Capaian Korpus Ilmiah Tempatan Dalam Perpustakaan di Malaysia 

Ding Choo Ming

Kekal Abadi : jilid 16 bil. 2 (Jun 1977): h. 3-13

  1. Korpus Bahan Ilmiah dan Pengaksesan  

1.1 Capaian bahan di perpustakaan juga merupakan salah satu perkhidmatan penting dalam operasi perpustakaan. Ketika membincangnya, kita perlu juga memperkatakan pengeluaran, penyebaran, pendokumentasian, penyimpanan, peminjaman, reprografi dan perkhidmatan segala jenis bahan yang berkaitan tidak mengira media dan juga formatnya. Sesuai dengan perkembangan teknologi penerbitan dan penyebaran massa media dari masa ke masa, semua bahan yang mempunyai nilai ilmiah, tidak kira sama ada yang diterbitkan secara formal atau tidak, dan juga tidak mengira sumbernya (sama ada daripada penerbit universiti (atau fakulti dan jabatannya), institusi penyelidikan tinggi dan juga penerbit lain (sektur awam dan swasta) dalam semua bahasa, bidang, format (monograf, mineograf, terbitan bersiri, terbitan tidak berkala, kertas kerja, latihan ilmiah dan tesis, laporan teknikal dll) dan media (cetak, mikroform, filem, tulisan tangan, eletronik dll). Memandangkan semua kakitangan akademik di universiti dan pegawai penyelidik di institusi penyelidikan dikehendaki membuat penyelidikan dan penerbitan, korpus bahan ilmiah di Malaysia seharusnya meningkat dengan bertambahnya bilangan universiti dan institusi penyelidikan dari masa ke masa. Anggaran kini ialah terdapat sebanyak 400-500 buah buku ilmiah, 80 jurnal ilmiah, 300 kertas kerja dan 15,000 buah latihan ilmiah dan tesis giat diterbitkan dan diedarkan di Malaysia setiap tahun. 

1.2 Kepelbagaian jenis bahan ilmiah dalam kepelbagaian bentuk, bahasa dan tulisan daripada kepelbagaian penerbit dan media/ teknologi penerbitan itulah menjadikan capaianbahan tersebut tetap menarik perhatian sehingga sekarang walaupun sudah banyakdiperkatakan (Ding 1984, 1985, 1991). Capaian bahan di perpustakaan juga menjadi isu sensitif berikutan pemotongan peruntukan - maka daripada segi yang tertentu telah membataskan capaian fizikal on-site bahan itu di satu pihak, sementara perkembangan IT - maka daripada segi tertentu lainnya telah menambah pencapaiannya, sama ada setempat atau jarak jauh di satu pihak yang lain. Kontroversi itu ditambah pengingkatan permintaan daripada bilangan klien yang semakin banyak dan juga semakin suka sangat mendesak (demanding), tidaklah mudah ditangani tanpa adanya kreativiti dan kebijaksanaan pihak pengurusan perpustakaan memanfaatkan teknologi yang tercanggih yang mampu. Isu di sini ialah bagaimana menimbangi peruntukan yang mengecut dengan permintaan yang bertambah agar dapat memastikan keutamaan memberi pengaksesan yang realistik itu tercapai. 

1.2 Masalah pengaksesan bahan boleh ditinjau dari dua sudut: pengaksesan intelektual dan juga pengaksesan fizikal. Kedua-duanya sama penting dan saling bergantungan. Tanpa pengaksesan intelektual, yang ditarif sebagai pengenalpastian maklumat bibliografi bahan yang berkenaan, maka pengaksesan fizikal yang diertikan pula sebagai pencarian dan penghantaran bahan itu sukar dilakukan. Namun demikian, pengaksesan fizikalnya lebih sukar berbanding dengan pengaksesan bibliografinya kerana penyediaan indeks dan abstrak (sama ada secara manual atau eletronik) adalah lebih mudah dan murah berbanding dengan penghantaran dokumen asal atau salinannya. Masalah itulah juga yang menjadi duri dalam daging perkhidmatan perpustakaan sehingga kini walaupun sudah berulang kali dibincangkan dalam seminar CONSAL (Congress of Southeast Asian Librarians), PPN (Persatuan Perpustakaan Malaysia) dan juga LAS (Library Association of Singapore), misalnya. Perkara itu mungkin dapat diperbaiki setelah teknologi pendigitasian dimanfaatkan nanti. 

1.3 Ada banyak sebab pengaksesan bahan ilmiah perlu dilakukan di perpustakaan universiti, institusi penyelidikan dan juga perpustakaan negara. Antaranya ialah perpustakaan universiti yang dibiayai kerajaan itu mampu mengadakan prasarana, bangunan, koleksi, kakitangan dan banyak lagi kemudahan lainnya. Sejajar dengan peranan tradisinya sebagai gedung ilmu dan juga clearing house maklumat dan bahan, maka objektif utama perpustakaan ialah memastikan kesemua bahan yang terkumpul dalam koleksinya dapat diakses. Selain itu, perpustakaan boleh meminjam bahan daripada perpustakaan lain memandangkan tidak ada perpustakaan itu lengkap dan boleh berdikari. Dalam konteks itulah perpustakaan universiti merupakan tempat yang pertama dan juga yang utama dirujuk sarjana dan pelajar dalam usaha pencarian maklumat dan bahan. Sekiranya perpustakaan universiti boleh berfungsi sebagai ‘the first stop, one stop and also the last resort of information and resourcces’, maka perpustakaan negara patut juga memainkan peranan yang dinamik sebagai ‘the ultimate reference source for national collection’ selain banyak lagi fungsi masing-masing. Sebab utamanya ialah masalah pengaksesan bahan juga diperkaitkan dengan sebesar mana koleksi perpustakaan itu. 

