Faktur lain yang tidak kurang penting dan berkesan dalam jangka masa pendek dan panjang ialah pelajar yang mengikuti kursus sains maklumat didapati telah memberi perhatian lebih kepada hal-hal teknologi dan bukannya pengurusan maklumat. Delima tersebut itu ada kaitannya juga dengan kurangnya kesedaran kita sendiri tentang pentingnya maklumat pribumi Malaysia untuk menjaga kedaulatan budaya dan ekonomi Malaysia. Tidak kira sama gejala itu bersifat sementara ketika negara kita melalui proses peralihan daripada pembangunan ekonomi menuju ke arah masyarakat bermaklumat yang sudah maju ekonominya nanti, tetapi rakyat Malaysia rata-ratanya lebih ghairah mengejar kemewahan ekonomi dalam era penswastaan dan pasaran global sekarang. 

Realiti yang ada sekarang ialah sumber kebanyakan maklumat tentang Malaysia, yang tersebar di luar Malaysia itu berasal dari Malaysia. Yang berlaku sekarang ialah maklumat itu disebarkan agensi berita, penerbit dan juga pangkalan data di New York, Toronto, Washington D.C., London, Paris dan Melbourne, misalnya, setelah pengarang masing-masing memproses semula berita dan maklumat mentah yang mereka terima dari negara ini, seperti juga dari Afro-Asia dan Latin-Amerika lainnya. Pembajiran maklumat dari barat tentang Malaysia sama ada di dalam atau luar Malaysia itu tidak banyak berbeza dengan lebih banyaknya lagu, filem, karton di siarkan di radio dan television Malaysia sekarang. 

Kerajaan yang berdaulat bukan sahaja amat peka terhadap pengaliran maklumat di dalam negeri, tetapi juga di luar negara, terutamanya maklumat yang sensitif kepada kepentingan negara itu. Oleh sebab itu, banyak negara sudah menggubal dasar maklumat negara untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan negaranya. Ini disebabkan amatlah sukar untuk mana-mana negara mengubah pandangan dunia yang negatif terhadapnya. Ini mudah terjadi sekiranya lebih banyak maklumat tentangnya masuk dari luar negara berbanding dengan yang keluar daripada negaranya, dan juga lebih banyak maklumat yang buruk mengenainya disiarkan di luar negara daripada kemampuannya menyiarkan maklumat untuk membela diri. Memandangkan maklumat mempunyai nilai pembangunan sosio-ekonomi dan politik, banyak negara, khususnya yang maju sudah lama merasa perlu memberi perlindungan kepada perkembangan industri maklumat di negara masing-masing. Dalam konteks itu, negara Eropah sudah menggubal dasar maklumat negara masing-masing, selain memberi galakan untuk membangunkan pelbagai pangkalan data dan pusat dokumentasi eletronik sejak tahun 1980an. Langkah itu setidak-tidaknya mempunyai tiga objektif: (1) penting untuk menyebarkan maklumat daripada perspektif Eropah, (2) membolehkan negara Eropah mengakases dan bertukar maklumat daripada kepelbagaian pangkalan data dan pusat dokumentasi yang dibangunkan itu dengan mudah, cepat dan murah dan (3) menghadapi pengaliran masuk maklumat dari Amerika Syarikat. Pendek kata, pembangunan industri maklumat pribumi di negara Eropah kira-kira 20 tahun dahulu itu ekoran daripada kesedaran mereka tentang banyak akibat yang buruk sekiranya terlalu banyak bergantung pada maklumat negara asing. Di antara akibat buruk yang perlu dijauhi ialah ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara, yang selanjutnya bergantung dan juga ditentukan kedaulatan ekonomi, teknikal, budaya, perdagangan dan pemasaran negara itu dengan negara yang lain di pentas antarabangsa. Kesemuanya itu pula bergantung dan juga ditentukan pengaliran maklumat di luar negara masing-masing. Sehubungan itu, jikalau maklumat negatif dari negara asing ‘dibiarkan’ membanjiri maasa media tempatan dan antarabangsa, sudah tentu pemimpin negara mendapati diri mereka amatlah sukar untuk bercakap dan membuat keputusannya di pentas politik dan ekonomi antarabangsa kerana sukar untuk mengubah prasangka dan pandangan dunia yang negatif terhadapnya.dan juga negaranya. Kalau demikian, kebolehannya untuk cuba mempengaruhi haluan politik, ekonomi, sosial dan budaya antarabangaa amatlah terhad, kalau tidak diragui-ragui negara lain. Yang nyata berlaku ialah bukan sahaja imej pemimpin negara itu mudah tercemar, malahan .kedaulatan negaranya akan turut terancam. Itulah kuasa maklumat (di Internet) di era paska-modernima ini. 