1.4 Sehingga kini, belum lagi diketahui dengan pasti sebesar mana korpus bahan ilmiah dalam koleksi kesemua perpustakaan universiti dan juga PNM (Perpustakaan Negara Malaysia) baik secara berkelompok atau secara berasingan. Yang diketahui ialah memang banyak Koleksi Malaysiana di Perpustakaan UM (Universiti Malaya): Koleksi Malaysiana Perubatan, Koleksi Malaysiana Cina, Koleksi Malaysiana India, Koleksi Malaysia Arab, selain PPZ (Perpustakaan Peringatan Za’ba) yang dikenali sebagai Koleksi Kebangsaan yang telah ditubuhkan semenjak 1974. Demikian juga halnya dalam Sistem Perpustakaan UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). Persoalannya sekarang adakah lebih banyaknya perpustakaan universiti ditubuhkan dan lebih banyaknya pangkalan data dibangunkan, maka lebih banyaklah bahan terbitan Malaysia dan Malaysiana dapat dikumpulkan dan dipelihara dengan baiknya, lantas menjadikan pengaksesan bahan itu lebih mudah, cepat dan terkawal sekarang berbanding dengan masa lalu? Maksudnya adakah perpustakaan yang sudah bertapak dan mapan (established) yang disebutkan itu dengan koleksinya diperbesarkan dari masa ke masa itu telah betul-betul memainkan peranan sebagai gedung dan juga clearing house maklumat dan bahan tempatan dengan lebih baik dan berkesan daripada segi pengaksesan bahan daripada koleksi masing-masing? 

2. Industri Penerbitan dan Pembangunan Koleksi  

2.1 Pengaksesan bahan di perpustakaan bergantung juga pada ada tidaknya dan juga mudah tidaknya bahan yang berkenaan itu diperolehi. Kedua-dua faktur itu bergantung selanjutnya pada industri penerbitan dan jaringan pemasaran. Masalah banyak buku yang diterbitkan dengan bersusah payah dan belanja yang besar, tetapi tidak dapat dipasarkan seperti yang dilapurkan dalam New Straits Times pada 28 Januari 1997 itu bukanlah isu baru. Demikian juga masalah pengaksesan bahan itu dalam perpustakaan. Setelah disemak di OPAC melalui Telnet adalah didapati bahawa buku Koleksi esei undang-undang sempena 25 tahun UKM (UKM, 1995) dan Moulding of oil plam particles, karya Kamaruddin Hassan (Porim, 1993) tidak dijumpai dalam mana-mana perpustakaan universiti dan juga PNM (Lihat Lampiran III). Delima bahan yang sudah diterbitkan tetapi sarjana dan pelajar sukar mendapatkannya di perpustakaan pada waktu dan tempat yang wajar itu juga memmeingkan pengarang, penerbit, pengedar, perpustakaan dan pihak lain. Namun demikian, pengguna biasanya lebih gemar menuding jari mempersalahkan perpustakaan daripada dirinya, walaupun menyedari dengan sepenuhnya bahawa pembangunan koleksi yang baik dan mantap di perpustakaan itu tanggung jawab semua pihak yang berkepentingan. Memanglah susah untuk perpustakaan memperolehi bahan yang ‘diterbitkan’ sekadar untuk pengedaran terbatas sahaja, terutamanya latihan ilmiah, tesis dan juga kertaskerja seminar. Sebahagian daripada masaalah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka bernilai RM5 juta tidak dijual itu adalah masalah publisiti dan pemasaran selain masalah sukarnya 200 buah perpustakaan yang tersebar di seluruh Malaysia membeli buku-buku itu. Di sebaliknya masalah publisiti dan pemasaran yang dihadapi itu tidak dihadapi ejen dan pengedar yang mengimport buku daripada penerbit di seberang laut. Penerbit asing yang besar seperti Elservier, Prentice-Hall, University Microfilms International, Springer-Verlag, Gordon and Breach dan Taylor-Francis sudah lama melantik pengedar masing-masing di Malaysia kerana pasaran bahan ilmiah di Malaysia digolongkan sebagai di antara yang terbesar di kalangan dunia negara membangun. Ejen penerbit asing itu menolong memberi publisiti yang meluas selain mampu membangunkan jaringan pemasaran yang baik dengan perpustakaan, kedai buku dan sarjana. Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan bahan ilmiah terbitan Malaysia yang tidak dipasarkan di kedai buku atau saloran lain, perpustakaan amat memerlukan maklumat dan kerjasama daripada sarjana, penyelidik dan juga pelajar yang tahu tentang bahan yang elusif, dan bukannya bergantung semata-mata pada kedai buku. 

2.2 Buat masa ini, sebanyak 74 buah penerbit/ pengedar buku sudah menjadi ahli MABOPA (l996). Banyak daripada penerbit/ pengedar buku itu adalah yang baru. Selain itu, pengedar buku di Malaysia lebih suka berurusniaga buku import berbanding dengan buku tempatan. Beberapa sebab berlakunya gejala itu sudah diperkatakan (Ding 1981). Sehubungan itu, perpustakaan universiti tidak boleh bergantung pada pengedar buku itu untuk membangunkan koleksi terbitan Malaysia dan Malaysiana, seperti juga PNM tidak dapat mengumpul semua bahan terbitan Malaysia dengan bergantung semata-mata pada Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1966 dahulu, atau Akta Pemeliharaan Bahan Perpustakaan 1986 sekarang. Masalah yang berkaitan dan cadangan untuk mengatasinya sudah banyak dibincangkan. Sehingga Disember 1996, sebanyak 78,0l5 sudah diterima PNM di bawah kedua-dua akta yang disebutkan tadi (Lihat Lampiran I). Namun demikian, setengah buku yang diterbitkan di Malaysia yang terdapat dalam koleksi perpustakaan universiti lain tidak terdapat dalam koleksi PNM dan juga sebaliknya (Lihat lampiran III, IV & V). Selain itu, isi kandungan koleksi perpustakaan itu tentunya lain lagi sekiranya semakan buku Malaya dan Straits Settlement dilakukan, memandangkan sejarah penerbitan negara ini sudah bermula pada 1806 (Byrd, 1991).  

2.3 Walaupun trend pengurusan perpustakaan kini ialah ke arah perkongsian maklumat dan bahan sesama perpustakaan (kerana perkembangan IT dan juga masalah kewangan), tetapi semua perpustakaan di Malaysia disyurkan membangunkan koleksi bahan terbitan Malaysia, terutamanya bahan yang hanya boleh diperolehi setempat dan yang tidak dipasarkan. Usaha itulah strategi yang praktikal untuk menjadikan perpustakaannya ‘the ultimate reference collection’ dan juga ‘the first stop, one stop and last resort’ dari segi koleksi bahan setempat, yang akan hilang tanpa meninggalkan kesan sekiranya tidak dikumpul dan dipelihara dengan baik. Koleksi bahan itulah yang bukan sahaja akan menjadi akar yang memberi identiti khas kepada perpustakaan itu, tetapi juga mutiara dalam mahkota koleksi perpustakaan yang berkenaan kerana ianya (terutamanya naskah asal) sukar atau tidak boleh didapati di perpustakaan lain. Perpustakaan UM dan UKM, misalnya mempunyai koleksi latihan ilmiah dan tesis pelajar UM dan UKM yang paling besar berbanding dengan perpustakaan yang lain adalah contohnya. Hanya dengan adanya koleksi khas seumpama itu, lebih tertariklah perpustakaan lain untuk berkongsi bahan dengannya atas semangat saling lengkap-melengkapkan dan kaya-memperkayakan. Isu pokoknya ialah apa boleh dikongsikan sekiranya kita sendiri tidak mempunyai bahan yang dikehendaki orang lain. Sehubungan itu, Line (1996:37) juga mengatakan:  

‘if ... the library...would buy nothing and access everything

even the most ardent adocates of acess do not suggest this.’ 

Walaupun perpustakaan kini bergerak ke arah perpustakaan siber dan eletronik, tetapi pembangunan koleksi perpustakaaan, terutamanya bahan tempatan, adalah tanggung jawab semua perpustakaan untuk dapat memainkan peranan masing-masing seperti yang disebutkan tadi. Sehubungan itu, pembangunan fizikal perpustakaan juga khusus untuk membolehkan pengumpulan koleksi on-site agar mudah dicapai. Oleh sebab saiz, skop dan ciri-ciri istimewa koleksi itulah juga yang akan menunjukkan kepada dunia kesarjanaan dan khalayak tentang fungsi dan peranan perpustakaan itu, maka 1/3 hingga 2/3 daripada peruntukan perpustakaan telah diagihkan untuk pemerolehan, pemerosesan dan pemuliharaan bahan. 

2.4 Selayang pandang, Perpustakaan UM boleh dianggap mempunyai koleksi Malaysiana yang paling besar di Malaysia pada masa ini. Sehingga Disember l996, PPZ sahaja sudah mempunyai 70,564 bahan yang berdaftar dan sudah didokumentasikan. Bahan-bahan itu terdiri daripada (a) latihan ilmiah, tesis dan disertasi, (b) kertas kerja seminar/persidangan, (c) buku PPZ, (d) keratan akhbar, (e) risalah, (f) koleksi peribadi Za’ba, (g) koleksi peribadi Ungku Aziz dan (h) koleksi peribadi Ibrahim Ya’kob. Maklumat bibliografi kesemua bahan dalam koleksi boleh didapati di pangkalan data INDXDB dan juga boleh diakses di OPAC, walaupun koleksi PPZ itu ‘Koleksi Tertutup’ dalam erti kata bahannya hanya boleh dibuat rujukan di dalam perpustakaan dan tidak dibenarkan dipinjam untuk dibawa keluar. Di antara keistimewaan cara pentadbiran itu ialah kesemua bahannya tersusun, maka mudah diakses, selain terjamin keselamatannya, walaupun sistem ‘pengurungan’ bahan itu melibatkan kos tambahan kakitangan. Menurut Puan Noriyah Md Nor, Ketua Koleksi itu, para sarjana dan penyelidik serta pelajar berpuas hati dengan sistem itu. Di sini tidak timbul rungutan yang dibangkitkan Mansur Putih (Utusan Malaysia, 22 Februari 1997) tentang kurangnya buku Melayu di setengah perpustakaan. Kurangnya buku (dalam kes ini buku berbahasa Melayu) bukan sahaja disebabkan buku yang berkenaan tidak diperolehi, tetapi juga yang sudah rosak itu tidak diperbaiki dan yang hilang itu tidak diganti. Kesemua isu itu melibatkan pengurusan dan pentadbiran pembangunan koleksi yang diperkatakan ini. Walaupun saiz koleksi itu besar pengaruhnya dalam menentukan capaian bahannya, tetapi capaian juga ditentukan perkhidmatan dan kemudahan yang dapat dan mampu diberikan. Di antaranya ialah rujukan, reprografi, maklumat kini, pinjaman, pinjaman antara perpustakaan, waktu pembukaan yang selanjutnya tertakluk kepada sikap kakitangan, pengorganisasian bahan, dasar perkongsian dan lain-lain. Banyak daripada perkhidmatan yang dimaksudkan dan yang diperlukan pengguna itu memang sudah diberi dengan baiknya oleh kakitangan di perpustakaan yang berkenaan, termasuk PPZ. 