Cabaran yang dihadapi tidak lain daripada (1) menambah kuantiti berita dan maklumat pribumi, (ii) memperbaiki kualitinya dan (iii) menambah keragaman berita dan maklumat peribumi di massa media eletronik. Usaha ke arah itu sudah dilakukan dengan banyak negara sudah mengembangkan rangkaian radio dan television masing-masing, lebih-lebih lagi menyebarkan maklumat pribumi dari perspektif negara di Internet. Sasarannya ialah pembaca dan pendengar di luar negara, terutamanya negara maju. untuk membuat mereka tertarik hati untuk mendapatkan maklumat pribumi untuk mengetahui masalah yang dihadapi dan peluang yang terbuka di negara itu dengan lebih baik. Inilah asas untuk membina persefahaman demi kepentingan bersama yang disebutkan tadi. 

Tetapi, halangan yang harus ditembusi dan dirobohkan sehubungan itu banyak dan rumit, kerana bukan sahaja melibatkan aspek lahariah (pembangunan ekonomi fizikal dan penggunaan teknologi), tetapi juga aspek rohaniah (mental dan psikologi). Pertama, orang ramai di bekas tanah jajahan masih beranggapan berita dan maklumat dari agensi berita dan penerbit di Amerika Syarikat dan Eropah dianggap lebih tinggi nilainya berbanding dengan maklumat pribumi. Prasangka itu baki baki penjajahan mental walaupun penjajahan politik dari barat itu sudah berkubur kira-kira 40-50 tahun yang lalu. Disebabkan prasangka dan penjajahan mental itu, apa yang berlaku sehingga sekarang ialah banyak negara Afro-Asia dan Latin-Amerika masih mengekspot bahan mentah maklumat ke barat untuk diproses dan mengimpotnya semula dengan harga yang tinggi. Maksud harga yang tinggi itu bukan sahaja dari segi nilai wang masing-masing, tetapi juga dari segi penggadaian maruah dan imej diri sebagai manusia yang merdeka. Corak perniagaan itu sama dengan negara Afro-Asia dan Latin-Amerika mengekspot bahan mentah untuk diproses dan mengimpot barangan kilang yang dibuat dari bahan mentah itu di zaman penjajahan dahulu. 

Walaupun Malaysia memang merupakan negara sumber maklumat tentang Malaysia, tetapi adakah Malaysia juga negara sumber pengaliran maklumat antarabangsa tentang Malaysia dalam talian (on-line), termasuk Internet? Kalau tidak, negara yang mana telah menduduki tempat itu selama ini? Di manakah pula kedudukan Malaysia dalam pemetaan maklumat pribumi Malaysia? Justru telah menguasai teknologi Internet, Amerika Syarikat kini seacara langsong menjadi pusat maklumat eletronik tentang Malaysia dari segi jumlah dan keragaman maklumat itu Kini, sebahagian besar daripada 280 enjin gelintar di Internet dan ratusan ribu laman web Internet berpengkalan di Amerika Syarikat, berbanding dengan bilangan enjin gelintar Internet yang boleh dikira dengan jari sebelah tangan, dengan ratusan laman web Internet berpengkalan di bumi Malaysia. Dari perspektif global, lebih banyak maklumat di Internet tentang Malaysia berasal dari luar Malaysia. Oleh sebab kurangnya jumlah dan keragaman maklumat pribumi tentang Malaysia di Internet dari Malaysia, tidaklah ada pilihan lain untuk orang di Malaysia dan juga negara lain mencari maklumat yang boleh didapati di Internet untuk mengetahui Malaysia!  