3. Pengaksesan Maklumat Berbantukan IT 

3.1 Pentingnya maklumat bibliografi (tanpa mengira sama ada yang manual atau eletronik) adalah kerana ianya boleh merangsang pengguna untuk memperluaskan pencarian maklumat serta bahan lain yang berkaitan. Hasilnya, penyelidikan yang dilakukan itu akan menjadi lebih menyeluruh dan mendalam. Sehubungan itu, banyak pangkalan data berkomputer sudah dibangunkan. Usaha pengindeksan dalaman (in-house) yang giat dilakukan beberapa buah perpustakaan yang ditinjau itu telah sedikit sebanyak menebus kelemahan yang terdapat dan diwarisi dalam pangkalan data antarabangsa. Sehingga kini, tidak banyak jurnal atau bahan lain yang diterbitkan di Malaysia telah diliputi dalam pangkalan data indeks dan abstraks manual ataupun eletronik (termasuk CD-ROM, talian terus) dari syarikat komersial dan institusi penyelidikan di luar Malaysia, terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah. Setelah disemak, cuma terdapat 8 jurnal Malaysia dindeks dalam Excerpta Indonesica (Royal Institute of Linguistics and Anthroplogy, Leiden) yang mengindeks sebanyak 500 jurnal ilmiah di bidang linguistik dan antroplologi (Excerpta Indonesica, no 44, Disember 1991). Demikian juga cuma 12 jurnal Malaysia telah diindeks dalam Bibliography of Asian Studies (The Association of Asian Studies, Ann Arbor, Michaigan, USA). Sementara itu, hanya 50 jurnal dan majalah Malaysia, berbanding dengan jumlah 217 judul yang telah diindeks dalam Index to periodical articles, relatring to Singapore, Malaysia, Brunei & Asean: humanities and social sciences (Singapure: National University of Singapore Library). 

3.2 Sehubungan pendokumentasian dan pengindeksan, Perpustakaan UPM telah membangunkan pangkalan data berkomputer MAKMAL (singkatan daripada Pangkalan Data Maklumat Malaysia) semenjak 1993. Sehingga Mac l997, sebanyak 26,000 bahan yang terdiri daripada buku, artikel jurnal, kertaskerja seminar, tesis, perangkaan dan bab buku mengenai Malaysia sudah terkumpul dalam pangkalan data itu. Selain itu, perpustakaan ini juga sudah membangunkan pangkalan data berkomputer AGRIS (indeks artikel jurnal, monograf dan kertaskerja di bidang pertanian antarabangsa), AGRIMAL (sistem maklumat pertanian Malaysia), FISHE (sistem maklumat kesihatandan penyakit ikan - umum). Sementara itu, PNM juga mempunyai pangkalan data berkomputer MENTARI (indeks majalah Malaysia), SURIA (indeks akhbar Malaysia) dan PANCARAN (indeks kertaskerja seminar dan persidangan Malaysia), selain BINAR (bibliografi negara Malaysia). Semua indeks akhbar, persidangan, majalah yang sudah dibukukan dahulu itu juga sudah diCD-Romkan dan sudah dipasarkan. Menurut pegawai yang dihubungi, projek pendokumentasian dan pengindeksan itu berterusan, kecuali indeks akhbar. Memandangkan pentingnya pengindeksan maklumat dalam mengurangkan masalah yang dihadapi sarjana dan pelajar mengakses maklumat dan selanjutnya mengakses bahan terbitan Malaysia dan Malaysiana, sebanyak 17 buah pangkalan data berkomputer sudah juga dibangunkan di sistem perpustakaan UKM. Di antaranya ialah: APINMAP (tumbuhan perubatan - anjuran UNESCO), ILMIAH (latihan ilmiah UKM), INDRAMAS (dokumen rasmi kerajaan dan badan berkanun), INFOSEM (kertaskerja seminar dan persidangan) INDAS (indeks artikel daripada jurnal Penerbit UKM), SUPERMAS (perangkaan), TESIS (abstraks ijazah sarjana dan doktor falsafah UKM), IMCAS (kes undang-undang Malaysia), ILMA (artikel undang-undang Malaysia), IMICA (kes mahkamah Malaysia). Kesemua pangkalan data di UKM dibangunkan dengan perisian CDS-ISIS (Computer Documentation System/ Integrated Set of Information Systems). Sekiranya pangkalan data MAKMAL dan INDXDB di perpustakaan UM boleh diakses di OPAC dan Internet; tetapi pangkalan data PNM dan UKM bukan sahaja belum lagi dirangkaikan in-house tetapi juga belum dapat diakses di OPAC. Sehubungan pembangunan pangkalan data, PORIM sudahpun juga melancarkan PALMOILIS (singkatan daripada Palm Oil Information On-line Service) pada September 1964. Dalam sistem talian terus itu yang juga boleh diakses di Internet, terdapat pangkalan data berkomputer PALMSEARCH OPAC (maklumat teknikal tentang kelapa sawit dan minyak, disertai abstrak) dan juga yang lain-lain, termasuk PALMCONSULT (direktori tentang pakar dalam perindustrian kelapa sawit). 

3.3 Kekuatan setiap pangkalan data yang disebutkan itu ialah lengkap-melengkapkan dan kaya-memperkayakan pangkalan data yang lain, justru isi kandungannya menitikberatkan maklumat dan bahan tempatan, terutamanya bahan ‘ephemeral’ dan ‘kabur’ (grey) , seperti kertas kerja seminar dan latihan ilmiah yang memang sukar diperolehi - kerana tidak diterbitkan secara formal, maka tidak dipasarkan di kedai buku dan juga tidak disenaraikan dalam Bibliografi Negara Malaysia. Pangkalan data berkomputer yang dibangunkan berasingan di setiap perpustakaan itu perlu dirangkaikan, lebih-lebih lagi diInternetkan agar dapat memberi manfaat optimum kepada kliennya yang tersebar luas di segala pelosok di muka bumi ini. Teknologi OPAC (Online Public Access Catalogue) sudah menjadikan pencarian maklumat di perpustakaan jauh lebih mudah, cepat, tepat dan berkesan berbanding dengan pencarian katalog secara manual dahulu sejak PNM menubuhkan Jaringan Ilmu pada 24 Januari 1994 dengan kerjasama MIMOS (Norkhayati, 1995). Keistimewaan lain yang terdapat pada OPAC ialah lebih banyak titik pengaksesan (access points) berbanding dengan titik pengaksesan tunggal dalam sistem manual. Selain menggunakan nama pengarang, judul dan perkara yang diketahui dalam sistem pencarian manual dahulu, pengguna kini bebas menggunakan kata punca (key words), Boolean operators, serta strategi pencarian yang lain, termasuk ‘nearest match algorithms’ dan ‘Victor search’ untuk mencari maklumat bibliografi yang nama pengarang dan judul yang tidak diketahui. Sekiranya kesemua strategi pencarian, pilihan (options) dan antaramuka (inter faces) itulah senjata pencarian yang tinggi kuasanya di tangan pustakawan profesional, maka pengguna yang berpengalaman juga mendapati pencarian maklumat di OPAC kini adalah jauh lebih mudah, cepat dan berkesan. Tanpa kemudahan OPAC dan telnet di Internet, semakan maklumat untuk bahan-bahan dalam Lampiran II, III, IV & V itu mustahil dapat dilakukan dalam tempoh 18-25 Mac lepas. Kedua-dua teknologi itulah juga membolehkan kira-kira 15,000 buah perpustakaan di seluruh dunia boleh mengakses 24 juta bahan dalam OCLC (Online Computer Library Center, Inc) tanpa pengguna sendiri melawat setiap perpustakaan yang berkenaan. Namun, ini tidak sekali-kali bermakna pengaksesan OPAC di Internet tidak bermasalah.. Semasa semakan OPAC dari komputer di pejabat saya dalam tempoh yang disebutkan itu, banyak kali pelayan (server) Internet untuk memasuki Perpustakaan UTM, USM dan UUM sudah down, selain susah mendapat laluan di waktu pejabat pada hari lain. 

4. Pengaksesan Bahan Terletak Pada Teknologi Pendigitasian 

4.1 Masalah pengaksesan bahan yang dihadapi selama ini mungkin boleh diperkurangkan berikutan perpustakaan mendigitasikan koleksi masing-masing nanti. Ini juga tidaklah bermakna sama sekali perpustakaan dapat memuaskan kehendak kliennya dengan sepenuhnya. Banyak kajian yang sudah dilakukan di Amerika Syarikat dan United Kingdom menunjukkan walaupun 70% daripada bahan yang dikehendaki itu didapati memang sudah diperolehi perpustakaan, tetapi hanya 60% daripadanya boleh dijumpai apabila diperlukan. Di antara sebabnya ialah 40% bahan itu popular, maka tengah digunakan orang A pada ketika orang B dan C juga ingin menggunakannya, manakala yang lain itu sudah hilang ataupun rosak. Jalan keluar tradisional daripada masalah itu ialah menduplikasikan naskah atau memperbanyakkan salinannya. Kedua-dua cara itu melibatkan kos tambahan pengurusan, maka merupakan cabaran kalaupun buakannya tamparan yang besar kepada perpustakaan masa sekarang ketika masalah kekurangan kewangan dan kekitangan sedang meningkat. Untuk mengekalkan peranannya, pihak pengurusan perpustakaan perlu mengaplikasikan teknologi yang terbaik yang mampu, termasuklah teknologi pendigitasian. Besarlah harapan kiranya teknologi itu akan menyusul pengkomputeran perpustakaan, pembangunan pangkalan data berkomputer dan lain-lain operasi perpustakaan dan selanjutnya memainkan peranan yang definitif dalam mengubah perpustakaan yang berasaskan bahan cetak kepada perpustakaan eletronik. Langkah ke arah pewujudan pelbagai titik pengaksesan (multiple access points) tidak mungkin berlaku pada media bahan cetak, apatah lagi bahan mikroform, selain daripada ianya juga dapat menggalakkan perkongsian bahan jarak jauh, tidak kira lokasinya. Dengan kata lain, dari segi pengaksesan bahan, keistimewaan pendigitasian memang sukar ditandingi bahan cetak, lebih-lebih lagi bahan mikroform. Selain bahan itu boleh diakses bila-bila masa setelah dirangkaikan kemudahan telekomunikasi, seperti manfaat perkhdimatan ATM di sektur perbankan, bahan eletronik itu juga boleh di’browse’ - untuk mengetahui sama ada ianya sesuai, sebelum dipinjam atau disalin atau dicetak. Pengaksesan serentak, tidak kira bilangan penggunanya dan juga lokasinya, dapat juga mengatasi masalah tradisional menduplikasikan naskah dan memperbanyakkan salinan yang dihadapi selama ini. Perkembangan itu juga boleh mengatasi secara langsong masalah ruang penyimpanan bahan, maka menjimatkan ruang yang akan menjadi satu lagi masalah yang kritikal pada masa depan.  