Kesimpulan  

Daripada data yang terkumpul, ternyata bahawa trafik maklumat digital yang disiarkan secara global dari sistem penyiaran langsong (direct broadcasting systems) dan juga Internet pasti akan meningkat dari masa ke masa. Soalan pokok di sini ialah adakah peningkatan jumlah maklumat itu juga sudah mempertingkatkan persefahaman antarabangsa? Adakah Amerika Syarikat yang kini menjadi sumber utama maklumat eletronik tentang Malaysia sudah memahami Malaysia dengan lebih baik berbanding dengan masa lalu? Kalau tidak, apakah sebabnya? Banyak negara maju sengaja menghantar maklumat yang berbaukan propaganda pro-Barat, pro-demokrasi atau pro-pembebasan dengan niat ingin menjatuhkan kerajaan yang tidak diingini. Niat yang berwarnakan kepentingan politik itu tidak menolong meningkatkan persefahaman dan kerjasama. 

Semua negara perlu memahami dan difahami negara lain. Salah satu cara untuk mencapainya ialah memperbaiki kepincangan pengaliran maklumat antarabangsa (sekiranya aliran maklumat itu sehala dan berat sebelah dan bukannya dua hala yang sewajarnya seperti yang dikehendaki). Bila menyebut kepincangan pengaliran maklumat yang ada itu, kita dengan sendirinya terlintas memikirkan bukan sahaja jumlah maklumat pribumi yang mengalir pada haluan dan tahap yang berlainan, tetapi juga kualiti, ciri, jenis, keragaman dan sifat maklumat itu. Masalah ketidak-seimbangan itu sukar diperbaiki negara Afro-Asia dan Latin-Amerika memikirkan negara-negara itu memang tidak mampu menandingi kapasti negara maju dalam hal itu. Teknologi telekomunikasi yang canggih di dalam tangan negara maju telah membolehkan mereka bukan sahaja menyiarkan sebanyak mungkin maklumat untuk menembusi ruang udara negara lain dengan mudah, tetapi juga semakin sukar dikawal negara lain. Dari perspektif negara Selatan, negara Utara seolah-olah sengaja menggunakan massa media cetak dan eletronik untuk mengekalkan status quo itu demi kepentingan mereka. Selain itu, ketidakmampuan negara Selatan itu disebabkan keterbatasan kewangan, teknikal, professionalisme, psikologi, dan latihan. Sekiranya kos operasi dan teknikal saluran telekomunikasi yang lain itu amat tinggi, negara Selatan perlu memikirkan menyiarkan maklumat mereka di Internet. Soalnya bukanlah teknologi semata-mata, tetapi sama ada negara Utara mahu memahami negara Selatan dan sebanyak mana maklumat dari negara Selatan boleh disiarkan di negara Utara tanpa diproses semula? 

Ketidaksamarataan aliran maklumat di antara negara Utara dan Selatan bukan sahaja sukar diperbaiki, malahan akan menjadi sebab tambahan jurang perbezaan ekonomi di antara negara itu membesar. Berbantukan teknologi tinggi, negara maju dan kaya dapat meningkatkan produktiviti yang sudah tinggi. Di sebaliknya negara Selatan mendapati sukar memanfaatkan teknologi itu. Demikian juga dari segi pemanfaatan maklumat. Maklumat yang tidak ada kaitan dengan kepentingan ekonomi negara Selatan yang berdasarkan pertanian itu sukar diterapkan, kerana tidak sesuai untuk negaranya. Yang paling mengecewakan ialah negara Selatan sukar mengakses maklumat dari luar dan juga mempromosikan maklumat pribuminya ke luar negara kerana dihalangi masalah kemampuan kewangan dan teknologi. 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1