4.2 Jalan ke arah pembentukan perpustakaan eletronik sudah terbayang di Malaysia semenjak perpustakaan melanggan pangkalan data CD-ROM dan sistem talian terus sekitar 1980an susulan pengautomasian yang bermula sejak tahun 1970an. Pelancaran New Straits Times Press (NSTP) Online Service pada 1993 dengan disusuli Nanyang Siang Pau, Utusan Malaysia, Sin Chew Jit Poh, Star dan akhbar lain mengadakan homepage masing-masing di Internet memberi kenyakinan kepada kita untuk mara ke arah itu. Sehubungan itu, fajar penerbitan eletronik seperti EASE (Elservier Articles Supplied Electronically), yang ditaja SURFnet di Netherlands dan juga projek Economic Community DECOMATE (Delivery of Copyright Materials to End-User) di Eropah itu tentu akan menyingsing di Malaysia tidak lama lagi berikutan penerbitan jurnal lektronik (Ting, l997). Sementara itu, kesemua perpustakaan universiti dan PNM sudah mengalami dua tahap transformasi setakat ini dalam perjalanan menuju ke arah perpustakaan eletronik. Kedua-dua tahap yang dimaksudkan itu tidak lain daripada perpustakaan yang berkenaan itu sudah berpindah daripada perpustakaan yang berasaskan bahan cetak dan bergantung sepenuhnya pada bahan cetak sebelum tahun 1970an kepada perpustakaan yang beroperasikan komputer pada tahun l980an. Tetapi, kita belum lagi sampai ke perpustakaan eletronik kerana sebahagian besar bahan perpustakaan kita masih dalam bentuk cetak, walaupun bahan eletronik sudah meningkat dari masa ke masa.. Dalam masa peralihan ini, Perpustakaan UM telah mencuba mendigitasikan beberapa buah buku PPZ. Pada dasarnya, halangan ke arah itu ialah masalah kewangan dan bukannya isu hak cipta dan hak milik (koleksi peribadi) kerana isu hak cipta tidak timbul dalam bahan terbitan sebelum tahun 1950an. Demikian juga halnya dengan persetujuan yang diberi pelajar membenarkan latihan ilmiah dan tesis mereka dibuat salinan ketika membuat penyerahan hasil usaha mereka. Walau bagaimanapun, usaha pendigitasian itu pasti akan berjaya berbekalkan kegigihan dan ketekadan pihak pengurusan perpustakaan ditambah dengan sokongan daripada pihak pengurusan atasan. Projek itu tentunya akan memakan masa terutamanya di peringkat permulaan, memikirkan PNM, misalnya baharu sahaja menCD-ROMkan pangkalan data indeks majalah, seminar dan akhbar setelah teknologi CD-ROM sudah ada di Malaysia semenjak tahun 1980an. Demikian juga Perpustakaan UKM hanya mengeluarkan dan melancarkan CD-ROM pangkalan data tesisnya pada . 5 Mac 1997 sempena Pamiran Koridor Raya Multimedia di Perpustakaan TSL yang berlangsong pada 5-30 1997. Keyakinan semua perpustakaan bergerak ke arah perpustakaan eletronik semakin bertambah setelah melihat kejayaan projek pendigitasian bahan di Library of Congress. Menurut MacLean (1997:15) sebanyak 500,000 buah buku daripada sejumlah 111 juta buku, jurnal, peta, foto, musik dan lain-lain dalam koleksi perpustrakaan itu sudahpun didigitasikan. Ketua Pustakawannya, James Billington menaruh harapan sebanyak 5 juta bahan itu dapat diperbuat demikian sebelum kurun 20 ini berakhir - tiga tahun lagi. Keistimewaan teknologi digitasi ialah salinan imej eletronik semua bahan itu boleh diakses, selain diproses semula menurut kehendak yang berlainan dengan cepat, mudah dan murah.  

4.3 Walaupun IT menguasai perbincangan tentang masa depan perpustakaan dan perkhidmatannya, dan walaupun kerjasama dan perkongsian bahan lebih diutamakan, tetapi ini tidak bermakna setiap perpustakaan boleh bergantung pada pengaksesan jarak jauh (remote access) untuk mendapatkan bahan yang diingini tanpa dirinya berusaha membangunkan koleksi bahan asal. Untuk lebih memudahkan perkongsian, setiap perpustakaan perlu mengumpul bahan setempat yang boleh diperolehi itu tetapi sukar diperolehi perpustakaan lain dari tempat lain. Ini bermakna setiap perpustakaan perlu menjadi ‘collaborative partner’ kepada yang lain, lebih-lebih lagi melihat dirinya sebagai satu lagi titik penting dalam rangkaian pengaksesan bahan. Kerjasama dan perkongsian itu penting agar setiap perpustakaan dapat memanfaatkan kelebihan pepustakaan lain dalam semangat saling lengkap-melengkapkan, dan seterusnya menjadikan koleksi masing-masing itu lebih banyak, pelbagai, kaya dan mantap. Berbekalkan terjalinnya semangat perkongsian, setiap perpustakaan dapat menumpukan perhatian lebih banyak untuk membangunkan koleksi khas mereka. Tanpa adanya semangat kerjasama dan jiwa setiawan di antara perpustakaan, IT secanggih manapun tidak dapat menolong memperbaiki capaian bahan di perpustakaan. Oleh itu, gabungan IT, perancangan strategik, dan keprofesionalan kepustakawanan amatlah diperlukan untuk mewujudkan persekitaran maklumat yang dikehendaki: membolehkan bahan dapat diakses dengan mudah dan cepat selama 24 jam tidak kira jarak dan lokasinya. 

Bahan rujukan: 

Byrd, Cecil. Percetakan awal di Jajahan Selat, 1806-1858. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.  

Ding Choo Ming. A biblkiography of bibliographies on Malaysia. Petaling Jaya: Hexagon Elite, 1981. 

Ding Choo Ming. ‘Access to dissertations in and on Southeast Asia.’ Libri 34:2 (l984):88-112. 

Ding Choo Ming. ‘Access to official pubklications in Southeast Asia.’ Proceedings of the 6th International Symposium on Asian Studies (Hong Kong): 873-892 (1984). 

Ding Choo Ming. ‘Access to serials in Southeast Asia.’ Libri 35:4 (l985): 298-319. 

Ding Choo Ming. and Muhammad Kamlin. ‘Access to conference proceedings.’ Asian Libraries 1:1 (1991): 85-93 . 

Norkhayati Hasim. ‘Jaringan Ilmu: ke arah pewujudan perpustakaan eletronik di Malaysia.’ Sekitar Perpustakaan bil. 21 (1995): 56-63. 

Line, Maurice B. ‘Access versus onweship: how real an alternative?’ IFLA Journal 22:1 (1996): 35-41. 

MacLean, John M. ‘Librarian for the people.’ Reader’s Digest 68:408 (March 1997): 13-16. 

MABOPA 1996/97: Malaysian Book Publisher directory. (Kuala Lumpur: MABOPA), 1996. 

Rustein, Joel S et al. ‘Ownershiup versus access: shifting perspectives for libraries.’ Advances in Librarianship 17 (1993): 33-60. 

Scholarly publishing in Southeast asia: proceedings .... Edited by Beda Lim. Kuala Lumpur: Association of Southeast Asian Institutions og Higher Learning, 1975. 

Stevenson, Malcolm B. ‘Information and the academic community.’ Aslib Proceedings 32: 2 (Febraury 1980): 78-91. 

Ting, K. C. Penerbitan jurnal eletronik. Kertaskerja Seminar Kebangsaan Penerbitan Ilmiah Malaysia. Hotel Renaissance Palm Garden, Putrajaya, 2-3 April l997. 

____________________________________________________________________

Penulis juga merakamkan penghargaan kepada Shahar Banun Jaafar, Carole Ann Goon dan Jamaiah Aini bt Manah dari Perpustakaan Negara Malaysia, Leng Ten Moi dan Noraini Omar dari Perpustakaan TSL, UKM; Ibrahim Ismail dan Noriyah Md Nor dari Perpustakaan Universiti Malaya dan juga Laila bt Hassan daripada Perpustakaan Universiti Putra Malaysia kerana pertolongan mereka semasa mengumpul maklumat untuk menulis kertaskerja ini. Sebarang kesilapan maklumat adalah tanggungjawab penulis sendiri.

(Sila rujuk lampiran 1 dalam Kekal Abadi) 

LAMPIRAN II 

Perangkaan Bahan Ilmiah Terbitan Malaysia Yang Disemak Mengikut Nama Penerbit Di Perpustakaan Universiti Dan Perpustakaan Negara Malaysia Yang Dibuat Dari 18hb Hingga 25hb Mac 1997 

Perpustakaan

Penerbit UKM UM UPM UTM UUM USM UNIMAS PNM
Arkib 21 X X X 24 205 X X
Bank Negara 18 X X X 19 114 X X
Berita 110 X X X 47 277 X X
DBP 4007 X X X 186 5767 X X
Federal 114 X X X 35 608 X X
FRIM 62 X X X 3 131 X X
Hizbi 63 X X X 27 83 X X
Insan 23 X X X 35 76 X X
Int. Law Book 82 X X X 55 552 X X
INTAN 32 X X X 25 132 X X
MAMPU 2 X X X 9 28 X X
ITM 36 X X X 71 179 X X
MARDI 110 X X X 63 360 X X
Muzium 7 X X X 5 23 X X
Persatuan 279 X X X 165 621 X X
PNM 76 X X X 27 189 X X
PORIM 42 X X X 50 58 X X
RRI 55 X X X 37 247 X X
SIRIM 8 X X X 25 50 X X
Tropical 40 X X X 23 60 X X
UDA - X X X 4 2 X X
UKM 1795 X X X 170 944 X X
UM 247 X X X 216 1019 X X
USM 244 X X X 182 5452 X X
UTM 81 X X X 84 613 X X
Utusan 402 X X X 95 844 X X
UUM 25 X X X 225 116 X X
UPM 222 X X X 88 516 X X
JUMLAH 8203 X X X 1995 19266 X X

 Catatan: Tanda ‘X’ menunjukkan maklumat yang dikehendaki tidak boleh didapati di OPAC/Telnet di Perpustakaan UM, UPM, UTM, UNIMAS dan PNM dengan menggunakan nama penerbit. 

LAMPIRAN III 

Semakan 8 Buah Buku Yang Tersenarai Di bawah ini di OPAC/Telnet di Perpustakaan Yang Berikut Dalam Tempoh 18hb hingga 25hb Mac 1997: 

Perpustakaan

 Buku

UM

UKM

USM

UPM

UTM

UUM

UNIMAS

PNM

1

/

/

/

x

x

/

x

x

2

/

/

/

/

/

/

x

/

3

/

/

/

/

x

x

/

/

4

x

x

x

x

x

x

x

x

5

/

/

/

/

/

x

x

/

6

/

/

/

/

x

x

/

/

7

/

/

/

/

/

x

/

/

8

x

x

x

x

x

x

x

x

 

Petunjuk: / (ada); x (tidak dijumpai)

Senarai buku: 

1. Leete, Richard. Malaysia’s demographic transition: rapid development, culture and

politics. Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1966.  

2. Jamingan Sadi. Kalkultus lanjutan. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia, 1989. 

3. B. A. G. Idris. Freshwater zooplankton of Malaysia. Serdang: Unversiti Pertanian

Malaysia, 1983.  

4. Koleksi esei undang-undang sempena 25 tahun Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bangi: Fakulti Undang-Undang, UKM, 1995. 

5. Sham Sani. Aspects of air pollution climatology in a tropical city: a case of

Kuala Lumpur-Petaling Jaya, Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia,

1979. 

6. Hooker, Virginia Matheson (ed.). Culture and society in New Order Indonesia.

Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1993. 

7. Goh Swee Hock et al. Malaysian medical plants for the treatment of cardiovascular

diseases. Petaling Jaya: Pelanduk, 1995 

8. Kamaruddin bin Hassan. Moulding of oil palm particle: effective oil palm trunk

and fond utilization. Bangi: Porim, 1993.

 

LAMPIRAN IV 

Semakan 10 Jurnal Yang Tersenarai Ini di OPAC/Telnet Di Perpustakaan Yang Berikut Dalam Tempoh 18hb hingga 25hb Mac 1997: 

Perpustakaan

Jurnal

UM UKM USM UPM UTM UUM UNIMAS PNM

1

/

/

x

/

x

/

x

/

2

/

/

/

/

/

/

x

/

3

/

/

x

/

/

/

x

/

4

/

/

/

/

x

/

/

/

5

/

/

/

/

/

/

/

/

6

/

/

x

/

/

x

x

/

7

/

/

/

/

/

x

x

/

8

/

/

/

/

/

/

x

/

9

/

/

x

/

/

x

x

/

10

/

/

/

/

x

/

/

/

 Petunjuk: / (ada); x (tidak dijumpai)

 

Senarai Jurnal: 

1. Tenggara: Journal of Southeast Asian Literature (Kuala Lumpur) 

2. Akademika. (Bangi) 

3. Malaysian journal of computer science. (Kuala Lumpur) 

4. Malayan nature journal. (Kuala Lumpur) 

5. The Planter. (Kuala Lumpur) 

6. Malaysian agricultural journal (Kuala Lumpur). 

7. Jurnal teknologi maklumat (Skudai) 

8. Surveyor (Kuala Lumpur). 

9. Journal of natural rubber research (Kuala Lumpur)  

10. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. (Kuala Lumpur).

 

LAMPIRAN V 

Semakan 9 Tajuk Persidangan Yang Tersenarai Ini Di OPAC/Telnet Di Perpustakaan Yang Berikut Dalam Tempoh 18hv hingga 25 Mac 1997: 

Perpustakaan

 Persidangan

UM

UKM

USM

UPM

UTM

UUM

UNIMAS

PNM

1

/

x

x

x

x

x

x

x

2

/

x

x

x

x

x

x

x

3

/

x

x

x

x

x

x

x

4

/

x

x

x

x

x

x

x

5

/

x

x

x

/

x

x

x

6

/

x

x

x

x

x

x

x

7

/

x

x

x

x

x

x

x

8

/

x

x

x

x

x

x

x

9

/

x

/

/

/

/

x

x

 Petunjuk: / (ada); x (Tidak dijumpai) 

Senarai Kertas kerja seminar: 

1. JIIA-ISIS Malaysia symposium on East Asian economies. Kuala Lumpur: ISIS,

7-9 March 1996. 

2. National ODS conference. Kuala Lumpur: Federation of Malaysian Manufacturers.

20-21 July 1993. 

3. International air safety seminar. Kuala Lumpur: Malaysian Airlines System.. 8-11

November 1993. 

4. International seminar on indigenous people. Kuala Lumpur: Kementerian Kebu-

dayaan, Kesenian & Pelancongan. 29 Nov - 1 Dis 1993 

5. Seminar on tide and tidal phenomena. Kuala Lumpur: Jabatan Ukur & Pemetaan,

10 -11 Januari 1994. 

6. International conference on the Straits of Malacca. Kuala Lumpur: Malaysian

Institute of Maritime Affairs. 14 - 15 June 1994. 

7. PORIM International palm oil congress. Bangi: PORIM. 20-25 September 1994. 

8. Conference of the Southeast Asia Regional Computer Confederation. Kuala

Lumpur: Gabungan Komputer Nasional Malaysia. 11 - 14 August, 1992. 

9. Seminar kebangsaan menilai pencapaian penyelidikan IRPA dalam Rancangan

Malaysia ke-5 (sains-sosial). Sintook: Kementerian Sains Teknologi & Alam

Sekitar, UTM. 25 - 26 November 1991.

Click here to get back

 

Hosted by www.Geocities.ws

1